SUV mewah, berkuasa

Range Rover 5.0 liter Petrol Supercharged capai kelajuan 100km/j dalam 6.2 saat

Oleh Siti Salmiah A Hamid
salmiah@hmetro.com.my

LANCAR...Hanif (kanan sekali) bersama Cyril (dua dari kanan) dan Hazem (kiri) ketika merasmikan Range Rover 2011 di Bangsar baru-baru ini.

LAND Rover (M) Sdn Bhd memperkenalkan Range Rover 5.0 liter Petrol Supercharged versi 2011 sebagai kenderaan utiliti sukan (SUV) paling mewah dan berkuasa di dunia.

Ketua Operasinya, Mohd Hanif Tan Abdullah, berkata Range Rover 5.0 liter ini satu-satunya yang dikeluarkan dalam versinya tersendiri berbanding sebelumnya model Range Rover 4.2 liter petrol.

“Land Rover menyasarkan 20 unit jualan untuk 2011 dan sehingga pertengahan tahun ini, sebanyak lapan unit tem pahan sudah diterima.

“Syarikat juga bakal mengeluarkan Range Rover yang menggunakan diesel 4.4 liter antara Julai hingga Ogos ini bagi memberi pilihan kepada penggemar kenderaan terbabit na mun ia tidak menggunakan enjin supercharged,” katanya.

Hadir sama Pengarah Urusan Land Rover Malaysia, Mohd Hazem Abd Rahman dan Pengurus Pembangunan Produk dan Latihan Jualan Sime Darby Auto Connexion Sdn Bhd, Cyril Anandan.

Gabungan enjin LR-V8, transmisi enam kelajuan dengan ‘paddle shift’, penambahbaikan Terrain Response dan pe ningkatan gaya luaran terus dikekalkan bagi memastikan ia sentiasa berada dalam segmen SUV mewah.

Enjin supercharged LR-V8 5.0 liter adalah ringan, cekap dan sebagai penanda aras yang baru bagi aspek penjimatan, kelancaran serta prestasi kenderaan. Ia mampu menjana kuasa sehingga 510bhp dan 625 Nm tork, 28 peratus lebih berkuasa berbanding enjin sebelumnya selain menghasilkan 10 peratus lagi tork.

Kekuatan ini membolehkan Range Rover terbabit mencapai kelajuan 100 kilometer sejam (km/j) dalam tempoh 6.2 saat saja malah mengurangkan pembebasan karbon dioksida (CO2) sebanyak 7.4 peratus berbanding enjin sebelumnya.

Sistem Pengurusan Kuasa Pintar (IPMS) Land Rover memastikan alat ‘alternator’ tidak melakukan tugas tambahan dan enjin tidak menggunakan lebih banyak minyak daripada yang sepatutnya maka pembaziran bahan api tidak akan berlaku ketika penghasilan kuasa.

Sistem Terrain Response pula menampilkan dua lagi penambahbaikan iaitu Hill Start Assist (HSA) dan Gradient Acceleration Control (GAC). kedua-duanya berkaitan dengan sistem brek yang mampu menghasilkan cengkaman baik dan memberi perlindungan keselamatan kepada pemandu.

Gaya mewah SUV ini tidak terkecuali daripada kemasan kulit Eropah pada bahagian lapik atas dan panel pintu digabungkan dengan kemasan kulit mewah Oxford yang ditebuk, sistem audio mewah harmon/kardon dengan 14 unit pembesar suara, jaring gril ‘Nobel’ pada bahagian hadapan dan sisi serta rim aloi bersaiz 20 inci.

Bagi pasaran tempatan, Land Rover menawarkan warna Nara Brown yang menampilkan imej mewah dan menawan dengan harga RM798,888 bagi Semenanjung dan RM802,388 untuk Sabah dan Sarawak.

Pada masa yang sama, Land Rover turut mengumumkan kemasukan model terbarunya Range Rover Evoque pada September tahun ini.

Model berkenaan didatangkan dengan pilihan enjin petrol dua liter atau diesel turbo bergantung kepada jenis model tiga pintu atau lima pintu dengan harga antara RM400,000 seunit. Sehingga kini, 40 tempahan diterima dan bakal meningkat sehingga 200 unit hingga akhir tahun ini. – Harian Metro