skateistan

‘Skateistan buat kami rasa bebas’

IA mungkin belum lagi menjadi satu pemandangan biasa di kawasan jalanan di Kabul tetapi beratus anak muda Afghanistan kini rancak menceburi permainan papan luncur.

Segala impian itu tertunai atas usaha seorang warga Australia yang punya perasaan begitu mendalam terhadap keamanan.

Oliver Percovich berusia dalam lingkungan 30-an yang mula bermain papan luncur pada usia enam tahun, membantu untuk menubuhkan Skateistan selepas tiba di Kabul dengan hanya berbekalkan tiga papan luncur pada 2007.

Namun kini, terdapat kira-kira 330 anak muda Afghanistan meluncur di sekolah meluncur dan taman luncur tertutup di sebuah dewan besar di Kabul.

Di samping mengajar cara untuk membuat pelbagai gerakan meluncur kepada kanak-kanak serta remaja lelaki dan perempuan yang berusia antara lima hingga 19 tahun itu, Skateistan bertujuan untuk membantu usaha mendidik dan membina kepercayaan di kalangan anak muda Afghanistan yang datang daripada pelbagai etnik.

Selepas 30 tahun menempuh zaman perang – perang terkini membabitkan pemberontakan Taliban yang membawa kira-kira 140,000 tentera antarabangsa ke negara terbabit – kebanyakan warga Afghanistan membesar tanpa memiliki pelbagai pengetahuan dan saling berasa curiga antara kumpulan etnik berbeza. Malah keadaan itu sudah menjadi perkara biasa.

Sistem pendidikan negara berkenaan juga teruk terjejas akibat konflik terbabit.

Sekolah sering menjadi sasaran dalam pemberontakan berkenaan terutama kanak-kanak perempuan dan kawasan luar bandar meskipun terdapat usaha pihak antarabangsa untuk menjalankan program pembinaan semula.

“Saya gemar permainan meluncur kerana pergerakan dan kepantasannya,” kata pemain papan luncur, Omar yang berusia 16 tahun.

Remaja itu bekerja sebagai pelatih di sebuah kedai membuat pakaian.

Permainan papan luncur mungkin masih baru di Afghanistan tetapi ia tetap menarik ramai peminat.

“Keadaan di sini lebih baik berbanding di sekolah. Kami boleh berada dalam keadaan relaks, berlatih, membaca, melukis dan ia membuatkan kami berasa bebas,” katanya.

Dua kanak-kanak lelaki yang ditemui bersamanya, Nawab yang berusia 13 tahun dan Nawi, 14, mengetahui mengenai Skateistan semasa mereka menjual gula-gula getah dan membersihkan tingkap kereta di jalanan untuk menyara keluarga masing-masing.

Percovich yang membesar di Papua New Guinea dan biasa bekerja untuk kerajaan Australia, yakin bahawa pendidikan mampu menyelesaikan pelbagai masalah di Afghanistan yang mana separuh daripada jumlah penduduknya berusia di bawah 25 tahun.

“Paling utama, apa yang mahu dicapai oleh Skateistan adalah membina kepercayaan serta hubungan sesama warga Afghanistan serta pemahaman di kalangan pelbagai etnik,” katanya yang juga Pengarah Eksekutif Skateistan.

Menurutnya, Skateistan terdiri daripada pelbagai latar belakang sosial.

“Di sini, seorang kanak-kanak jalanan boleh bertemu dengan anak menteri. Kami menggalakkan aktiviti yang tidak menyisihkan sesiapa.

“Bagaimana anda mahu menjalinkan hubungan baik antara kanak-kanak yang mempunyai Internet di rumahnya dan menulis e-mel dengan kanak-kanak yang baru pertama kali memegang pen?” katanya.

Segala-galanya dalam projek itu adalah percuma. Selain menyertai aktiviti papan luncur, kanak-kanak itu juga mengambil kelas bahasa termasuk bahasa Inggeris serta kelas lain seperti melukis, fotografi, puisi malah ada juga kelas mengenai boneka.

Kanak-kanak dan remaja yang menganggotai Skateistan sibuk bermain papan luncur.

Kanak-kanak lelaki dan perempuan tidak menyertai kelas yang disediakan itu pada hari yang sama. Bagi kanak-kanak dan remaja perempuan, mereka mempunyai hari mereka sendiri semasa menyertai kelas meluncur dan turut diajar oleh guru wanita dalam subjek lain.

“Kebanyakan jenis sukan dilihat lebih sesuai untuk lelaki tetapi permainan papan luncur terlalu baru untuk dikaitkan dengan jantina,” kata Percovich sambil tersenyum.

Pembinaan projek berkenaan yang bermula pada 2008, bernilai kira-kira AS$275,000 (RM852,500) dan pembiayaan datang dari Denmark, Norway dan Jerman.

Syarikat pembinaan tempatan turut menawarkan kerja pada harga lebih rendah.

Ia kini mempunyai ramai penaja swasta dan sudah mula mengeluarkan rangkaian pakaiannya sendiri yang berkonsepkan pakaian jalanan berjenama dengan gaya kota.

Ia dilakukan sebagai usaha untuk membina sumber kewangannya sendiri tanpa perlu banyak bergantung kepada pihak lain.

Untuk kebanyakan warga Afghanistan, papan luncur terlalu mahal untuk dibeli meskipun untuk kegunaan sendiri. Dalam kebanyakan kes, keadaan jalanan di Kabul juga menyukarkan mereka untuk bebas meluncur di seluruh kota itu.

Namun Skateistan terus berkembang ke kota Afghanistan lain seperti Mazar-I-Sharif di bahagian utara serta negara jiran seperti Pakistan malah lebih jauh lagi, Kemboja. – AFP