Kia Sportage 2.0 -b

Sportage baru lebih urban

SUV anggun, moden, berani dengan mengekalkan fungsi dan fleksibiliti generasi sebelumnya

Oleh Siti Salmiah A Hamid
salmiah@hmetro.com.my

LANCAR...SM Nasarudin (kanan) bersama Syed Abdul Hafiz (tengah) dan SP Choi ketika merasmikan Kia Sportage terbaru di KLCC.

PENGEDAR tunggal Kia Motors, Naza Kia Malaysia Sdn Bhd melancarkan model Kia Sportage 2.0 baru yang mendapat sentuhan yang lebih dinamik di jalanan, baru-baru ini.

Kia Sportage baru ini bakal menarik peminat tempatan dengan bentuknya yang lebih urban, menarik malah prestasi, kecekapan dan keselesaan dipertingkatkan setanding tek nologi yang digunakan.

Ketua Pegawai Operasi Naza Kia Malaysia, Datuk Syed Abdul Hafiz Syed Abu Bakar berkata, syarikat menyasarkan jualan 200 unit sebulan berdasarkan permintaan kukuh model itu di pasaran tempatan.

“Kia ini didatangkan dengan pakej kenderaan utiliti sukan (SUV) lebih anggun, moden dan berani tetapi masih me ngekalkan fungsi dan fleksibiliti model generasi sebelum nya.

“Tidak hairanlah ketika ini, Kia Sportage baru yang hadir sebagai SUV kompak mencatat jualan menguntungkan di luar Korea Selatan,” katanya.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Naza Kia Malaysia, SM Nasarudin SM Nasimuddin dan Pengurus Besar dan Ketua Operasi (Asean) Kia Motors Corporation, SP Choi.

Menariknya, Kia turut memperkenalkan enjin petrol Theta II 2.0 yang bersesuaian dengan dwi sistem transmisi jujukan (CVVT) mampu menghasilkan 166 PS dan 197 Nm tork serta diperkukuhkan dengan auto transmisi enam kelajuan.

Kenderaan terbaru ini memperkenalkan sistem AWD (All-Wheel-Drive) sebagai strategi pemasaran dan dikatakan bersesuaian dengan keadaan di Malaysia agar boleh memasuki semua landasan.

Bukan sekadar selesa, Sportage baru dilengkapi sistem keselamatan yang mendapat pengiktirafan Euro NCAP di datangkan dengan enam beg udara, ABS, EBD, kawalan brek ketika menuruni bukit, sistem bantuan menaiki bukit, kawalan brek ketika selekoh dan sistem bantuan brek.

Keadaan kereta yang lebih luas dan selesa manakala dalaman kereta pula diberi sentuhan baru seperti stering yang dikemas kini dengan sentuhan kulit dan alat kawalan, tempat duduk berkulit, sistem audio dipertingkatkan, sambungan Bluetooth, AUX, USB dan iPod.

Bagi memberi impak yang lebih menarik, Sportage di datangkan dengan rim aloi 18 inci yang lebih maskulin pada wajah Sportage, lampu LED siang menawarkan tambahan keselamatan serta memperlihatkan gaya mewah manakala bumbung boleh buka meningkatkan gaya mewah kabin Sportage.

Kia Sportage terbaru ini memenangi pelbagai anugerah sejak pelancarannya pada pertengahan tahun lalu, antaranya Anu gerah Reka Cipta Red Dot 2011 di Jerman dan Anugerah Reka Cipta Produk iF 2011.

Model Kia Sportage diimport sepenuhnya (CBU) dengan menawarkan lima warna menarik iaitu Clear White, Bright Silver, Techno Orange, Sand Track dan Mineral Silver.

Harga yang ditawarkan ialah RM138,888, dengan jaminan lima tahun. – Harian Metro