CUKAI... kad prabayar pula dikenakan cukai sepertimana cukai perkhidmatan di hotel atau restoran.

Syarikat telekomunikasi tangguh laksana caj 6 peratus

KUALA LUMPUR: Syarikat-syarikat telekomunikasi hari ini bersetuju menangguhkan caj cukai perkhidmatan enam peratus terhadap pengguna perkhidmatan talian telefon prabayar yang dijadual dikuatkuasakan Khamis ini.

Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim berkata, persetujuan itu diputuskan secara bersama oleh empat pengendali utama telekomunikasi di negara ini selepas mengadakan perbincangan bersama kementerian itu di pejabatnya di Angkasapuri di sini.

“Setelah mengadakan perundingan dengan syarikat-syarikat telekomunikasi utama yang terlibat dengan isu cukai perkhidmatan, kesemuanya telah bersetuju supaya cukai perkhidmatan enam peratus yang akan dikenakan kepada pengguna ditangguhkan dan tidak lagi dikuatkuasakan seperti yang diumumkan sebelum ini.

“Perbincangan melibatkan pengurusan utama Celcom, Maxis, Digi dan U Mobile berlangsung dalam suasana cukup baik, mereka menerima baik nasihat kementerian, pandangan kerajaan serta sentimen yang dilahirkan Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak),” katanya kepada pemberita selepas perbincangan kira-kira sejam bersama wakil pengurusan tertinggi syarikat telekomunikasi itu.

Mereka ialah Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Celcom, Datuk Shazalli Ramly, CEO Kumpulan Digi, Henrik Clausen, CEO Kumpulan Maxis, Sandip Das dan CEO U Mobile, Dr Kaizad Heerjee. – HM