salamfone

Salamfone hantar pelanggan tunai umrah

Oleh Siti Salmiah A Hamid
salmiah@hmetro.com.my

PENERAJU perkhidmatan telefon mudah alih pertama dunia berasaskan Syariah, Salamfone Sdn Bhd (Salamfone) menghantar lapan pelanggan setia bersama pemenang tempat kedua Imam Muda musim Ke-2 (IM2), Nazrul Izwan Zolkiflee ke Makkah untuk menunaikan umrah, Ramadan ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Salamfone, Kamshul Kasim, berkata pemilihan peserta untuk mengerjakan umrah percuma dilakukan sehingga Disember ini.

“Bulan ini seramai 14 pelanggan terpilih menunaikan umrah bersama Juara IM2, Mohd Hassan Adli Yahaya @ Yahuza.

“Pelanggan yang menambah nilai sekurang-kurangnya RM30 setiap bulan berpeluang dipilih untuk pakej umrah atau haji ini.

“Peluang mengerjakan umrah dan haji di Makkah antara komitmen Salamfone kerana kami percaya, program seperti ini akan dapat memperkukuhkan lagi jenama prabayar telefon mudah alih ini di kalangan pengguna,” katanya.

Katanya, Salamfone sentiasa mempelbagaikan kandungan berlandaskan Islam bagi mengukuh prinsip rohani dan jasmani umat Islam.

“Apa yang kami lakukan adalah suatu jihad bisnes bagi menyebarkan kebaikan dan ilmu Islam menerusi perniagaan,” katanya.

Menurutnya, program infaq yang diterapkan membantu masyarakat yang memerlukan dengan huluran ‘sedekah’ menerusi panggilan yang dibuat ke nombor Salamfone yang lain. Setiap satu sen akan disalurkan ke tabung infaq ini.

“Infaq yang dikumpul akan disumbangkan kepada pertubuhan kebajikan yang memerlukan,” katanya.

Perkhidmatan lain disediakan ialah Talian Hidayah, Islamic Tunes dan SMS Agama Inspirasi Percuma.

Pada hari-hari kebesaran Islam seperti Maal Hijrah dan Awal Muharam, pelanggan Salamfone turut menikmati penjimatan berasaskan Syariah melalui diskaun khas ditawarkan.