RASMI...(dari kiri) Pengarah Eksekutif Perodua, Zainal Abidin Ahmad; Hasrol; Timbalan Pengarah Politeknik Sultan Azlan Shah, Yaakob Hashim; Dekan Kolej Kejuruteraan Uniten, Prof Dr Mohd Zamri Yusoff; Dekan Unisel, Prof Jamaludin Mat; UKM, Prof Dr Shahrum Abdullah; Timbalan Dekan UiTM, Prof Dr Salmiah Kasalong dan Pengarah Operasi Perodua, Ahmad Suhaimi Mohd Anuar.

13 IPT bersaing

Perodua Eco-Challenge 2011

Oleh Siti Salmiah A Hamid
salmiah@hmetro.com.my

RASMI...(dari kiri) Pengarah Eksekutif Perodua, Zainal Abidin Ahmad; Hasrol; Timbalan Pengarah Politeknik Sultan Azlan Shah, Yaakob Hashim; Dekan Kolej Kejuruteraan Uniten, Prof Dr Mohd Zamri Yusoff; Dekan Unisel, Prof Jamaludin Mat; UKM, Prof Dr Shahrum Abdullah; Timbalan Dekan UiTM, Prof Dr Salmiah Kasalong dan Pengarah Operasi Perodua, Ahmad Suhaimi Mohd Anuar.

PERODUA Eco-Challenge 2011 diteruskan untuk kali ketiga pada tahun ini dengan mencari bakat baru di kalangan pelajar pusat pengajian tinggi di seluruh negara.

Pusingan akhir pertandingan terbabit bakal menjadi medan memperlihatkan bakat mereka di Litar Permotoran Antarabangsa Melaka (MIMC) pada 25 Jun ini.

Sebanyak 13 institusi pengajian tinggi (IPT) awam dan swasta terbabit dengan pertandingan ini dan menerima insentif sistem transmisi dan enjin yang disediakan oleh Perodua Corporate Responsibility.

Pengarah Urusan Perodua, Datuk Aminar Rashid Salleh, berkata Perodua Eco-Challenge 2011 diwujudkan sebagai medan mencungkil bakat menerusi latihan yang mampu mencabar kemampuan dan kebolehan teknik kejuruteraan siswazah.

“Perodua akan terus memainkan peranan dengan menyediakan pelbagai peluang kepada generasi muda hari ini.

“Pertandingan Eco-Challenge bakal mencabar kemampuan siswa, melahirkan semangat inovasi dan kreativiti.

“Juri mengambil kira penyertaan siswa, persembahan, ko mitmen, keghairahan mencipta dan kerja sama berkumpulan,” katanya.

Kumpulan Penyelidikan dan Pembangunan Perodua (R&D) yang diketuai Alias Abu Hassan, Ketua Projek, Hasrol Hashim; penasihat teknikal dan ahli kumpulan membuat kunjungan kepada pasukan bertanding.

Menerusi kunjungan, Perodua dapat memantau, memberi saranan terbaik dan menyemak prestasi kemajuan pasukan di samping menyelesaikan masalah yang timbul.

Lawatan terbabit menilai kemajuan dan daya usaha institusi, malah pasukan Perodua akan memastikan mereka mematuhi segala peraturan dan keselamatan.

Institusi pengajian tinggi yang turut serta pada tahun ini antaranya Universiti Selangor yang pernah mencapai ke menangan di tempat ketiga pada 2009 dan tempat kedua pada 2010.

Turut mengambil bahagian ialah Politeknik Sultan Azlan Shah dan Universiti Teknologi Mara (UiTM), Politeknik Port Dickson, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Universiti Teknikal Malaysia (UTeM) Melaka.

Pasukan yang menghasilkan kenderaan yang mampu bergerak jauh dengan 1/2 liter Petronas Primax 95 bakal membawa pulang hadiah utama berjumlah RM20,000.

Pemenang bagi kejuruteraan terhebat menerima RM10,000 diikuti dengan penyertaan dan rekaan terbaik sebanyak RM5,000.