Liberty 150 a

Liberty 150 imej klasik

Skuter sesuai ditunggang di kawasan bandar ini jimat minyak dijual di pasaran September ini

Oleh Siti Salmiah A Hamid
salmiah@hmetro.com.my

LANCAR...SM Zulkifli (tengah duduk) bersama (dari kiri) Idon Pang, Judah, Zakaria Ismail dan Nik Danial Nik Mahmood sewaktu perasmian Liberty 150 cc dan pusat pameran jualan Naza Premira.

PENGEDAR motosikal Vespa, Naza Premira Sdn Bhd melancarkan model Piaggio terbaru, Liberty 150.
Liberty 150 cc bakal menjadi skuter pilihan tempatan di pasaran kerana memenuhi cita rasa semua peringkat umur.

Menggunakan enjin 150 cc, skuter ini turut dilengkapi tayar 15 inci dan enjin silinder tunggal empat strok.
Lampu  hadapan yang besar menampilkan kelainan kepada skuter bandar ini manakala pemegang hendalnya yang tirus di sesuaikan dengan cermin pandang belakang yang bulat menampilkan imej klasik.

Bagi memastikan maksimum penggunaannya, Liberty 150  mempunyai rak simpanan belakang dan alas kaki boleh  tanggal, menawarkan keupayaan lebih besar untuk mengangkut objek dengan platform rata yang praktikal.

Ruang simpan di bawah tempat duduk memuatkan sebuah topi keledar dan ruang simpanan selanjutnya boleh didapati pada penghadang belakang. Tempat duduk boleh diturun dan  dipanjangkan untuk memberi keselesaan kepada penumpang.

Dilengkapi pelepas elektrik, ia sinonim dengan mana-mana skuter yang menggunakan ‘clutch’ automatik.

Kapasiti tangki minyak sehingga tujuh liter termasuk penyimpanan sebanyak 1.5 liter memberi penjimatan yang lebih  kepada penunggang.

Liberty 150 cc sesuai ditunggang di kawasan bandar. Harganya tidak lebih RM10,000 dan dijual September ini.

Pada masa yang sama, Naza Premira secara rasmi membuka pusat pameran jualannya yang pertama di Kota Damansara.

Bilik pameran terbabit bakal mempamerkan pelbagai aksesori serta barangan vespa lain selain barisan model vespa  seperti LX 150cc, GTV 250 dan GTS 300 sekali gus mewujudkan premis berkonsepkan gaya hidup Vespa.

Naza Premira yakin dengan pelaburan sebanyak RM400,000  akan dapat menarik perhatian pelanggan bukan saja dari  kawasan terbabit malah dari kawasan perumahan berdekatan.

Majlis dirasmikan Ketua Pegawai Operasi Kumpulan Naza Premira Sdn Bhd, Datuk SM Zulkifli SM Amin. Turut hadir, Pengurus Jualan Piaggio Asia Pasifik, Judah Sangaran. – HM