Macau

Kenali keunikan Macau

Teks dan gambar Siti Salmiah A Hamid
salmiah@hmetro.com.my

MACAU, antara wilayah kecil di selatan China ditadbir Portugal sehingga 1999 adalah koloni Eropah yang diasaskan pada abad ke-16 dan tertua di China.

Macau memainkan peranan penting sebagai penghubung antara China dan Barat terutama dalam hal ehwal perdagangan pada pertengahan abad ke-16.

Bagi mengingati sejarah dan budaya Macau, Pejabat Pelancongan Kerajaan Macau (MGTO) mengadakan Festival Macau di Sunway Pyramid, Subang Jaya, baru-baru ini.

Acara selama tiga hari itu mengubah pusat beli-belah terbabit sebagai Macau mini.

Pelbagai acara diadakan termasuk pertunjukan pentas, perlumbaan Grand Prix menggunakan simulator, persembahan badut, tarian Portugis, karikatur dan persembahan ala Michael Jackson.

Wakil MGTO di Malaysia, Tunku Datuk Seri Iskandar Tunku Abdullah, berkata Pusat Sejarah Macau diisytiharkan Warisan Dunia ke-31 di China oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Pendidikan, Sains dan Kebudayaan (Unesco) pada 15 Julai 2005.

“Ia meliputi lapan lokasi iaitu Barra Square, Lilau Square, St. Augustine Square, Senado Square, Cathedral Square, St. Dominic Square, Company of Jesus Square dan Comoes Square manakala terdapat 22 bangunan bersejarah antaranya Kuil A-Ma, Berek Moorish, Rumah Mandarin, Teater Dom Pedro V, Perpustakaan Sir Robert Ho Tung serta Kota Guia.

“Lokasi ini turut meliputi peninggalan arkeologi universiti ala Barat pertama di timur iaitu Universiti St Paul, teater Barat pertama di China dan rumah contoh mendiang pedagang Qing,” katanya.

Ketua Bahagian Publisiti dan Pengeluaran MGTO, Alice Martins Coelho, berkata Festival Macau yang diadakan memberi peluang kepada orang ramai untuk mengenali lebih dalam sejarah dan keunikan Macau.

Selain itu, MGTO menganjurkan pertandingan fotografi, Kenali Macau yang bertema ‘Experience Macau with the 5 Senses’.

Pertandingan ini berlangsung sehingga 10 Ogos 2011 dengan menawarkan 10 hadiah sagu hati berjumlah RM300 dan hadiah utama wang tunai RM3,000 dan sebuah kamera Fuji Film.

Maklumat lanjut, layari laman MGTO di http://www.macautourism.gov.mo atau hubungi 03-21442500.