MSU a

Konvoi Kemerdekaan dan Ziarah Ramadan 2011

Oleh Siti Salmiah A Hamid
salmiah@hmetro.com.my

BERJAYA...Pengetua SMK Seksyen 9 Shah Alam, Abdul Hakim Samuri (tengah) bersama mahasiswa MSU dan pelajarnya.

BUAT julung kalinya, Management & Science University (MSU) dengan kerjasama Kelab Motorsports MSU menganjurkan program ‘MSU Konvoi Merdeka & Ziarah Ramadan 2011’ membabitkan 180 mahasiswa, baru-baru ini.

Objektifnya untuk menyemarak semangat kemerdekaan dan patriotisme di kalangan warga MSU dan komuniti Shah Alam.

Ketua konvoi, Mohd Hafiz Baharudin, berkata bulan Kemerdekaan pada tahun ini dianggap istimewa kerana pada masa yang sama umat Islam meraikan Aidilfitri.

“Program ini melahirkan kerjasama berpasukan di kalangan peserta malah membentuk sikap dan pemikiran positif menangani apa juga masalah terutama membabitkan tugasan sebagai pelajar.

“Ia turut mewujudkan jalinan erat antara warga kampus dengan komuniti sekitarnya terutama sekolah yang terpilih. Sebagai mahasiswa yang berpendidikan tinggi, contoh dan sikap yang baik perlu ditunjukkan kepada pelajar sekolah agar menjadi ikutan sepanjang masa,” katanya.

Program yang bermula pada jam 10 pagi ini diadakan di beberapa lokasi sekitar Shah Alam merangkumi SMK Seksyen 7, SMK Seksyen 11, SMK Seksyen 16, SMK Seksyen 9, SMK Seksyen 24(2), SMK Seksyen TTDI Jaya, Balai Polis Seksyen 9 dan Balai Bomba Bukit Jelutong.

Aktiviti ini dianggap salah satu pengisian mahasiswa MSU bagi meraikan Ramadan dan kemerdekaan yang jatuh serentak pada tahun ini.

Antara aktiviti yang diadakan ialah penyerahan Jalur Gemilang kepada pihak pengurusan sekolah bagi setiap sekolah, penyerahan kurma dan cenderahati.

Kuiz kemerdekaan turut diadakan untuk pelajar dengan setiap pemenang menerima cenderahati ikhlas dari MSU.

Perasmian dan pelepasan konvoi disempurnakan Presiden MSU, Profesor Datuk Wira Dr Mohd Shukri Ab Yajid diiringi pengurusan kanan universiti dan mahasiswa MSU. – HM