PUTRA PERDANA...lambang pemerintahan negara.

Tarikan Putrajaya

Putrajaya terutama seni binanya menggabungkan pelbagai budaya dan tamadun

Oleh Siti Salmiah A Hamid
salmiah@hmetro.com.my

PUTRA PERDANA...lambang pemerintahan negara.

DIKENALI Wilayah Persekutuan ketiga selepas Kuala Lum pur dan Labuan, Putrajaya dibangunkan di kawasan bekas tanah paya dan ladang sawit di Prang Besar, daerah Sepang.

Lokasi yang berkeluasan 4,932 hektar terletak dalam ling kungan Koridor Raya Multimedia (MSC) yang strategik kerana hanya 25 kilometer ke selatan Kuala Lumpur dan 20 kilometer ke utara Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Bermula 1 Februari 2001, pembangunan wilayah ini me letakkannya sebagai Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan yang baru, manakala Kuala Lumpur kekal sebagai ibu negara dan pusat perdagangan Malaysia.

Nama Putrajaya diambil sempena Perdana Menteri Malaysia pertama, Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj.

Berasaskan tema Bandar Dalam Taman, 38 peratus daripada jumlah keseluruhan kawasan Putrajaya dibangunkan untuk kegunaan taman, tasik dan ‘wetland’, manakala bakinya pejabat kerajaan dan swasta.

Bandar Bestari pula dikaitkan dengan pembangunan pintar yang selaras dengan inisiatif e-Kerajaan.

Wilayah Persekutuan Putrajaya mempunyai pelbagai tempat menarik yang menjadi daya tarikan pelancong dari dalam dan luar negara.

1) MASJID PUTRA

Didirikan pada 9 Mac 1999, Masjid Putra menjadi mercu tanda Putrajaya dan yang termoden di dunia.

Masjid ini direka berdasarkan seni bina Parsi ketika empayar Safavid. Gabungan seni bina Melayu, Parsi dan Arab me lahirkan bentuk kesenian halus yang boleh dilihat di segenap ruang masjid ini.

Menara setinggi 116 meter di sebelah kiri pintu gerbang Masjid Putra diinspirasi daripada Masjid Sheikh Omar, Baghdad manakala dinding aras bawah menyerupai rekaan Masjid Raja Hassan II di Casablanca, Morocco. Ia mampu memuatkan lebih 10,000 jemaah pada satu-satu masa.

Kedudukan masjid ini bersebelahan Dataran Putra serta berhadapan Tasik Putrajaya. Sebahagian besar kawasan mas jid ini dikelilingi tasik membuatkan ia seolah-olah terapung di atas air.

2) TASIK PUTRAJAYA

Terletak di tengah Putrajaya, tasik seluas 650 hektar ini menjadi tarikan utama. Ia direka bukan saja sebagai sistem penyejuk alam, malah sesuai untuk pelbagai aktiviti rekreasi seperti memancing, sukan air dan pengangkutan

Menerusi perkhidmatan Pelayaran Persiaran Tasik Putrajaya (CTP) sama ada melalui bot persiaran penumpang atau perahu, pelancong dapat menghayati keindahan peman dangan tasik serta keseluruhan Putrajaya meliputi Masjid Putra, Istana Darul Ehsan, Perdana Putra dan Jambatan Putra.

Lokasinya CTP ialah di Jeti Putra (di bawah Jambatan Putra) dengan tiket berharga RM20 hingga RM50 seorang.

3) PERDANA PUTRA

Perdana Putra terletak berhadapan Tasik Putrajaya. Ia mempunyai bangunan berdinding batu asli dengan atap hijau dan kubah berbentuk bebawang, dikelilingi empat kubah lebih kecil membentuk mercu tanda di Putrajaya.

Terletak di Presint 1, bangunan ini diduduki kali pertama pada April 1999.

Struktur pembinaannya dipengaruhi kesenian Melayu, Is lam dan Eropah.

Selain menempatkan pejabat Perdana Menteri, ia turut mempunyai pejabat Timbalan Perdana Menteri, Menteri dan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri serta pejabat Ketua Setiausaha Kerajaan.

4) TAMAN PUTRA PERDANA

Kedamaian taman seluas 159 hektar di puncak tertinggi di Presint 1 yang dikelilingi Persiaran Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, melambangkan keunikan simbiosis antara ma nusia dan alam semula jadi.

Taman ini turut menyediakan Kapsul Masa (mengandungi dokumen penting sejarah dan perkembangan Putrajaya) serta kemudahan laluan pejalan kaki sejauh dua kilometer yang menghubungkan Laman Haruman, Medan Perdana serta Laman Megalit.

5) TAMAN BOTANI

Berkeluasan 93 hektardi bahagian Utara Presint 1 yang dibuka setiap hari dari jam 9 pagi hingga 7 malam mampu menampung 5,000 pelancong pada satu-satu masa.

Mempunyai lebih 700 spesies tumbuhan daripada benua berbeza di dunia, ia direkabentuk sebagai sebuah taman perlindungan kebangsaan untuk koleksi taksonomi tum buhan dan sebagai pusat kajian bagi khazanah yang tidak ternilai ini.

