Putrajaya bermandi mawar

Bunga ros jadi tema Festival Bunga dan Taman Putrajaya 2011

Oleh Siti Salmiah A Hamid
salmiah@hmetro.com.my

RASMI...Raja Nong Chik (kanan) bersama isteri Datin Nafesah Raja Nong Chik melihat susunan bunga mawar sambil diperhatikan Samsudin (kiri) dan Ahmad Phesal ketika pelancaran Floria Putrajaya 2011 di Perbadanan Putrajaya.

BERTEMAKAN ‘Mawar untuk Selamanya’ Festival Bunga dan Taman Putrajaya 2011 (Floria Putrajaya 2011) bakal berlangsung selama sembilan hari bermula pada 9 hingga 17 Julai di Pesisiran Tasik, Presint 2, Putrajaya.

Putrajaya bakal ditransformasi dengan pelbagai bunga-bungaan indah dan harum seperti mana kali pertama ia berlangsung pada 2007 seterusnya 2009, 2010 dan tahun ini dengan menyaksikan kemeriahan bunga mawar yang pelbagai jenis dan warna.

Menteri di Kementerian Wilayah Persekutuan dan Ke sejahteraan Bandar, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin berkata, kutipan hasil jualan tahun ini dijangka meningkat 100 peratus berdasarkan prestasi jualan tahun sebelumnya.

“Pada 2009, kutipan berjumlah RM767,949 meningkat sebanyak 118% pada 2010 dengan hasil kutipan berjumlah RM 1.67 juta. Peningkatan sebanyak RM 906,086 dalam masa setahun ini adalah satu pencapaian yang amat membang gakan dan memberi galakan untuk meneruskan festival ini di masa akan datang.

“Tahun ini juga hampir 800,000 pengunjung disasarkan hadir berbanding 700,000 pada tahun lepas.

“Seramai 13 pereka flora dan landskap terkenal dari pelbagai negara seperti Kanada, New Zealand, Korea, Jepun dan Thailand hadir memeriahkan festival terbabit dan dijangka mencuri tumpuan pengunjung,” katanya.

Hadir sama, Ketua Setiausaha kementerian berkenaan, Datuk Ahmad Phesal Talib dan Presiden Perbadanan Put rajaya, Tan Sri Samsudin Osman.

Floria Putrajaya 2011 bakal mempromosikan koleksi mawar menerusi pameran dalam taman dengan mempamerkan 12,000 pokok bunga mawar pelbagai spesies selain 400,000 pelbagai tumbuhan bunga.

Bunga mawar yang mempunyai 100 spesies di sekitar Asia Tenggara dan 300 spesies di seluruh dunia dipilih menjadi tema sebagai lambang kepada usaha murni kerajaan untuk memupuk dan menyuburkan kasih sayang antara rakyat berbilang kaum di negara ini.

Ia juga adalah simbol kepada kasih sayang dan penghargaan terhadap keindahan alam yang dapat dilihat menerusi seni rekaan taman dan gubahan.

Kemeriahan Floria Putrajaya 2011 bakal diserikan dengan pameran bot yang direka bentuk dan dihias indah yang akan belayar di Tasik Putrajaya.

Acara yang julung kali diadakan di Putrajaya ini dianjurkan oleh Kementerian Pelancongan Malaysia menerusi ‘1Malaysia International Tourism Night Floral Parade 2011.’

Festival pada tahun ini turut diwarnai penyertaan daripada tiga agensi korporat dan swasta, enam jabatan dan agensi kerajaan, lapan persatuan, 13 sekolah rendah, sembilan sekolah menengah, 10 institusi pengajian tinggi serta pe ngusaha bunga.

Pelbagai gerai disediakan memenuhi keunikan festival kali ini iaitu 55 gerai usahawan kraftangan, 50 gerai jualan bunga, tanaman hiasan, produk untuk taman, hortikultur di ‘Garden Bazaar & Hortmart’, 40 gerai makanan dan minuman ma nakala bunga-bungaan taman hidup dipamerkan di lebih 80 lot.

Selain daripada itu, pengunjung berpeluang menyertai lebih 200 aktiviti harian, hiburan berunsur pendidikan, bengkel dan demonstrasi perkebunan antaranya astaka bunga-bungaan, bazar kebun, laman seni, pertandingan fotografi dan lukisan cat air. – Harian Metro