Kuan Yew akui silap

Bekas PM Singapura kata kenyataan berhubung masyarakat Islam sukar berintegrasi dengan kaum lain sudah lapuk

 

SINGAPURA: Bekas Perdana Menteri yang juga pengasas Singapura, Lee Kuan Yew semalam mengaku silap dalam kenyataan mengenai kesukaran masyarakat Islam berintegrasi dengan penduduk lain di republik itu.

Dalam  kenyataan yang disiarkan oleh akhbar Straits Times, Kuan Yew berkata, pandangan kontroversinya yang terkandung dalam buku  ‘Lee Kuan Yew: Hard Truths to Keep Singapore Going’, yang diterbitkan Januari lalu, sudah lapuk.

“Hard Truths ialah buku yang berdasarkan 32 wawancara dalam masa dua tahun.

“Saya membuat satu kenyataan mengenai  integrasi umat Islam dengan masyarakat lain mungkin pada dua atau tiga tahun lalu.

“Menteri dan anggota Parlimen, Melayu dan bukan Melayu, sejak itu memberitahu saya bahawa masyarakat Melayu Singapura sebenarnya mengambil usaha khusus untuk berintegrasi dengan kaum  lain, terutamanya selepas kejadian 11 September 2001 dan apa yang saya katakan itu sudah lapuk.

“Saya mengaku silap. Saya berharap usaha integrasi itu  akan berterusan pada masa hadapan,” kata Kuan Yew, 87, yang masih kekal menjadi penasihat kerajaan dengan gelaran Menteri Mentor.

Majoriti penduduk Singapura berbangsa Cina dengan penduduk Melayu dan India menjadi kaum minoriti.

Kenyataan semalam dibuat berikutan luahan rasa kurang senang oleh masyarakat Islam republik itu berhubung kenyataan Kuan Yew  itu.

Dalam buku itu, Kuan Yew berkata, masyarakat Islam Singapura berdepan dengan kesukaran untuk beringerasi dengan kaum lain kerana berpegang teguh dengan ajaran Islam.

Beliau menggesa mereka supaya bersikap lebih longgar dalam menjalankan ajaran Islam. – Reuters

2 thoughts on “Kuan Yew akui silap

Comments are closed.