tumit tinggi-t

Tumit tinggi menyeksa

DEMI kelihatan bergaya, wanita sanggup menanggung sakit dengan pemakaian kasut bertumit tinggi.

TAHUKAH anda, hampir 90 peratus pembedahan pembetulan masalah kaki seperti bunion, ibu jari kaki bengkok dan neuroma (tumor saraf yang biasanya berlaku pada jari ketiga dan keempat kaki sehingga menyebabkan rasa sangat sakit) dilakukan ke atas wanita?

Pakar perubatan berpendapat kasut menjadi punca utama kepada pelbagai masalah kaki yang dialami wanita.

Mana tidaknya, lihat saja fesyen kasut sekarang, terutama yang bertumit halus dan tinggi (sehingga empat inci) serta mempunyai bentuk runcing — yang bukan saja menakutkan tetapi boleh menyeksa kaki!

Malah, ada wanita memakai kasut bersaiz lebih kecil daripada kaki mereka semata-mata mahu kelihatan cantik.

Pemakaian kasut, terutama bertumit tinggi yang tidak berpadanan dengan bentuk dan saiz kaki, boleh menyebabkan banyak masalah.

Bagaimanakah ia boleh berlaku? Kasut tumit tinggi akan:

– Mengalihkan berat badan ke bahagian depan kaki yang boleh menyebabkan kalus, kesakitan akibat bunion (bengkak sendi tulang kaki), pembentukan belulang (kulit keras) dan perubahan bentuk kaki

– Oleh kerana berat badan ‘ditolak’ ke depan, ia akan menyebabkan tulang belakang ‘tertolak’ ke belakang untuk keseimbangan. Perkara ini lama-kelamaan akan menyebabkan sakit belakang

– Kedudukan kaki dalam kasut yang biasanya runcing di depan dan bertumit halus boleh mengakibatkan buku lali menjadi tidak stabil dan berisiko mengalami buku lali tergeliat

– Otot betis boleh menjadi pendek dan tegang. Memakai kasut tumit tinggi bagi tempoh yang lama (melebihi enam bulan berterusan) boleh mengakibatkan otot betis menjadi pendek sepanjang masa walaupun ketika berehat

Penyelidik dari Universiti Harvard mendapati, kasut tumit tinggi memang mempunyai kaitan dengan masalah osteoartritis, terutama pada lutut, kesakitan, penyakit kemerosotan sendi dan kemusnahan kartilaj pada lutut.

Lebih tajam dan halus tumit kasut, lebih banyak kesan negatif pada kesihatan, terutama pada lutut individu yang mengalami masalah artritis.

Untuk melihat kesannya, kajian dijalankan terhadap wanita muda yang diberi kasut bertumit tujuh sentimeter (2.7 inci) tinggi dengan dua kelebaran iaitu dua sentimeter (1.75 inci) dan 1.25 sentimeter (setengah inci).

Responden disuruh berjalan sejauh 10 meter dengan tiga kaedah berbeza — memakai kasut tinggi bertumit tebal, diikuti kasut tumit halus dan berkaki ayam.

Berjalan di atas kasut tumit tinggi memberi tekanan tidak normal pada depan dan belakang lutut.

Didapati kasut bertumit halus meningkatkan 26 peratus tekanan ke atas lutut, manakala tekanan kasut bertumit tebal pula sebanyak 22 peratus.

Kajian itu menunjukkan kasut bertumit rendah atau tiada tumit selamat untuk lutut wanita yang mempunyai masalah artritis.

Kebanyakan masalah ini mengambil masa lama untuk dikesan dan sebaik kesakitan dirasai, ia bermakna sudah terlewat.

Ketika ini penyakit mungkin menjadi teruk dan rawatan menghilangkan gejala kesakitan biasanya lebih mahal.

Satu fakta penting yang perlu diketahui ialah, kaki boleh menjadi cermin kepada status kesihatan secara keseluruhan.

Penyakit seperti artritis, kencing manis, masalah urat saraf dan salur darah biasanya menunjukkan gejala awal pada kaki.

Justeru, ambil langkah untuk memelihara kesihatan kaki seperti:

– Urut kaki, lebih kerap lebih baik

– Rendam kaki dalam air suam untuk menghilangkan keletihan

– Duduk rehat dengan melunjur kaki selama 10 minit boleh membantu memperbaiki aliran darah

– Buat senaman kaki seperti memusingkan tapak kaki beberapa kali. Ini boleh dilakukan sambil duduk ketika menyiapkan kerja

– Kurangkan kekerapan pemakaian kasut tumit tinggi. Pakai kasut bertumit tinggi dan halus untuk majlis tertentu saja

– Khaskan kasut tumit tinggi yang tiada sokongan di belakang (tidak bertutup atau bertali) untuk acara ‘glamor’ saja yang tidak memerlukan banyak berjalan atau bergerak. Kasut jenis ini ‘memaksa’ jari kaki membengkok ketika anda berjalan dan boleh menegangkan otot jika dipakai lama

– Tukar kasut setiap hari, sebaik-baiknya selang-selikan pemakaian kasut bertumit tinggi dengan yang lebih rendah

– Pelbagaikan jenis kasut anda

– Untuk pemakaian setiap hari, pilih kasut dengan ketinggian tumit tidak melebihi empat hingga lima sentimeter (satu setengah hingga dua inci)

– Saiz kasut berbeza mengikut jenis dan jenama. Jangan pilih kasut semata-mata berdasarkan saiz yang tertulis tetapi beli yang selesa dipakai

– Pilih kasut yang boleh memberi sokongan dan keselesaan mengikut bentuk kaki anda. Ada kasut yang membuatkan kaki anda nampak ‘runcing dan halus’ tetapi mungkin tidak selesa

– Ukur kaki anda sebelum membeli kasut. Ini kerana saiz kaki kita bertambah dengan peningkatan usia.

2 thoughts on “Tumit tinggi menyeksa

Comments are closed.