terumbu-1

Pemanasan ancam batu karang

SEKUMPULAN ikan berwarna pelangi meluru ke tengah terumbu karang yang begitu menakjubkan di kepulauan Wakatobi, Indonesia sewaktu barakuda berlalu di kawasan berhampiran di lautan biru yang mendalam itu.

Sukar dipercayai Wakatobi sebuah syurga lautan luas terbentang dengan hidupannya menyara 100,000 orang dan menyumbang jutaan dolar kepada ekonomi Indonesia.

Namun, golongan saintis melahirkan kebimbangan mereka. Tahun lalu, pelunturan batu karang akibat suhu laut yang lebih tinggi mencetuskan kekecohan di seluruh kawasan Segitiga Batu Karang, rantau yang kaya dengan terumbu tropika yang terbentang di kebanyakan kawasan Asia Tenggara dan hampir seluruh Indonesia.

Sehingga 70 peratus daripada batu karang di Wakatobi, di bahagian luar tenggara pulau Sulawesi, keseluruhan atau sebahagiannya menghadapi masalah pelunturan.

Menurut saintis, di wilayah Aceh di bahagian utara Sumatera, sehingga 90 peratus daripada batu karangnya mati.

Pakar daripada kumpulan alam sekitar Pemuliharaan Alam Semula jadi (The Nature Conservancy-TNC) dan WWF serta kerajaan Indonesia, kembali ke Wakatobi bulan lalu untuk melihat sekiranya terumbu taman marin itu subur semula.

Selama proses menyelam di beberapa tapak dikenali sebagai Table Coral City dan Blue Hole, pasukan berkenaan mencari tanda kerosakan atau ketahanan untuk jangka panjang dengan harapan untuk mempelajari lebih banyak lagi mengenai tindak balas sistem terumbu terhadap tekanan berkaitan iklim.

“Di Acheh, kira-kira 90 peratus daripada batu karang luntur termasuk sebahagian daripada jenis yang sangat besar berusia ratusan tahun dan mampu bertahan semasa tsunami 2004, kini mati akibat masalah pelunturan,” kata Timbalan Pengarah Sains bagi Program Marin Indonesia TNC, Joanne Wilson.

Menurutnya, Wakatobi sangat bernasib baik kerana hanya kira-kira lima hingga 10 peratus daripada batu karang itu yang mati.

Terumbu sihat yang masih terpelihara di kepulauan Wakatobi

Pelunturan berlaku apabila batu karang bertindak balas kepada tekanan, misalnya cahaya matahari yang lebih kuat berbanding pancaran cahaya biasa atau suhu lautan yang meningkat, dengan menyingkirkan rumpai laut yang tinggal di dalamnya.

Dalam keadaan normal, rumpai laut membekalkan khasiat untuk terumbu batu karang berkenaan. Tanpa mereka, batu karang bertukar warna putih dan boleh mati dalam masa beberapa hari. Batu karang itu juga boleh pulih bergantung kepada keadaan.

Joanne menggambarkan pengalaman yang ‘menyeramkan’ semasa menyelam di kawasan terumbu yang kaku dan sejuk semasa kemuncak tempoh pelunturan di Wakatobi tahun lalu, tahun yang mencatatkan suhu paling panas.

“Saya melihat banyak batu karang terjejas akibat pelunturan dalam pelbagai peringkat. Sebahagiannya benar-benar putih tetapi masih hidup,” katanya.

Saintis bimbang masalah pelunturan global 1998-1999 berulang dikaitkan dengan kitaran cuaca El Nino dan La Nina di Lautan Pasifik.

Kira-kira 16 peratus daripada terumbu dunia mati dalam krisis berkenaan, sekali gus menyedarkan saintis mengenai bahaya akibat pemanasan global yang dihadapi oleh sistem terumbu karang dan berjuta orang yang bergantung kepadanya.

Kesan pelunturan pada terumbu karang.

Pengarah Institut Perubahan Global, Universiti Queensland, Australia, Ove Hoegh-Guldberg, berkata kesan akibat El Nino dan La Nina diperbesar-besarkan oleh pemanasan latar yang dikaitkan dengan perubahan iklim secara keseluruhan.

“Dalam tempoh lima hingga 10 tahun lagi, kita mungkin akan berhadapan dengan masalah pelunturan yang benar-benar serius,” katanya.

Kejadian pelunturan tahun lalu memberi peluang kepada saintis menguji teori ketahanan dan melihat jenis terumbu paling sesuai untuk keadaan laut yang lebih hangat dalam keadaan tertentu.

Tujuannya untuk membina senarai bentuk kehidupan yang boleh digunakan untuk mengenal pasti sistem utama terumbu yang seharusnya diberi keutamaan dalam pembinaan tapak marin dan zon pemuliharaan.

Pengarah Pemuliharaan Terumbu Karang TNC, Rod Salm, yang menyertai ekspedisi Wakatobi daripada ibu pejabatnya di Hawaii, berkata masalah pelunturan tahun lalu menjejaskan terumbu di Thailand, Malaysia, Myanmar dan Indonesia.

“Ia satu keadaan yang tragis tetapi pada masa sama, kami peroleh sesuatu daripadanya – kami pelajari bagaimana tindak balas batu karang dan kami dapat mengetahui bagaimana ia bertindak balas semula kepada prinsip ketahanan asli,” katanya.

Wakatobi satu-satunya taman marin yang direka dengan prinsip berkenaan yang dilanda masalah pelunturan, katanya.

“Apa yang menarik adalah peluang untuk melihat sama ada tindakan kami itu benar atau sebaliknya,” katanya selepas menyelam di pulau Tomia, Wakatobi.

Pasukan lain menjalankan kajian serupa di Acheh dan Bali, mencari ciri-ciri tempatan dan iklim mikro, barangkali arus yang lebih sejuk. Ia mungkin petanda peluang kelangsungan hidup yang lebih baik semasa pemanasan global.

Sementara itu, penyelidik akan berhimpun menerusi satu bengkel pada April ini untuk membuat perbandingan ke atas penemuan mereka.

“Kami mencuba untuk mencari faktor yang menjadi pemacu utama ketahanan hidupan ini. Kami mahu mengenal pasti 10 atau 12 faktor yang benar-benar penting,” kata Salm.

Indonesia memperkenalkan penalti untuk aktiviti yang memusnahkan hidupan alam ini dan mengisytiharkan 13 juta hektar lautan sebagai Kawasan Perlindungan Marin.

Kepulauan luas terbentang yang terdiri daripada 17,000 pulau itu diharap dapat berkembang sehingga 20 juta hektar menjelang 2020, satu pengiktirafan mengenai kepentingan terumbu karang sebagai sumber hasil dan makanan untuk berjuta penduduk.

“Persoalannya bukanlah sama ada 20 juta hektar adalah angka yang tepat atau sebaliknya, tetapi sama ada Indonesia mempunyai sumber dan kemahiran untuk menguruskannya dengan berkesan.

“Saya fikir ada pengiktirafan yang sebenar-benarnya daripada kerajaan hingga membolehkan usaha keras ini bermula,” kata Joanne.

Satu kajian oleh dua dozen kumpulan pemuliharaan dan penyelidikan diketuai oleh Sumber Antarabangsa Dunia yang dikeluarkan bulan lalu menyatakan, tanpa tindakan pantas untuk menangani masalah pemanasan global dan kesan manusia yang lain, terumbu dunia akan pupus menjelang 2050. – AFP

Pemandangan sebahagian pulau dan terumbu karang di kepulauan Wakatobi.