02

Jualan pek amal Colgate

Kempen Mari Beramal Bersama Colgate sasar kutip RM150,000 bantu rumah anak yatim yang terpilih

Oleh Siti Salmiah A Hamid
salmiah@hmetro.com.my

BUBUR LAMBUK...kanak-kanak ini begitu gembira ketika diberi peluang mengacau bubur lambuk bersama Pengurus Kanan Pemasaran Colgate, Nor Aziah Mohd Said (dua dari kanan) dan kru Sinar FM.

BAGI meraikan anak-anak yatim Rumah Bakti Hulu Klang, Colgate-Palmolive Marketing Sdn Bhd (Colgate) menganjurkan majlis iftar yang menyediakan pelbagai hidangan menyelerakan, baru-baru ini.

Mari Beramal Bersama Colgate adalah kempen amal tahunan yang diadakan sepanjang Ramadan sehingga 30 September 2011.

Sebahagian kutipan jualan pek ubat gigi Colgate Perlindungan Kaviti Maksima atau Colgate Kayu Sugi akan disumbangan untuk tujuan amal.

Sukarelawan Colgate berusaha mendirikan beberapa gerai makanan di kawasan asrama rumah kebajikan berkenaan bagi memastikan kanak-kanak Rumah Bakti Hulu Klang menikmati pengalaman bazar Ramadan.

Pengarah Urusannya, Issam Bachaalani, berkata nilai keprihatinan yang menjadi polisi syarikat ini menjadi inspirasi Colgate menyumbang kepada masyarakat, khususnya di bulan Ramadan yang mulia ini.

“Kempen ‘Mari Beramal Bersama Colgate’ meningkatkan komitmen Colgate berkongsi ke arah kebaikan.

“Kempen amal ini yang tercetus empat tahun lalu membolehkan pelanggan dan pengguna Colgate turut mengambil bahagian.

“Kami berharap orang ramai memanfaatkan kempen ini untuk menyemarakkan budaya beramal pada bulan yang penuh kemuliaan ini,” katanya.

Rumah Bakti Hulu Klang, antara 15 rumah anak yatim di bawah pengawasan Jabatan Kebajikan Masyarakat yang di pilih pada tahun ini untuk memeriahkan kempen amal Colgate.

Tujuannya untuk mengumpul sumbangan berjumlah RM150,000 iaitu RM10,000 bagi setiap rumah anak yatim. Kempen tahun lalu, Colgate mengutip RM200,000 bagi 12 rumah anak yatim yang terpilih.

Menariknya, kempen amal pada petang tersebut turut dimeriahkan dengan kehadiran selebriti Krew Pagi Sinar FM iaitu pengacara Khairil Rashid, Raja Azura dan Salleh Yaakob yang membuatkan hadirin tidak kering gusi.

Selebriti dan sukarelawan Colgate bersama 81 anak-anak yatim menghias beberapa bahagian asrama itu dengan lampu pelita, reben ala-ala ketupat dan pelbagai kad ucapan hari raya.

Keceriaan kanak-kanak itu terserlah apabila diberi peluang mengacau kawah bubur lambuk bersama selebriti itu.

Untuk tahun ini kempen amal Colgate yang dilancarkan di Zoo Negara membabitkan 300 kanak-kanak dari rumah anak yatim yang terpilih. Aktiviti seharian ini sarat dengan pelbagai kegiatan menyeronokkan antaranya pertunjukan haiwan, demonstrasi penjagaan kesihatan oral dan aktiviti pendidikan.

Sebelum bermulanya Ramadan, pihak Colgate turut mengadakan lawatan khas ke dua rumah kebajikan bagi mendekati kanak-kanak yang tidak bernasib baik.

Rumah Tunas Harapan Payung Seri Sejahtera Seri Menanti, Kuala Pilah, berterima kasih kepada sukarelawan Colgate yang mengecat semula bahagian luar rumah kebajikan itu serta menyediakan hidangan makan tengahari bufet untuk kanak-kanak berkenaan.