AUDREY Silk memerhatikan daun tembakau kering di bahagian bawah rumahnya di New York.

Perokok lawan datuk bandar

AUDREY Silk memerhatikan daun tembakau kering di bahagian bawah rumahnya di New York.

DI tengah usaha menentang perokok dan rokok, Datuk Bandar New York, Michael Bloomberg mungkin terkejut apabila mendengar terdapat ladang tembakau di hadapan matanya sendiri.

Tanaman itu terdiri daripada deretan 100 pohon tembakau di dalam pasu di taman milik Audrey Silk di Brooklyn. Dia dianggap pemimpin gerila perokok yang berhasrat untuk menentang perjuangan datuk bandar itu hingga ke akhirnya.

Audrey, bekas anggota polis yang juga perokok tegar berkata, setiap tanaman menghasilkan kira-kira 400 bungkusan rokok. Tidak seperti bungkusan di kedai berharga antara AS$12 hingga AS$15 (RM37.20 hingga RM46.50) yang dijual di kota raya itu, tidak sesen pun yang perlu dibayar cukai.

Datuk bandar berkenaan, seorang bilionair yang juga bekas perokok memberi penekanan untuk menjadikan New York lebih sihat menerusi pelbagai usaha.

Bulan lalu, beliau menandatangani satu peraturan yang meluaskan tempat larangan merokok di beberapa tempat awam.

Sebelum ini, larangan merokok sudah dikuatkuasakan di beberapa tempat umum termasuk pejabat, bar dan restoran.

 

Apabila ia berkuat kuasa pada Mei ini, peraturan baru itu akan melarang perbuatan merokok di kawasan taman, pantai malah tempat perhimpunan yang sibuk seperti Times Square di Manhattan.

Pegawai rasmi kota raya itu menganggarkan hampir sejuta daripada 8.4 juta warga New York merokok yang bukan saja menjejaskan kesihatan, malah membangkitkan rasa marah di kalangan bukan perokok.

“Merokok di taman dan pantai bukan saja mengganggu mereka yang cuba menikmati kemudahan rekreasi ini, malah ia turut menyebabkan masalah kekotoran yang menjejaskan keindahan taman,” kata Bloomberg.

Kota raya itu menaikkan cukai tembakau dalam usaha untuk menjadikan rokok lebih mahal supaya ia sukar diperoleh kebanyakan warganya.

Ia juga menyokong kempen iklan yang menunjukkan gambar antimerokok yang menjijikkan dan iklan televisyen memaparkan seorang kanak-kanak menangis kerana ibu bapanya hilang.

Audrey pula yang dianggap ‘pejuang’ untuk golongan perokok tenggelam dalam dunianya sendiri.

Menyifatkan dirinya sebagai pejuang hak asasi, menurut Audrey, taman yang dihasilkannya itu sebagai satu cara untuk menunjukkan kepada pegawai rasmi apa yang ada di fikirannya.

“Ini adalah satu pemberontakan saya untuk melawan kawalan kerajaan terhadap kehidupan saya,” katanya di dapur yang dipenuhi asap di rumahnya itu yang dikongsi bersama anjing bernama Bingo, burung kakak tua dan bahagian bawah rumah yang penuh dengan daun tembakau kering. – AFP

TAK KENA CUKAI...daun tembakau kering bergantungan di bilik bawah rumah Audrey.