The Legend International Water Homes, Port Dickson 2

Kemewahan tiada tandingan

Setiap Villa Hotel Legend International Water Homes ada kolam mandi

Oleh Siti Salmiah A Hamid
salmiah@hmetro.com.my

DAMAI...wajah The Legend International Water Homes di Port Dickson.

BERLATAR belakang persekitaran damai dan harmoni, Hotel Legend International Water Homes mampu menawarkan tahap kemewahan dan keselesaan yang tiada tandingannya.

Setiap unit penginapan mempunyai kolam persendirian, taman dan menawarkan ketenteraman tanpa gangguan. Ia dianggap ekslusif dan privasi kerana kedudukannya di tengah-tengah persekitaran semula jadi.

Terletak di Port Dickson, lokasi hotel ini agak hampir dengan pekan Lukut malah terdapat banyak tempat menarik yang boleh dikunjungi, antaranya pantai Teluk Kemang, Hutan Simpan Tanjung Tuan, Taman Perlindungan Kelip-Kelip Sungai Linggi, Rumah Api dan pantai Lagun Biru.

Pusat peranginan lima bintang di Port Dickson ini amat menarik kerana dilengkapi kemewahan berkonsepkan Bali yang dihubungkan dengan laluan papan luas yang menguasai pemandangan indah dari laut terbuka.

Penginapan di Legend International Water Homes menawarkan 240 villa mewah yang dilengkapi dengan kemudahan moden seperti penghawa dingin, TV LCD, pemain DVD, telefon, mini bar dan ketuhar gelombang.

Setiap villa mempunyai kolam renang peribadi, halaman dan panel kaca di atas lantai bagi membolehkan pengunjung menikmati pandangan bawah air yang menakjubkan.

Keseluruhan dekorasi dalaman villa dilengkapi dengan batu asli dari Bali, marmar dan lantai kayu tropika serta meja solek, hiasan kepala katil, perabot berkualiti dan bilik mandi yang bersih.

Pengunjung tidak perlu risau dengan pemilihan makanan kerana Legend International Water Homes menyajikan masakan tempatan dan antarabangsa yang lazat di Restoran Duyung dan Restoran Gen Jepun.

Bagi mereka yang memilih tempat tidak formal untuk berbual selepas menyejukkan badan dengan renangan bebas, Pool Cafe amat sesuai.

Beroperasi dari jam 11 pagi hingga 10 malam, Pool Cafe turut menyediakan bufet BBQ untuk hidangan malam sewaktu cuti sekolah.

Jika tidak diserikan dengan hiburan pastinya pengunjung kebosanan, justeru Lanun Bar menyajikan kehangatan malam dengan persembahan ‘live band’.

Beroperasi dari lima petang hingga 12 malam, Lanun bar turut menyajikan makanan yang bersesuaian dengan kehendak pelanggan.

Di sini, pengunjung tidak menghabiskan masa lapang dengan santai semata-mata kerana Legend International Water Homes turut menyediakan bilik fungsi dan dewan berkeluasan 6,920 kaki persegi mampu menampung sehingga 650 orang pada satu-satu masa.

Walaupun hotel ini terletak di kawasan luar bandar, pengunjung tidak perlu risau kerana ia mempunyai kemudahan Internet, faks dan teleks serta Wi-Fi.

Selain mengintai panorama laut di kala senja, Legend International Water Homes tidak mengabaikan minat pengunjung yang gemarkan aktiviti santai dan lasak seperti memancing, menangkap ketam, berbasikal, menyelam scuba dan berkayak.

Kawasan berpasir pula sesuai dengan permainan bola sepak, bola tampar, sumo dan program bina semangat selain aktiviti mencari harta karun dan memanah.

Pengunjung yang gemarkan permainan video pastinya berhibur dengan pelbagai konsol yang tersedia, si ulat buku boleh membaca di perpustakaan hotel manakala bilik karaoke di tingkat dua untuk penggemar aktiviti menyanyi.

Rugi rasanya jika pengunjung tidak mencuba urutan terapi di Spa Sompoton terletak di tingkat dua. Spa terbabit menggunakan ‘Pevonia Botanica’ yang terkenal dengan urutan aroma terapi sesuai untuk lelaki dan wanita. – Harian Metro

>>INFO:
> The Legend International Water Homes diakses melalui Lebuhraya Utara-Selatan dan Lebuhraya Port Dickson-Seremban.
> Purata masa perjalanan dari Kuala Lumpur ke Port Dickson kira-kira 75 minit.
> Terletak berhampiran Pekan Lukut, The Legend International Water Homes hanya dua kilometer dari bandar Port Dickson.

LOKASI:
The Legend International Water Homes
Batu 2, Jalan Seremban
71000 Port Dickson
Negeri Sembilan, Malaysia.