China Coupon Generation

Ragam pemburu diskaun

People use a row of coupon machines near a supermarket entrance in Beijing, China. More than a craze, discount shopping is becoming a way of life for young Chinese. Known as the "coupon generation," they are changing the way business is done in the world's second largest economy. (Photo: Alexander F. Yuan - 24/11/2010)

DING Can begitu taksub dengan jualan murah. Dompetnya penuh dengan lebih daripada 30 kad diskaun beli-belah dan berdozen kupon.

Apartmennya pula penuh dengan barangan percuma, daripada sampel kosmetik sehingga rantai kunci. Wanita ini juga sering beratur panjang sebelum subuh untuk mendapatkan tiket diskaun tayangan filem.

Keperluannya untuk berjimat bukan kerana terpaksa. Jurutera pengujian perisian berusia 32 tahun ini boleh dianggap berpendapatan bagus.

“Saya tak pernah jumpa tawaran yang saya tak gemari,” katanya.

Lebih daripada satu kegilaan, membeli-belah menerusi tawaran diskaun kian menjadi salah satu gaya hidup untuk generasi muda di China. Dikenali sebagai ‘generasi kupon’, mereka mengubah cara perniagaan dilaksanakan dalam ekonomi kedua terbesar dunia itu.

Syarikat global seperti Nike mahupun syarikat tempatan seperti rangkaian makanan segera Yonghe turut mendekati pemburu diskaun ini.

Keghairahan untuk mendapatkan potongan harga turut merangsang pertumbuhan kelab diskaun, pembelian dalam talian secara berkumpulan dan kios jalanan yang menggunakan sistem kupon.

Kempen tiga minggu dilaksanakan Mercedes-Benz untuk kereta dua tempat duduk Smart berakhir sehari saja apabila lebih 200 kereta ditempah dalam masa kurang daripada empat jam. Harga kereta berkenaan adalah kira-kira 135,000 yuan (RM62,000) setiap unit iaitu diskaun 20 peratus, yang diiklankan peruncit dalam talian paling popular di China.

Ia sesuatu yang baru dan dianggap fenomena berorientasikan golongan muda di China.

Bagi warga Amerika Syarikat (AS), kaedah kupon ini sudah digunakan bertahun lamanya. Syarikat Coca-Cola mula menawarkan diskaun pada penghujung abad sebelum ini. Tetapi di China, aliran terbabit mempunyai kesan terhadap ekonomi global.

Tabiat berbelanja kira-kira 350 juta warga China berusia antara 18 hingga 35 tahun dilihat penting untuk merangsang pemulihan ekonomi dunia, daripada tempoh kemelesetan sehingga suatu hari nanti, melonjakkan China sebagai pasaran konsumer terbesar dunia meninggalkan AS. Ia mungkin bakal berlaku seawal 2020, menurut gergasi perbankan pelaburan, Goldman Sachs.

“Ini bukan golongan nenek atau suri rumah yang memotong kupon setiap Ahad di dapur mereka.

“Mereka golongan masa hadapan dan mereka berada di barisan hadapan bagi pertumbuhan penggunaan runcit di negara ini,” kata Leeon Zhu, perancang kanan yang berkhidmat di syarikat pengiklanan Young and Rubicam di pejabat Shanghai.

Ding dan ahli lain daripada forum dalam talian ‘Discounts for Singles’ (diskaun untuk golongan bujang), bertukar cerita di sebuah restoran pada suatu petang.

Ding menunjukkan jam tangan sukan percuma yang diperolehnya dengan mengambil gambar dirinya di hadapan sebuah kedai komputer Lenovo semasa satu acara promosi.

Seorang lagi rakan menayangkan barangan terkini diperolehnya – dua dozen pek jus buah-buahan separuh harga yang dibeli pada harga RM1.86 satu pek.

“Bagaimana kamu mahu minum semua jus itu?” tanya salah seorang daripada mereka.

“Saya akan berikan kepada kawan dan keluarga sebagai hadiah,” kata Shan Yunfei yang memperoleh kira-kira RM1,550 sebulan sebagai pembantu pentadbiran di sebuah firma seni bina.

“Mereka suka bila saya membawa pulang barangan baru,” katanya.

Malah, makan malam itu juga percuma. Tempat makan baru yang mahukan publisiti menawarkan makanan kepada masyarakat seperti Ding dan Shan, yang sering melayari Dianping.com, laman sesawang mengenai restoran paling terkenal di China.

Amalan berjimat cermat sangat dihargai di China. Ia warisan generasi miskin yang hanya berakhir dengan pengenalan pasaran terbuka sejak 30 tahun lalu.

