Absah Yarmah, 79, menjemur kain di luar rumahnya di kampung lama itu.

Kampung terakhir Singapura

SNG menunjukkan halaman rumah kampungnya di Kampong Lorong Buangkok.

TERLETAK di satu ceruk dikelilingi bangunan tinggi apartmen dan deretan banglo, sebuah kampung lama Singapura masih terus bernyawa dalam persekitaran serba tenang itu.

Anjing dan kucing bebas berlari ke sana ke mari manakala kanak-kanak pula sibuk bermain di sekeliling rumah warna-warni diperbuat daripada kayu dan simen serta beratap zink.

Suasana persekitarannya bagai tidak terganggu oleh deruan kenderaan lalu lalang di lebuh raya yang hanya terletak beberapa meter saja dari situ.

Itulah Kampong Lorong Buangkok, kampung terakhir yang masih wujud lagi di tanah besar Singapura.

Ia hanya menghitung hari namun sehingga pembangunan memaksa penghuninya berpindah, kampung berkenaan mampu memberikan gambaran kepada pengunjung mengenai kehidupan pada 1950-an sebelum Singapura menjadi salah sebuah kota paling moden dan kaya di Asia.

Mendiami kawasan tanah seluas tiga padang bola sepak di pinggir kota di bahagian timur laut republik berkenaan, kampung terbabit mempunyai 28 rumah yang terletak bersimpang-siur dengan jumlah penduduk seramai 50 orang.

Dengan jalan tidak berturap, taman belakang rumah yang luas, kawasan berumput juga pohon pisang, kawasan terbabit kelihatan ketinggalan zaman di kota yang padat dengan menara pejabat, blok pangsapuri tinggi dan pusat beli-belah.

Untuk penduduknya, kampung itu memberikan ketenangan pada penghujung setiap hari bekerja. Jiran saling mengenali, tidak seperti kehidupan kota yang agak dingin sesama jiran tetangga.

“Saya begitu rapat dengan jiran saya,” kata Sng Mui Hong yang berusia 57 tahun ini.

Wanita yang tidak berkahwin itu menyewa rumah di kampung berkenaan dengan sewa antara SD$6.50 sehingga SD$30  (RM15.60 sehingga RM55.20) sebulan.

Kebanyakan warga Singapura yang berjumlah lima juta orang itu tinggal di apartmen yang dibina kerajaan dan kondominium swasta.

“Lagipun mereka membesar bersama saya dan sebahagian daripada nenek dan datuk mereka juga melihat saya membesar,” kata Sng yang kini tinggal bersama anak saudara lelaki dan anak saudara perempuannya, tiga anjing dan beberapa ekor burung peliharaan.

Keluarganya berpindah ke tanah itu pada 1956 ketika Singapura masih berada di bawah pemerintahan kolonial British.
Bekalan elektrik dan air disambungkan ke kampung itu pada 1962 iaitu ketika negara berkenaan berada dalam peralihan politik.

Pemandangan biasa rumah lama papan beratap zink.

Dalam kehidupan moden Kampong Lorong Buangkok, keharmonian terserlah di kalangan keluarga Cina dan Melayu yang mana rumah mereka terletak hanya kira-kira lima meter saja jauhnya.

“Mereka umpama ibu bapa saya sendiri kerana mereka berasal dari kampung yang sama. Jadi saya tidak kisah sama ada mereka adalah Melayu atau Cina,” kata Sng mengenai jirannya yang lebih berusia.

Meskipun kampung itu mengikut standard Singapura, jauh dari pasar raya dan sekolah serta hentian bas dan tren, penghuninya tidak kisah kerana mereka gembira dengan kehidupan kampung yang tidak mampu diperoleh di tempat lain.

Sesetengahnya juga memiliki kereta yang dianggap mewah di Singapura.

Jurusolek, Jamil Kamsah, yang tinggal di Kampung Lorong Buangkok sejak 1967, sukakan kemesraan penduduk kampung itu.

“Masyarakat di sini sangat mesra, keibuan dan sopan. Mudah untuk saya berkawan dengan mereka.

“Saya tak marahkan haiwan dan saya bercakap dengan tumbuhan,” kata lelaki berusia 55 tahun ini.

Pada masa terluangnya, Jamil berkebun dan menghias bahagian luaran rumahnya, mengalu-alukan tetamu dengan senyum melebar.

Di Singapura yang kekurangan tanah dengan banyak bangunan dan kawasan kediaman lama diubah untuk kegunaan perumahan dan komersil yang lebih moden, Kampong Lorong Buangkok menghadapi masa depan yang tidak menentu.

Sng berharap kampung terbabit dapat dipulihara untuk mendidik generasi masa hadapan mengenai masa silam dan menunjukkan kehidupan yang pernah dilalui nenek moyang mereka.

“Bukan semua orang bermula dengan kekayaan, kebanyakan datuk nenek membina kehidupan mereka dari bawah,” katanya.

Absah Yarmah, 79, menjemur kain di luar rumahnya di kampung lama itu.

Sesetengah sekolah di bandar membawa pelajar untuk lawatan sambil belajar ke Kampong Lorong Buangkok bagi mempelajari kehidupan di kampung berkenaan.
“Sesetengah kanak-kanak itu fikir ayam adalah burung,” kata Jamil.

Kehidupan di kampung itu masih menghitung hari dan penduduknya memang tahu hakikat berkenaan.

Agensi perancangan penggunaan tanah Singapura, Pihak Berkuasa Pembangunan Semula Kota (URA), menyatakan ada rancangan untuk membangunkan semula Kampong Lorong Buangkok, tetapi ia tidak menyatakan tempoh pembinaan terbabit.

“Kampung di Lorong Buangkok dan tanah di kawasan persekitarannya dirancang untuk dibangunkan secara menyeluruh bagi menyediakan kemudahan perumahan masa depan manakala kemudahan kejiranan disokong oleh rangkaian jalan raya,” kata jurucakap URA.

Sng, bagaimanapun, tidak berasa sedih biarpun kampungnya akan terhapus satu hari nanti.

“Tiada yang kekal selama-lamanya,” katanya. – AFP