OLYMPUS DIGITAL CAMERA

Ciri tradisional Al Azim

Teks dan gambar Siti Salmiah A Hamid
salmiah@hmetro.com.my

WAJAH Masjid Al Azim, Melaka sepenuhnya

PEMBINAAN Masjid Al Azim dianggap inti pati inspirasi kepada masyarakat Melaka untuk mewujudkan sebuah tempat beribadat bertaraf negeri menggantikan Masjid Agung yang wujud 500 tahun dulu.

Kedudukannya di tapak berkeluasan enam hektar amat strategik kerana terletak lima kilometer dari pusat bandar. Bangunan itu membabitkan tiga anjung termasuk pintu masuk dan menara.

Sekitar 1982, kerajaan negeri menubuhkan satu jawatankuasa yang dipelopori tokoh kebudayaan Melayu Melaka, Tan Sri Abdul Aziz Tapa untuk merekabentuk sebuah masjid negeri yang mempunyai ciri-ciri tradisional seperti serambi, sulur bayung, tangga batu dan kubah empat segi bertingkat.

Al Azim antara projek terbesar kerajaan negeri bagi menegak syiar Islam dan simbol perpaduan ummah di negeri itu.

Sebanyak RM19.5 juta dibelanjakan untuk menyiapkan pembinaan masjid ini merangkumi dua fasa. Fasa pertama siap dibina dalam masa tujuh tahun dan mula dibuka pada Januari 1990 untuk solat Jumaat dan solat lima waktu.

Masjid itu dirasmikan dengan penuh bersejarah pada hari Jumaat 21 Zulhijjah 1410 Hijrah bersamaan 13 Julai 1990 oleh Yang Dipertuan Agong Sultan Azlan Shah.

Selepas Al Azim, semua pembinaan masjid baru perlu menggunakan model masjid negeri itu.

Ustaz Azmi, Bilal Kanan Masjid Al Azim

Pembantu Hal Ehwal Islam Kanan (Bilal Kanan) Masjid Al Azim, Nor Azmi Ishak, berkata ramai pelancong tempatan dan luar negara melawat masjid itu untuk melihat seni bina dan reka bentuknya yang menarik.

Beliau berkata, reka bentuk masjid itu mengambil kira aspek keunikan unsur seni bina tradisi Melayu dan seni ukir Islam.

Sulur bayung di hujung tulang bumbung bangunan masjid itu melambangkan keistimewaan seni bina Melayu yang menggambarkan genggaman tangan ketika tahhiyat.

“Menara setinggi 62.5 meter dibina berbentuk segi lima yang berfalsafahkan rukun Islam, mihrab menandakan arah kiblat manakala mimbar setinggi lima meter dibina daripada kayu cengal yang diukir awan larat oleh pengukir terkenal dari Kelantan, Wan Mohd Yusof.

Tulisan khat yang menghiasi dewan solat diambil daripada beberapa potongan ayat al-Quran ditulis tokoh khat dari Serkam, Melaka, Ab Latif.

Katanya, masjid itu turut menyediakan perkhidmatan taska untuk anggota perkhidmatan di bawah agensi agama.

“Masjid itu akan mengadakan rumah tumpangan Al Azim untuk pelancong luar.

“Kami juga akan menyediakan sebuah gelanggang futsal untuk belia,” katanya.

Di samping itu, masjid ini turut mempunyai Muzium al-Quran, auditorium yang boleh memenuhi lebih 50 orang, bilik kuliah untuk sebarang kursus dan ceramah serta perpustakaan.

Kelas Pengajian Tahfiz Al-Quran dan Fardu Ain untuk kanak-kanak diadakan setiap minggu, majlis Maulud Daiba’ie dan ceramah agama setiap bulan selain program tahunan.

DEWAN solat dihiasi khat Al-Quran

Untuk maklumat lanjut, layari laman web, http://www.facebook.com/masjidalazim.