ABDUL RAHIM JAAFAR / RAMPAS BAJU KOMUNIS

Bawa baju-T komunis

ANASIR ...Abdul Rahim (tengah) menunjukkan baju-T tertera imej bekas pemimpin PKM yang dirampas daripada sekumpulan lelaki dan wanita.

KEPALA BATAS: Baju-T memaparkan imej tokoh komunis dan gerila Argentina, Ernesto ‘Che’ Guevara atau dikenali sebagai El Che dan beberapa bekas pemimpin Parti Komunis Malaya (PKM) seperti Chin Peng dan Rashid Maidin antara barangan dirampas daripada sekumpulan 31 lelaki dan wanita yang ditahan dalam sebuah bas dekat Plaza Tol Sungai Dua, Butterworth, kelmarin.

Bas dinaiki kumpulan dari Sungai Petani, Kedah dipercayai dalam perjalanan untuk menghasut orang ramai membenci kerajaan sambil membawa sejumlah baju-T itu termasuk risalah Parti Sosialis Malaysia (PSM), pembesar suara dan kain rentang.

Kumpulan berkenaan membabitkan 17 lelaki dan 14 wanita berusia antara 16 hingga 64 tahun diketuai Ahli Parlimen Sungai Siput, Dr Michael Jeyakumar.

Polis yang mendapat maklumat mengenai kumpulan terbabit menahan bas dinaiki mereka di Plaza Tol Sungai Dua kira-kira jam 12 tengah hari serta merampas barangan yang diletakkan di ruang bagasi.

Timbalan Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Abdul Rahim Jaafar berkata, ahli kumpulan itu memakai baju-T kelabu mempunyai lambang gunting yang memotong dacing.

Menurutnya, polis yang menjalankan pemeriksaan lanjut menemui sejumlah baju-T merah tertera perkataan ‘Kesatria’ serta gambar bekas pemimpin PKM seperti Chin Peng, Rashid Maidin, Suriani Abdullah serta gambar pemimpin gerila Argentina itu.

“Turut dirampas beberapa naskhah akhbar PSM, bendera PSM serta kain rentang tertera tulisan ‘Udahla Tu…Bersaralah’ yang berbaur hasutan agar membenci dan menentang kerajaan selain risalah Bersih 2.0.

“Kumpulan itu ditahan dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Prai Utara (SPU) untuk diambil keterangan,” katanya.

Abdul Rahim berkata, kumpulan berkenaan membawa barangan berkaitan fahaman komunis yang diharamkan dipercayai untuk ke perhimpunan Bersih 2.0.

Katanya, kumpulan itu ditahan kerana boleh mengancam keselamatan orang ramai selain membawa unsur menghasut rakyat membenci kerajaan.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 122 Kanun Keseksaan (mengumpulkan senjata dan sebagainya dengan niat hendak berperang melawan Yang Dipertuan Agong, Raja atau Yang Dipertua Negeri).

Sementara itu, semua mereka kecuali seorang remaja direman tujuh hari bermula semalam bagi membantu siasatan. – Harian Metro

Related:
KDN mungkin guna ISA
‘Tak sabar nak kuasa’

3 thoughts on “Bawa baju-T komunis

  1. Rasanya semua dah tau bahaya dan bahana yang akan berulang sekiranya kerajaan Malaysia tidak menghalang kebangkitan semula ala komunis di negara kita ini.

    Cuba renung kembali.. kesusahan ibu bapa kita di zaman PKM dahulu dengan keamanan yang kita kecapi selepas berjaya menentang komunis. Mana lebih menguntungkan kita sebagai rakyat? Semasa sekarang inikah dengan tiadanya komunisme atau kembali semula ke zaman ibu bapa sewaktu parti PKM mengusung senjata?

    Kepada mereka yang terlibat… FIKIR sedalam-dalamnya! PILIH sebaik-baiknya! Nak ISA ke atau hidup sebagai manusia bebas di bumi sendiri ?!

Comments are closed.