1,000 profesor berbincang

Oleh Siti Salmiah A Hamid
salmiah@hmetro.com.my

DR MOHAMED...Kongres Profesor Negara menjadi medan debat ilmuwan negara.

SEMPENA penubuhannya pada 1 April tahun lalu, Majlis Profesor Negara (MPN) menganjurkan Kongres Profesor Negara (KPN) di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur membabitkan lebih 1,000 profesor dari seluruh negara.

Pengarah KPN yang juga Naib Canselor Universiti Utara Malaysia (UUM), Profesor Datuk Dr Mohamed Mustafa Ishak berkata, pelaksanaan kongres ini sebagai wadah kepada profesor tempatan dengan menjalinkan kerjasama antara institusi bagi membincangkan pelbagai disiplin ilmu.

“Agenda transformasi negara akan dibahaskan menurut perspektif ilmu sejagat, sains kemanusiaan dan sains semula jadi. Golongan terbabit dianggap penting dalam memberi pelbagai pandangan mengikut kepakaran masing-masing bagi membantu kerajaan dalam melaksanakan program trans formasi.

“Negara tidak pernah kekurangan profesor dalam pelbagai bidang yang mampu memantap dan menjana ilmu dalam mengembangkan pendidikan negara serta menghadapi ca baran pendidikan akan datang.

“Kepakaran dan ilmu pengetahuan yang dimiliki golongan terbabit perlu diguna sebaik mungkin bagi memudahkan usaha kerajaan ke arah transformasi negara,” katanya.

Ketika ini, negara mempunyai kira-kira 11,000 pensyarah bertaraf PhD dan menjelang 2015 jumlah terbabit meningkat sehingga 18,000 menerusi program MyBrain15.

Bagi mencapai sasaran ini, universiti tempatan perlu mem punyai sekurang-kurangnya 60 peratus pensyarah PhD ber taraf penyelidikan manakala 70 peratus bertaraf profesor PhD.

Ditanya mengenai kegagalan pelajar menamatkan program pendidikan di luar negara, Mustafa berkata:

“Pusat pengajian tinggi tempatan sentiasa menggalak pen syarahnya menyambung pendidikan sehingga ke peringkat tertinggi namun kebanyakannya gagal disebabkan kurang persiapan untuk menghadapi situasi pendidikan yang berbeza malah melengah-lengahkan masa menyiapkan tesis.

“Pelajar itu harus menyudahkan pembelajarannya dalam negara dan menyiapkan tesis seperti syarat yang ditetapkan universiti tempatan,” katanya.

Kongres itu dirasmikan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Turut hadir, Pengerusi MPN, Profesor Emeritus Datuk Dr Zakri Abdul Hamid dan penerima anugerah Profesor Ulung Negara, Profesor Datuk Dr Shamsul Amri Baharuddin.

Penceramah antarabangsa yang diundang ialah Profesor Dr Michael E Porter dari Universiti Harvard dan Profesor Dr Nay Htun. – Harian Metro