multistrada 1200 s pikes peak 2

Ducati edisi terhad

Keluaran khas Multistrada 1200 S Pikes Peak sempena rai kemenangan Greg Tracy

Oleh Siti Salmiah A Hamid
salmiah@hmetro.com.my

ANGGUN...bagi peminat edisi ini, ia satu kepuasan jika dapat memilikinya.

PENGIMPORT dan pengedar tunggal motosikal Ducati di Malaysia, Next Bike Sdn Bhd melancarkan versi edisi terhad Multistrada 1200 S Pikes Peak.

Motosikal keluaran khas ini sempena meraikan kemenangan Greg Tracy pada perlumbaan Pikes Peak International Hill Climb di Colorado, Amerika Syarikat untuk dua tahun berturut-turut.

Ia turut dikenali ‘Race to the Clouds’, perlumbaan di Pergunungan Rocky sejauh 20 kilometer dari ketinggian 2,862 meter hingga 4,300 meter di garisan penamat.

Ketua Pegawai Operasi Kumpulan Syarikat Naza, Datuk SM Zulkifli SM Amin berkata, syarikat itu akan terus melabur bagi membina jenama dan gaya hidup Ducati di Malaysia.

“Kami menjangka perkembangan menarik dari pengem bangan rangkaian, pengenalan model baru, gaya hidup lebih berdedikasi dan pelbagai lagi.

“Bagi mencapai matlamat ini, kami memperkenalkan lebih 200 unit Ducati baru di Malaysia tahun ini,” katanya.

Motosikal ini dibekalkan dengan 150 kuasa kuda, satu-satunya motosikal yang memaparkan empat motosikal pada satu teknologi.

Dengan satu suis butang, Multistrada dilaras sepenuhnya dengan suspensi Ohlins dan inovatif Ducati Traction Control yang mengawal tetapan suis elektronik bagi menyesuaikan penunggang dengan pelbagai mod perjalanan.

Multistrada 1200 S Pikes Peak Edisi Terhad direka khas menerusi penggunaan corak dan warna replika Ducati Corse bersama penggantung peletak kaki, penghadang enjin dalam kemasan hitam dan garisan merah pada rim.

Sebagai tambahan kepada alat penyenyap asal dan alatan skrin, Pikes Peak Edisi Terhad turut dilengkapi karbon EU penyenyap Termignoni Ducati Performance yang diluluskan.

Pada masa yang sama, Ducati Malaysia mengumumkan Cabaran Borneo Ducati Multistrada akan bermula pada 25 November hingga 2 Disember ini.

Program selama lapan hari tujuh malam itu memperlihatkan penjelajahan pemilik Ducati Multistrada dari Kuching ke Kota Kinabalu (melalui Brunei).