To match Feature INDIA-FOOD/

Bazir RM334.1b setiap tahun

DI sebuah pasar borong terbesar India, Ganpat Sakharam Jadhav, 65, menjual dua tan bawang pada harga 13 rupee (RM0.88) sekilogram dan dia memang tidak gembira.

Sehari sebelum itu, dia menuai tanamannya di ladang bawang di bahagian barat India pada harga dua kali lebih tinggi.

“Saya tahu harganya akan naik semula apabila bekalan kurang dalam masa beberapa minggu lagi. Tapi bila sampai waktu itu, bawang ini sudah busuk. Saya tak akan dapat walau satu rupee pun,” kata Jadhav sambil mengasingkan bawang dalam trelernya yang bersambung dengan sebuah traktor.

Tiga hari kemudian dan kira-kira 200 kilometer ke selatan di sebuah pasar di darah Bandra di Mumbai, Anita Fernandes, 32, membeli bawang yang dituai pada waktu yang sama pada harga RM2.68 sekilogram, tiga kali ganda daripada jumlah dibayar kepada Jadhav selepas hasil keluaran itu bertukar tangan daripada beberapa orang tengah.

Harga makanan India yang sentiasa berubah itu kebanyakannya naik mendadak sejak satu setengah tahun lalu. Harga bawang saja meningkat 346 peratus dalam tempoh 20 hari bulan lalu selepas hujan lebat memusnahkan tanaman yang mencetuskan inflasi lebih teruk dan menambah tekanan kepada kerajaan yang menghadapi pilihan raya di beberapa negeri penting tahun ini.

Peningkatan harga bawang, tomato, daging, susu dan minyak meningkatkan keseimbangan bekalan manakala penggunaan turut meningkat.

Ketika permintaan mendadak naik dan warga India menggunakan lebih banyak makanan bermutu tinggi, keluarannya pula gagal untuk menyaingi permintaan.

Peladang bawang terpaksa menjual hasil tanaman mereka pada harga rendah bagi mengelak ia jadi busuk.

Secara global, harga makanan mencecah rekod tertinggi Disember lalu. Di India, inflasi makanan mencatatkan angka dua digit hampir sepanjang tahun lalu dengan bawang yang paling banyak digunakan penduduknya, menjadi simbol kepada kekecewaan ramai penduduk.

“Kami tak boleh mengelak daripada menggunakan bawang, tetapi harganya terlalu tinggi hingga kami terpaksa kurangkan penggunaannya,” kata Anita.

Pada masa Anita membeli bawangnya, ia sudah bertukar tangan empat kali yang bertambah kosnya setiap kali ia bertukar tangan. Pedagang di Pimpalgaon, selepas membeli bawang daripada peladang seperti Jadhav, membungkusnya dalam beg guni dan menjual bawang itu kepada pemborong di tempat seperti Vashi, di pinggir kota Mumbai.

Pemborong di Vashi menjualnya kepada peniaga bersaiz sederhana di Dadar, tengah Mumbai, kemudian menjual kepada peniaga kecil di seluruh bandar yang penduduk seperti Anita membeli daripada peniaga kecil itu.

Di setiap peringkat, sayuran dan buah-buahan berkenaan dikeluarkan dan dimasukkan ke dalam kenderaan yang turut melambatkan perjalanannya serta meningkatkan pembaziran bahan terbuang yang biasanya 30 peratus.

Dalam kebanyakan masyarakat perladangan di India, penyimpanan sejuk tidak ada di kampung di bahagian utara Mumbai. Ini memaksa peladang seperti Jadhav untuk menjual keluaran mereka pada sebarang harga yang ditawarkan.

Mangsa keadaan dan masa, Jadhav menjual hasil keluarannya serta-merta selepas menuai meskipun harga rendah kerana dia tidak mempunyai pilihan lain.

“Bekalan sayur-sayuran tidak berjalan lancar dan sebab itu harganya turun naik. Kami mengambil risiko membelinya dalam keadaan sedemikian,” kata peniaga bawang, Atul Shah, di Pimpalgaon.

Kelihatan seorang buruh mengangkat guni berisi bawang di bandar Mumbai, India.

India, pengeluar kedua terbesar dunia untuk buah-buahan dan sayuran, mengeluarkan 226.87 juta tan tanaman hortikultur pada 2009/ 2010, meningkat 55 peratus daripada 2001/02, menurut perangkaan kerajaan.

Namun, demikian, 46 peratus daripada kanak-kanak negara terbabit yang berusia di bawah lima tahun didapati kurang zat makanan.

Pendapatan yang lebih tinggi dan kesedaran kesihatan yang meningkat terutama dalam kalangan warga India di kota, merangsang permintaan untuk buah-buahan dan sayuran, sekali gus menyebabkan harga stabil serta menggalakkan peladang untuk menambah keluaran.

Namun, pembaziran akibat pengurusan selepas tuaian dan kurangnya khidmat penyimpanan sejuk serta kos pengangkutan dianggarkan mencecah RM334.1 bilion setiap tahun, menurut laporan jawatankuasa kerajaan.

“Tiada masalah daripada sudut pengeluaran buah-buahan dan sayuran. Masalahnya adalah bagaimana mahu menghantar keluaran peladang kepada pengguna akhir tanpa sebarang pembaziran,” kata Ketua Ekonomi di Care Ratings, Madan Sabnavis.Buruh wanita turut bekerja di ladang pertanian bawang di Pimpalgaon, 215 km ke utara Mumbai, India.

Menurutnya, kemudahan penyimpanan sejuk bukanlah satu perniagaan yang menarik kerana keuntungannya rendah.

“Jika anda mempunyai operasi hadapan seperti rangkaian runcit, ia sesuatu yang logik,” katanya.

Meskipun perniagaan runcit mempunyai kemudahan sedemikian, kapasiti mereka agak kecil berbanding jumlah pengeluaran di negara berkenaan.

Namdev Patil, peladang berusia 35 tahun di Lasalgaon, ke barat Maharashtra, gagal memperoleh pulangan pelaburannya kerana hujan pada November lalu memusnahkan tanamannya sebanyak 70 peratus. Pengalamannya itu turut dikongsi ramai peladang lain.

“Peniaga membeli daripada kami pada harga lebih rendah dan membuat untung yang besar. Kami tak boleh berbuat apa-apa,” katanya.

2 thoughts on “Bazir RM334.1b setiap tahun

Comments are closed.