SILAKAN...Masjid Ubudiyah bermula sebagai surau di rumah teres.

Masjid Ubudiyah jadi ikutan ramai

Menang banyak anugerah pentadbiran dan keceriaan rumah ibadat di Melaka

Oleh Siti Salmiah A Hamid
salmiah@hmetro.com.my

SILAKAN...Masjid Ubudiyah bermula sebagai surau di rumah teres.

TIDAK dinafikan Melaka antara negeri di Malaysia yang mengalami proses pembangunan ekonomi dan sumber manusia pesat berikutan penghijrahan sejak zaman kesultanan Melaka.

Ayer Keroh Heights antara kawasan perumahan yang menerima penghijrahan segera. Bagi menampung keperluan umat Islam khasnya membabitkan solat berjemaah, sebuah rumah teres di Lorong Setia 7 disewa dan dijadikan surau sementara.

Hasil dana terkumpul sebanyak RM60,000 daripada derma orang ramai dan sumbangan kerajaan negeri, sebuah surau dibina di atas tapak yang disediakan pemaju Ayer Keroh Heights.

Pada 1985, Jabatan Agama Islam Melaka (Jaim) mewujudkan Kariah Ayer Keroh untuk penduduk Ayer Keroh Heights yang sebelum ini terletak di bawah Kariah Bukit Katil.

Ini sekali gus menaik taraf surau itu kepada Masjid Ubudiyah, nama yang diberi Mufti Negeri Melaka, Datuk Mohd Yunus Mohd Yatim.

KHAT...tulisan ayat Al-Quran diperincikan pada dinding masjid.

Masjid Ubudiyah pada masa kini mengalami beberapa fasa pengubahsuaian bagi menampung jumlah penduduk beragama Islam yang semakin meningkat di Kariah Ayer Keroh.

Fasa terakhir pada 2009 membabitkan pembinaan bangunan baru membabitkan tempat berwuduk, tandas lelaki dan wanita, bilik stor, dapur serta ruang sembahyang di luar.

Imam Satu dan Pengerusi Jawatankuasa Masjid Ubudiyah, Saarani Daud, berkata pengubahsuaian masjid membolehkannya menampung kira-kira 1,500 orang selain dpasang kemudahan penghawa dingin.

“Masjid ini memiliki menara setinggi 7.5 meter selain mimbar kayu yang diukir menggunakan khat pelbagai surah dalam al-Quran disumbangkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Melaka,” katanya.

Memandangkan taman ini terdiri daripada berbilang bangsa dan agama, aktiviti kemasyarakatan diberi keutamaan dengan menjemput penduduk bukan beragama Islam hadir dalam aktiviti di masjid itu.

“Selain majlis akad nikah yang dikendalikan Imam 1 atau Imam II, Masjid Ubudiyah turut mengadakan pelbagai program seperti kursus menyembelih haiwan, kursus motivasi pelajar sekolah menengah dan rendah, kursus umrah dan program bubur lambuk dengan kerjasama Universiti Teknikal Malaysia Melaka.

“Program lain termasuk tazkirah selepas solat Subuh dengan menterjemah dan mengupas huraian hadis dan al-Quran, program mingguan kelas takmir, fardu ain dan kelas mengaji untuk wanita, bacaan Yasin dan tahlil,” katanya.

Program tahunan meliputi semua keraian dalam kalendar Islam termasuk Awal Muharam, Asyura, Maal Hijrah, Maulidur Rasul, Israk Mikraj, Nisfu Syaaban, aktiviti di bulan Ramadan, sambutan Aidilfitri, Aidiladha, korban berkelompok selain kenduri arwah.

Sambutan Maal Hijrah, Maulidur Rasul dan Israk Mikraj dikatakan menarik kerana adanya perarakan sekitar perumahan Ayer Keroh Heights sepanjang tiga kilometer.

PENTADBIR...Saarani (kiri) bersama ahli jawatankuasa Masjid Ubudiyah.

Masjid Ubudiyah terkenal dengan kejayaannya dalam pelbagai aspek seperti johan pentadbiran dan keceriaan masjid peringkat negeri Melaka sempena Maal Hijrah 1430H, naib johan pertandingan kebersihan tandas peringkat daerah Melaka Tengah, johan landskap terbaik negeri Melaka peringkat daerah Melaka Tengah sempena Hari Kemerdekaan 2002.

Hasil kejayaan itu, Masjid Ubudiyah sering menerima pelawat dari pelbagai masjid seperti Masjid Jempol dan Masjid Paroi, malah mengadakan lawatan bersama Jaim ke Johor dan Singapura bagi menambah ilmu.

Menurutnya, masjid itu akan meluaskan aspek pengimarahan masjid menerusi perkhidmatan perpustakaan mini dan bilik komputer sesuai dengan perkembangan semasa.

Untuk maklumat lanjut layari laman web, http://www.al-azim.com/~ayerkeroh.