Sesuai dijadikan pusat pembelajaran kerana mempunyai 13 tempat dalam taman ini meliputi Titian Kanopi (sepanjang 170 meter), Taman Paku-Pakis, Denai Heliconia, Bukit Palma (mengandungi 50 spesies palma), Siar Kaki Sisiran Tasik, Astaka Morocco (sesuai untuk majlis dalam taman), Taman Suria serta Taman Flora (mengandungi koleksi tanaman Amerika Tropika, tanaman Afrika, tanaman Asia Pasifik dan Teduhan Ara).

6) TAMAN WETLAND

Wetland buatan manusia terbesar di Malaysia ini terbahagi kepada 2 komponen – Taman Wetland Putrajaya dan Pusat Rekreasi Tasik yang berkeluasan 335 hektar. Taman Wetland Putrajaya adalah keseluruhan wajah kepada wetland ma nakala Pusat Rekreasi Tasik berfungsi sebagai pusat rekreasi yang menawarkan pelbagai aktiviti air.

Terletak di Presint 13, ia berfungsi sebagai penapis men dapan, nutrien dan bahan cemar semula jadi sebelum air Sungai Chua, Sungai Bisa dan tiga anak sungai lain mengalir ke Tasik Putrajaya.

Pelbagai kemudahan rekreasi disediakan untuk pelancong seperti berbasikal, memancing, menaiki bot, bersampan, kayak, kanu dan perkhemahan.

Ia turut menyediakan modul pendidikan dan pembelajaran kepada pelajar.

Tasik ini menjadi habitat pelbagai jenis haiwan akuatik dan burung seperti Ruak-ruak, Pucung Keladi dan Bangau Kecil. Pelancong boleh menghayati pemandangan indah dari Me nara Pandang Jauh serta melihat gelagat hidupan di Kolam Flamingo dan Tasik Angsa.

7) TAMAN RIMBA ALAM

Taman yang merentangi Presint 14 dan 15 ini berkonsepkan hutan bandar iaitu kombinasi ekosistem hutan tropika de ngan taman rekreasi metropolitan.

Ia dianggap unik kerana buat pertama kalinya dalam negara, sebahagian daripada ladang getah dan kelapa sawit asal di Estet Sedgeley dan Prang Besar ditransformasi kepada hutan bandar tropika bagi tujuan rekreasi, penyelidikan dan pem belajaran.

Hampir 400 spesies pokok hutan ditanam di taman ini dengan jumlah penanaman melebihi 95,000 pokok.

8) TAMAN CABARAN

Dibuka secara rasmi pada 10 Januari 2010, Kompleks Sukan Lasak di Presint 5 dibangunkan sebagai pusat sukan lasak bertaraf dunia yang berkeluasan 30.33 hektar dan ber sempadan dengan Taman Selatan di Presint 20.

Taman Cabaran Putrajaya dilengkapi kemudahan sukan mendaki dinding, sukan luncur, denai basikal lasak dan ‘thrill park’ yang meliputi lima cabang sukan iaitu BMX stunt, inline skating, mountain bike, skateboard dan wall climbing.

9) RESTORAN JM BARIANI HOUSE

Lokasinya strategik kerana terletak di pusat membeli-belah Alamanda di Presint 1.

Menu yang ditawarkan antaranya ayam beriani, daging beriani, ayam masak merah, ayam goreng rempah, mi bandung, tauhu bakar serta rojak petis.

Harga yang ditawarkan antara RM8 hingga RM17.

10) PENGINAPAN

Antara hotel di sini ialah Pullman Putrajaya Lakeside di Presint 5, Hotel Palm Garden di IOI Resort dan Hotel Putrajaya Shangri-La di Putra Perdana Presint 1.

Kediaman enap desa boleh anda temui di Homestay Sakura House Putra Damai, Presint 9, Homestay Oden di Presint 9 dan Homestay Nas Putrajaya di Presint 9.

>INFO

* Masih banyak lagi destinasi menarik di Putrajaya harus dikunjungi antaranya menilai seni bina utuh jambatan seperti jambatan Putra, jambatan Seri Saujana dan jambatan Seri Wawasan.

* Aktiviti santai diadakan di beberapa Persiaran Perdana seperti di Dataran Gemilang, Dataran Putra dan Dataran Putrajaya.

* Hayati pelbagai taman di Putrajaya, antaranya Taman Warisan Pertanian, Taman Selatan, Taman Wawasan dan Taman Ekuastrian Putrajaya.

>BAGAIMANA KE SINI:

* Dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA)

– Ambil lebuh raya North-South Central Link (ELITE) menuju ke Plaza Tol Putrajaya.

– Belok ke kiri di Universiti Cyberjaya/Multimedia, ke mudian masuk ke Lebuh Raya Puchong-Damansara. Belok ke kanan untuk memasuki Lebuh Raya Puchong-Kajang. Anda sudah sampai Putrajaya melalui selekoh ke kiri sebelum Palm Green IOI dan kemudian buat pusingan U di IOI Palm Garden Resort.

* Dari Kuala Lumpur

Ambil selekoh kanan selepas Plaza Tol Kajang di Lebuh Raya KL-Seremban. Maju terus ke hadapan selepas Uniten (Uni versiti Tenaga) di Bangi. Ambil selekoh kiri sebelum dan sekali lagi selekoh kiri selepas IOI Palm Garden.

* Dari Lebuh Raya Damansara Puchong

Menerusi LDP (Lebuh Raya Damansara/Puchong) anda akan dibawa terus ke Putrajaya apabila anda mengambil selekoh kiri sebaik saja memasuki Cyberjaya/Pulau Meranti.