antibiotik-t

Health: Antibiotik hapus bakteria

Antibiotik perlu diambil mengikut nasihat doktor.

SESETENGAH ibu bapa menganggap ‘set’ ubat untuk anak mereka tidak lengkap apabila doktor tidak memberi antibiotik. Usah hampa kerana sebelum memberikan sebarang ubat, doktor membuat pertimbangan teliti berdasarkan keadaan anak anda.

Ada banyak masalah kesihatan disebabkan jangkitan virus atau bakteria tetapi bukan semua jangkitan memerlukan ubat, khususnya antibiotik, kerana dalam keadaan tertentu ia boleh dihapuskan oleh sistem imun kita.

Antibiotik hanya diperlukan jika kita mendapat jangkitan bakteria dan ia tidak akan melawan atau memberi kesan bagi masalah kesihatan akibat jangkitan virus seperti selesema, sakit tekak dan sesetengah jangkitan telinga.

Dalam kebanyakan kes, masalah ini khususnya jangkitan saluran pernafasan atas, adalah angkara virus; bukan bakteria.

Antibiotik adalah rawatan anti mikrob khusus untuk jangkitan bakteria dan digunakan sejak 1940-an. Ia sangat penting kerana tanpa antibiotik, keadaan individu yang mendapat jangkitan bakteria boleh menjadi teruk dan membawa kepada kematian.

Pun begitu, ia hanya untuk jangkitan bakteria dan ia tidak memberi kesan kepada masalah kesihatan akibat jangkitan virus.

Bakteria ialah mikro organisma satu sel yang sentiasa ada di keliling kita. Kebanyakannya tidak berbahaya dan ada yang sangat berguna kepada manusia seperti Lactobacillus yang hidup dalam usus untuk membantu proses pencernaan makanan.

Antibiotik sangat berkesan membunuh bakteria kerana ia bertindak ke atas organisma hidup dengan menghentikan proses pembahagian dan pertumbuhan sel.

Sebaliknya, virus pula bukan organisma hidup dan tidak boleh hidup sendiri. Ia adalah partikel yang mempunyai bahan genetik dan diselaputi kot protein.

Virus hanya ‘hidup’ dan membiak apabila ada dalam badan perumah seperti manusia dan haiwan. Ini sebabnya antibiotik tidak memberi kesan ke atas virus.

Walaupun kedua-duanya boleh menjangkiti dan menyebabkan masalah kesihatan, cara ia membiak dan merebak tidak sama.

Jangkitan virus tidak perlukan antibiotik kerana badan kita menghasilkan antibodi bagi menghapuskannya. Ubat yang diberikan bertujuan mengurangkan gejala akibat jangkitan berkenaan.

Antibiotik biasanya perlu diambil selama lima hingga tujuh hari. Namun, ada juga keadaan pesakit hanya diberi antibiotik untuk tempoh lebih singkat iaitu tiga hari.

Jika antibiotik itu sesuai, pesakit akan merasai kesannya dan jika tidak, pesakit perlu datang balik berjumpa doktor sama untuk diberikan antibiotik lain.

Usah berpindah klinik atau mendapatkan khidmat doktor lain kerana doktor berkenaan tidak tahu antibiotik apa yang sudah diberikan kepada anda; kecuali anda membawa antibiotik berkenaan sebagai rujukan.

Kini ada lebih 150 jenis antibiotik di pasaran dan setiap satu bertindak ke atas bakteria berbeza.

Secara amnya, ia terbahagi kepada tiga kategori iaitu antibiotik yang menghapuskan (membunuh bakteria), menghentikan pembiakan bakteria dan gabungan kedua-duanya. Doktor akan menentukan jenis antibiotik yang sesuai untuk anda atau anak anda.

Jika antibiotik diambil terlalu kerap, termasuk untuk masalah kesihatan yang tidak boleh dirawat seperti selesema atau lain-lain jangkitan virus, keberkesanan antibiotik untuk melawan jangkitan bakteria akan berkurang apabila ia benar-benar diperlukan.

Maknanya bakteria yang menyerang seseorang itu mempunyai daya ketahanan lebih tinggi terhadap antibiotik dan memerlukan antibiotik lebih kuat untuk menghapuskannya.

Oleh itu, ibu bapa diingatkan supaya tidak terlalu cemas dan menggesa doktor untuk memberikan ubat, khususnya antibiotik yang tidak diperlukan anak, bagi mengelak kemungkinan berlakunya keadaan di atas.

Jangkitan bakteria biasanya berlanjutan lima hingga tujuh hari. Jika gejala hilang dalam masa kurang dari tempoh itu, kemungkinan besar individu berkenaan mengalami jangkitan virus dan bukan bakteria.

Ini sebabnya setiap kali anda dapat jangkitan, mesti banyak minum air dan berehat kerana jangkitan virus dan bakteria selalu menunjukkan gejala lebih kurang sama.

Mengambil antibiotik untuk jangkitan virus:

  • – Tidak akan menyembuhkan atau mengurangkan masalah kesihatan
  • – Tidak akan membuatkan anda atau anak berasa sihat
  • – Tidak akan menghalang jangkitan daripada merebak kepada orang lain
  • – Mungkin boleh menyebabkan kesan sampingan yang tidak diingini
  • Maklumat penting:

  • – Jangan menggesa diberikan antibiotik apabila doktor mengatakan ia tidak perlu
  • – Jangan ambil antibiotik untuk jangkitan virus seperti selesema dan sakit tekak
  • – Jangan sesekali makan antibiotik yang diberikan doktor untuk pesakit lain; walaupun anda mengalami masalah kesihatan lebih kurang sama. Ia mungkin boleh memperlahankan rawatan anda dan sekali gus membenarkan bakteria membiak dalam badan
  • – Jika diberikan antibiotik, habiskan semuanya mengikut arahan walaupun sudah sihat bagi memastikan semua bakteria berbahaya dihapuskan sepenuhnya
  • – Jangan simpan lebihan sebarang antibiotik untuk dijadikan ‘bekalan’ kecemasan pada masa depan
  • – Pastikan antibiotik diambil mengikut jadual daripada segi kekerapan (biasanya dua atau tiga kali sehari) sama ada sebelum atau selepas makan. Ini kerana tindakan antibiotik terhad kepada tempoh tertentu (beberapa jam). Untuk memastikan anda mendapat perlindungan, antibiotik mesti diambil dalam tempoh ditetapkan. Jika tidak, ia tidak dapat membunuh bakteria dengan berkesan
  • – Beritahu doktor jika anda hamil atau mengesyaki hamil (kebanyakan antibiotik tidak boleh diambil ketika hamil kerana ia boleh memberi kesan kepada kandungan); anda ada masalah jantung atau injap jantung atau ada masalah buah pinggang dan hati; bakal atau baru menjalani pembedahan; mengambil ubat lain atau alah pada antibiotik tertentu. – HM