menara kl 2

Kenali sentuhan Muqarnas

Menara KL dihiasi Perkampungan Budaya 1Malaysia perkenal keunikan rumah kampung

Oleh Siti Salmiah A Hamid
salmiah@hmetro.com.my

TRADISIONAL...bentuk unik rumah kampung di Malaysia menjadi tatapan pengunjung.

TERLETAK di puncak Bukit Nanas, Menara Kuala Lumpur (Menara KL) berdiri megah dengan ketinggian 421 meter dan terletak 515 meter dari aras laut manakala bumbungnya mencapai ketinggian 335 meter.

Diiktiraf sebagai menara telekomunikasi keenam tertinggi di dunia, Menara Kuala Lumpur dirasmikan mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad pada 1 Oktober 1996.

Reka bentuk menara ini dipengaruhi seni bina Islam, Jerman, Perancis dan tempatan. Hiasan dalaman menggunakan gaya Muqarnas dari Esfahan, Iran.

Sentuhan Muqarnas ini dapat dilihat khususnya rekaan kubah kaca di lobi lif utama, mempunyai tujuh tingkat yang melambangkan tujuh lapisan langit menurut Islam.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Zuraidah Mohd Said berkata, Pesta Negeri Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, baru-baru ini mempromosikan warisan dan destinasi pelancongan di Malaysia khususnya ibu kota di samping memberi peluang kepada pelancong lebih mengenali kesenian, kebudayaan, permainan tradisional dan pelbagai produk tempatan.

“Sebelum ini, Pesta Negeri Perak membuka tirai Mei lalu manakala Pesta Negeri Terengganu diadakan pada Jun diikuti Pesta Negeri Johor (Oktober), Sarawak (November) dan Sabah (Disember).

“Gerai yang dibuka memberi peluang orang ramai me nikmati pelbagai masakan, antaranya Restoran Seri Melayu Jalan Conlay, Nasi Lemak Antarabangsa Kampung Baru dan Felda D’Saji,” katanya.

Menara KL juga mempunyai Perkampungan Budaya 1Malaysia yang memperkenalkan keunikan rumah kampung menerusi replika rumah pelbagai saiz dan bentuk.

Perkampungan Budaya 1Malaysia turut memperkenalkan persembahan tradisional masyarakat Malaysia seperti tarian tradisional, persembahan muzik gamelan, persembahan tra disional caklempong dan demonstrasi silat.

Jika mahu melihat pemandangan indah ibu kota, pelancong boleh mengunjungi Pelantar Pemandangan di Kepala Menara Satu setinggi 276 meter.

KENANGAN...pelancong asing mengambil peluang mengabadikan gambar kenangan di hadapan Rumah Sarawak.

“Pelancong juga boleh menikmati keindahan matahari terbenam serta pemandangan malam dan pelancong di bekalkan dengan alat alih bahasa yang mempunyai 16 bahasa termasuk Perancis, Jepun dan Korea,” katanya.

Jika mahu mengabadikan sejarah perkahwinan, Perkam pungan Budaya 1Malaysia adalah lokasi yang sesuai.

Bagi pelawat yang mahu bersiar-siar, di bawah menara ini turut terdapat panggung mini untuk mendapatkan maklumat mengenai Menara KL, Zon Haiwan, Zon Simulator F1, kedai cenderamata dan panggung terbuka.

Sempena Festival Kuala Lumpur, baru-baru ini, Menara KL dilimpahi dan diterangi pencahayaan tiga warna iaitu biru, ungu dan jingga.

Sesuai dengan namanya ‘Jewel in The Sky’, Menara KL adalah menara pertama di dunia yang dipasang dengan penetapan cahaya dan teknologi bunyi sebegini.

Maklumat lanjut mengenai Menara KL, hubungi talian 03-2020 5444/03-2020 5499 atau layari laman web di http://www.menarakl.com.my.

>>INFO:
> Menara KL mengalami tiga fasa pembinaan. Fasa pertama bermula pada 4 Oktober 1991 sehingga 15 Ogos 1992 untuk membesarkan jalan di Bukit Nanas.
> Fasa kedua bermula antara 6 hingga 12 Julai 1992 dengan menumpukan pembinaan di tapak menara dan tingkat bawah tanah. Dianggarkan lebih 50,000 meter kubus konkrit dicurah berterusan selama 31 jam.
> Fasa ketiga pula bermula sekitar Mei 1994 dengan proses pembinaan menara sepenuhnya.
> Penentuan anak bulan Ramadan, Syawal dan Zulhijjah dilakukan di puncak menara terbabit.
> Pembinaannya sebagai menara komunikasi untuk mem pertingkatkan khidmat telekomunikasi dan sistem pemancar negara. Siaran radio RTM (Klasik Nasional, Muzik FM, KL FM, Traxx FM, Ai FM, Minnal FM, Asyik FM), televisyen RTM1, RTM2 dan NTV7 siaran UHF dapat diterima di sini sehingga 40 kilometer jauhnya.
> Dianugerahkan Kuala Lumpur Mayor’s Tourism Award 2011 – Outstanding Achivement in Tourist Attraction oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur.

BAGAIMANA KE SINI:
> Laluan A – Dari stesen LRT Dang Wangi terus ke stesen monorel Bukit Nanas dan teruskan berjalan kaki ke Jalan Punchak Off Jalan P. Ramlee.
> Laluan B – Dari stesen LRT Masjid Jamek pengunjung boleh menaiki teksi atau berjalan kaki sepanjang Jalan Raja Chulan hingga ke Jalan Punchak Off Jalan P. Ramlee.

LOKASI:
Menara Kuala Lumpur
No. 2 Jalan Punchak Off Jalan P. Ramlee
50250 Kuala Lumpur
Malaysia
Tel: +603 2020 5444
Fax: +603 2098 7001