TUNTUTAN HAK PENJAGAAN ANAK / MAHKAMAH TINGGI

Wanita mualaf dapat hak jaga anak

Tan (kanan) bersama peguam bela selepas tuntutan sementara hak penjagaan anaknya ditolak.

GEORGETOWN: Tulisan ‘tolong, tolong, saya nak duduk dengan emak’ oleh seorang kanak-kanak berusia tujuh pada lakaran gambar ketika memberi keterangan kepada mahkamah membantu ibunya mendapat hak penjagaan sementara terhadapnya.

Dalam keputusan tuntutan hak penjagaan sementara anak oleh sepasang suami isteri di Mahkamah Tinggi Georgetown semalam, Hakim Yaacob Md Sam memerintahkan hak penjagaan sementara diberikan kepada ibu kanak-kanak berkenaan, seorang mualaf, Fatimah Fong Abdullah @ Fong Mee Hui, 28.

Yaacob berkata, mahkamah mengambil kira faktor kebajikan kanak-kanak berusia tujuh tahun itu, Tan Yi Min @ Eilliyah Foong, dan disebabkan kanak-kanak berkenaan berusia lebih tujuh tahun, mahkamah mengambil keterangan daripadanya untuk mengetahui hasrat dan nalurinya.

Menurutnya, berdasarkan temubual Yi Min kira-kira sejam pada 27 Disember 2010, kanak-kanak itu mendakwa dia menyayangi ibu bapanya, tetapi lebih sayang ibu daripada bapanya.

“Selain itu, ketika Yi Min diminta melakar gambar ibu bapanya, dia melukis gambar mereka dengan cantik dan jelas, bagaimanapun pada sehelai kertas lakaran itu tertulis, ‘tolong, tolong, saya nak duduk dengan emak saya’,” katanya ketika membacakan keputusannya, di sini, semalam.

Beliau berkata, kanak-kanak perempuan itu juga cerdik menjawab semua soalannya dan turut menyatakan hasratnya untuk tinggal bersama-sama ibunya di Selangor, selain memaklumkan dia suka memakai tudung.

“Berdasarkan keterangannya yang jujur itu, tidak mungkin kanak-kanak itu memberi keterangan selepas diajar seseorang dan dia juga tidak mungkin mengingati setiap perincian jika diajar.

“Selepas mengambil kira keterangan kedua-dua pihak iaitu Fatimah dan bapa kepada Yi Min, Tan Cheow Hong, 36, mahkamah memutuskan memberikan hak penjagaan sementara kepada ibu kanak-kanak ini,” katanya.

Sementara itu, selepas peguam bela Tan, Gooi Hsiao Leung membuat permohonan kepada mahkamah untuk berjumpa dengan anaknya, mahkamah membenarkan bapa kanak-kanak itu mengambil anaknya pada setiap hujung minggu secara alternatif bermula jam 11 pagi hingga 6 petang.

Mahkamah turut memberi kebenaran kepada Cheow Hong mengambil anaknya pada cuti sekolah dan cuti am termasuk tiga hari sambutan Tahun Baru Cina bulan depan.

Dalam kejadian 8 November lalu, keadaan kecoh berlaku di sebuah sekolah rendah di Raja Uda, Butterworth selepas Fatimah mengambil anaknya itu dari sekolah dengan bantuan anggota polis dan Jabatan Agama Islam Negeri Selangor.

Fatimah memeluk agama Islam pada 13 Ogos tahun lalu lalu dan mengIslamkan anaknya pada 9 November 2010 di Jabatan Agama Islam Selangor, manakala pada 24 November lalu Tan memfailkan saman pemula bagi hak penjagaan sementara anaknya itu.

Pasangan itu yang kedua-duanya beragama Buddha ketika berkahwin pada 14 Februari 2001 berpisah pada 2007 akibat perselisihan faham dan selepas itu Yi Min berada di bawah jagaan Tan sehingga 8 November lalu.

Tan juga memohon perisytiharan penukaran agama anaknya kepada agama Islam tanpa pengetahuan dan kebenarannya melanggar Enakmen Pentadbiran Agama Islam Selangor 2003 dan melanggar obligasi Fatimah dan hak Tan di bawah Seksyen 5, Akta Penjagaan Kanak-kanak 1961.

Fatimah diwakili peguam Mohd Zulkhairi Abdul Aziz. – HM

Cikwiduri: Alhamdulillah…gembira sungguh hati Cikwiduri bila mengetahui keputusan mahkamah mengenai kes ini. Semoga Allah sentiasa memberi petunjuk dan membantu Fatimah agar dapat mendidik dan memelihara akidah anaknya daripada terancam…amin.

3 thoughts on “Wanita mualaf dapat hak jaga anak

  1. Keputusan yang baik untuk anak tersebut.🙂 Thanks for sharing the story. Baik sekali.

  2. Saya suka tulisan anda, kelak blog anda pasti akan terkenal, mohon maaf bila pernyataan saya tidak berkenan, sudilah mampir ke blog saya . terimakasih atas perhatianya

Comments are closed.