GhettoBoomBox

Muzik redakan tekanan

WALAUPUN kesesakan lalu lintas antara perkara ‘wajib’ dalam kehidupan warga kota, ada ketikanya kita hilang sabar, terutama apabila berdepan sikap kurang ajar pemandu yang sengaja buat tidak faham peraturan jalan raya asalkan mereka cepat sampai ke destinasi dituju.

Apabila berdepan keadaan seperti ini, apa biasanya anda lakukan? Membunyikan hon, merungut, menjerit marah atau memaki hamun pemandu untuk melegakan perasaan geram?

Biar apa pun tindakan anda, jangan biarkan perasaan itu terus menghantui kerana ia boleh menyebabkan tekanan darah meningkat yang membuatkan kita bertambah geram dan tertekan.

Selepas ini apabila berada dalam situasi sama, apa kata anda menarik nafas panjang-panjang, lepaskan perlahan-lahan dan senyum.

Jika memandu bersendirian, hadiahkan senyuman itu kepada diri sendiri.

Fikirkan perkara positif dan mengandaikan pemandu berkenaan dalam kecemasan sambil dengan ikhlas mendoakan dia menjadi pemandu lebih berhemah.

Mungkin ramai tidak sedar kita mendapat banyak manfaat jika mempunyai fikiran positif dan bersangka baik terhadap orang lain.

Apabila kita berfikiran positif, badan secara tidak langsung memberi tindak balas positif juga.

Keadaan ini terbukti dapat mengawal kadar degupan jantung dan tekanan darah kita.

Malangnya lebih 80 peratus orang mempunyai pemikiran negatif, walaupun terhadap diri sendiri.

Ayat positif jika disebut berulang kali boleh menjadi pencetus semangat dan membuatkan kita berasa lebih bersemangat serta tenang.

Bagi umat Islam, kita boleh berzikir, beristighfar atau membaca surah pendek untuk meredakan perasaan geram, terutama ketika memandu.

Lebih baik jika dipasang bacaan ayat suci al-Quran kerana ia boleh mengalihkan perhatian kita daripada terlalu memikirkan sikap pemandu lain yang kurang berilmu itu.

Selain itu kita boleh mendengar muzik atau lagu. Kajian menunjukkan muzik mempunyai kesan tidak langsung kepada penghasilan hormon tekanan dan merangsang pengeluaran hormon noradrenalin dan endorfin yang membuat kita berasa selesa.

Dari sini, badan kemudian menghasilkan lebih banyak antibodi yang akan menguatkan daya ketahanan badan.

Jenis muzik untuk mengurangkan tekanan berbeza mengikut cita rasa dan personaliti setiap orang.

Penyelidik mendapati kadar pernafasan, tekanan darah dan pengecutan otot perut berubah mengikut jenis muzik yang didengar.

Alunan muzik lembut dan menenangkan boleh menurunkan tekanan darah ke tahap tertentu.

Otak kita ada dua bahagian, iaitu otak kiri (pemikiran logikal) dan otak kanan (pemikiran kreatif) yang boleh dihubungkan fungsinya melalui muzik.

Otak bertindak balas terhadap muzik lembut dan tenang melalui beberapa pertukaran daripada fasa beta (pemikiran cergas dan peka) kepada alfa, teta dan delta (ketika tidur lena, iaitu fasa yang sangat tenang).

Alunan muzik lembut dan menenangkan yang dipasang pada pesakit dikatakan boleh membantu mempercepatkan proses pemulihan.

Namun kaedah dicadangkan di atas masih belum cukup kerana untuk menjadi individu yang positif dan tenang kita perlu melakukan beberapa perubahan lain, terutama sikap.

Antara perubahan baik untuk ketenangan minda dan kesihatan ialah:

  • Banyakkan senyum — Beri senyuman kepada semua orang tanpa mengharapkan balasan kerana apabila tersenyum, kita berasa senang hati
  • Belajar teknik mengawal rasa marah dan elak memarahi atau memaki orang lain, terutama ketika memandu.Perasaan marah membuatkan jantung berdegup cepat dan tekanan darah meningkat.
    Jangan biarkan orang lain merosakkan kesihatan kita dan jika berada dalam situasi yang boleh membuatkan kita berasa geram atau marah, segera beredar dari tempat berkenaan
  • Beri tumpuan pada setiap perkara yang dilakukan. Lakukan satu perkara pada satu masa, dengan memberi keutamaan kepada yang penting dan perlu disegerakan.Selain itu elak menangguhkan kerja kerana ia hanya membuat kita berasa tertekan apabila tarikh akhir menghantar tugasan terlalu hampir
  • Buang sikap suka menyalahkan orang lain atau diri sendiri. Kesilapan sebenarnya antara cara untuk kita memperbaiki kelemahan diri
  • Belajar menerima kelebihan orang lain dan mengakui kelemahan diri sendiri. Pada masa sama, belajar melupakan kelebihan diri sendiri tetapi mengingat dan menghargai kebaikan orang lain
  • Kurangkan pengambilan kafein dan banyakkan minum air kosong sekurang-kurangnya satu hingga satu setengah liter sehari.Air menyingkir toksik daripada badan yang secara tidak langsung membuat kita berasa lebih segar dan sihat
  • Buat catatan penghargaan setiap hari. Ambil masa satu atau dua minit untuk menulis perkara yang kita syukuri untuk hari berkenaan; tidak kira sama ada ia besar atau kecil; membabitkan cuaca, lalu lintas, kerja, keluarga dan rakan.Tuliskan juga bantuan atau kebaikan yang dilakukan oleh orang lain terhadap anda pada hari itu
  • Jangan tinggal solat. Solat adalah cara terbaik untuk menenangkan hati dan fikiran kerana ia bukan saja mengandungi bacaan yang menjadi terapi penenang hati, malah bacaan dalam solat juga sebenarnya mengajar kita untuk bernafas dengan lebih baik.