People click on coupon machines to get discounts near a supermarket entrance in Beijing, China. (Photo: Alexander F. Yuan 24/11/2010)

Pengguna bijak memang dipuji rakan dan keluarga. Rancangan televisyen popular di Beijing ‘Managing Money’ misalnya, memaparkan temu bual dengan warga China yang mampu berjimat dengan banyak menerusi acara belian secara berkumpulan dan tawaran promosi. Sasaran utama adalah mereka yang berada dalam lingkungan usia 18 hingga 35 tahun, yang dilahirkan selepas era radikal Maoism. Mereka dikenali sebagai kumpulan terbesar yang mempunyai pendapatan tinggi yang stabil.

“Pengguna muda di China suka berbelanja dan jarang menyimpan kerana mereka begitu optimis akan sentiasa mempunyai wang,” kata Profesor Pemasaran Universiti Beijing, Fu Guoqun.

Shan, 23, mengaku diskaun membolehkannya berbelanja lebih berbanding jika tidak mempunyai potongan harga.

Begnya penuh dengan kupon McDonald’s dan kad diskaun lain.

“Saya memang taksub. Sama ada di tempat kerja atau di rumah, saya selalu membayangkan tawaran diskaun seterusnya,” katanya.

Terdapat kios kupon di laluan bawah tanah, pusat beli-belah dan pasar raya malah hampir semua jenama utama menawarkan kad diskaun.

Syarikat beribu pejabat di Beijing, Eyeball China, mencetak kira-kira 170,000 kupon setiap hari untuk restoran, sewaan kereta serta barangan dan perkhidmatan lain. Ia ditempatkan di kira-kira 200 kios di seluruh ibu kota itu.

“Pasaran terbabit begitu tepu dengan pelbagai jenama. Tawaran diskaun yang kecil saja mengetengahkan perbezaan yang besar untuk menyerlahkan sesuatu jenama di kalangan pengguna sasaran,” kata Naib Pengurus Besar Eyeball China, Xie Dehui.

Amy Yu, ejen hartanah yang ramping inti berhenti untuk mengumpul lebih daripada berdozen kupon bagi mendapatkan mi segera daripada restoran Yonghe dan burger ayam McDonald’s di sebuah kios di luar pasar raya besar Carrefour di selatan Beijing.

Yu kelihatan seperti seorang profesional. Dia memerhati dengan teliti pada skrin sesentuh kios berkenaan, mencari tawaran paling baik untuk hidangan makan tengah hari, setiap hari.

Mesin itu yang berada di hadapan kedai Yonghe, mengeluarkan deretan kupon yang memberikan diskaun sehingga RM0.77 untuk satu hidangan yang berharga antara RM4.65 sehingga RM12.40.

“Saya bekerja dan makan di sekitar kawasan ini, jadi biasanya saya mendapatkan banyak kupon yang nampak elok, tidak kira sama ada saya menggunakannya atau tidak. Bagus juga jika dapat memberikannya kepada rakan sekerja dan kenalan,” kata Yu.

Ding Can, 32, holds up VIP discount cards and coupons she carries in her purse in Beijing, China. (Photo: Alexander F. Yuan 24/11/2010)Laman sesawang membeli-belah dalam talian terbesar China, Taobao.com, mempunyai lebih 150 juta pengguna berdaftar.

Laman itu menghubungkan pembeli dan penjual yang menawarkan apa saja, daripada kereta kepada pembelajaran bahasa Inggeris dan ia sering mempunyai hubungan langsung dengan pengeluar China yang menawarkan diskaun menarik.

“Kami mencari promosi dalam talian memandangkan kebanyakan pengguna kami adalah generasi selepas era 80-an dan 90-an.

“Ia satu aliran yang besar kini. Mereka biasa dengan pembelian berkumpulan secara dalam talian,” kata Naib Presiden Mercedes, Cai Gongming.

Nuomi.com, yang dulunya kurang dikenali, menjadi buruan sekelip mata pada Jun lalu dengan menawarkan pakej dua tiket wayang gambar, dua minuman soda, ais krim dan bertih jagung pada harga RM18.60 (harga sebenar RM77.50).

Kira-kira 150,000 pakej dijual yang menjana hampir RM2.8 juta jualan dalam tempoh 24 jam.

Sesetengah laman sesawang yang menawarkan produk baru menawarkan acara yang perlu ‘dicekup’. Pemainnya perlu menang permainan secara dalam talian atau klik pada butang promosi pada waktu tepat untuk mendapatkan hadiah, yang mungkin terdiri daripada apa saja, sama ada telefon bimbit atau pakaian.

Penduduk Beijing, Zhang Xu memilih hadiahnya dengan teliti. Antara permainan kegemarannya ialah kelas memandu separuh harga iaitu RM18.6 selama dua jam.

“Biasanya wanita tidak memilih. Rakan saya baru saja menang beberapa stokin,” kata Zhang yang berusia 25 tahun, bekerja sebagai penolong pengurus di sebuah syarikat video digital.

“Tetapi saya tidak suka membazir masa jadi saya mencari barang baik yang tidak begitu diperlukan seperti tiket teater yang tidak popular berbanding barangan elektronik,” katanya – AP