ISUZU D MAX

Isuzu D-Max lebih sporty

Penampilan diperkemas untuk tarik golongan muda

Oleh Siti Salmiah A Hamid
salmiah@hmetro.com.my

UNIK...pemasangan rim sport baru dengan rekaan enam ruji berjaya mempamerkan kelainan pada Isuzu D-Max 2011.

KENDERAAN pikap terkemuka di Malaysia, Isuzu D-Max memang dikenali kerana pemanduannya yang selesa, penampilan lasak dan penggunaan minyak menjimatkan.

Namun, peminat model ini bakal terpesona dengan reka bentuk dinamik serta ciri terkini bagi model 2011 yang diperkenalkan Isuzu Malaysia Sdn Bhd (Isuzu) baru-baru ini.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Takashi Hata berkata, reka bentuk serta ciri baru ini dapat meningkatkan daya tarikan pemandu terhadap kenderaan ini bagi memenuhi gaya hidup aktif.

“Keupayaan menyeluruh dengan ciri pemanduan yang unggul dan tawaran harga rendah membuatkan Isuzu D-Max menjadi pilihan popular jika ingin memiliki sebuah trak serba boleh.

“Saya yakin dengan penambahbaikan pada penampilannya, Isuzu D-Max baru bakal menjadi idaman pemilik yang ingin menampakkan keunikan berbanding kenderaan lain,” katanya.

Isuzu D-Max 2011 diberi pembaharuan dari segi penampilannya kini diperkemas dengan ciri bergaya bagi menarik perhatian pengguna muda dan dinamis yang gemarkan ketrampilan gagah.

Di bahagian depan kenderaan, rekaan bampar meng gabungkan pelindung bampar baru yang lebih baik menjadikannya kelihatan lebih agresif terutamanya dengan dua ton warna menyerlahkan ciri garisan pada kereta.

Ia turut dilengkapi lampu kabut berserta penutup krom yang mampu meningkatkan gaya sporty kenderaan ini.

MENARIK...dalaman kabin diberi sentuhan baru dengan penggunaan kemasan hitam pada papan pemuka, panel pintu, tiang tengah dan lapik kepala.

Gaya sporty Isuzu ini turut diserlahkan dengan pemasangan rim sport baru dengan kemasan bergilap. Rekaan enam ruji ini mempamerkan kelainan yang unggul pada D-Max baru.

Selain itu, bagi memudahkan pengguna, tangga sisi direka semula dengan penampilan lebih tegap malah, memudahkan penumpang turun dan naik kenderaan.

Pemasangan ‘roll bar’ baru turut meningkatkan penampilan gagah pada bahagian kargo trak. Dengan kemasan tekstur aloi yang cerah, rekaan bar baru ini menambahkan lagi pe nampilan terkini serta menyediakan ruang selamat untuk penyimpanan barang besar.

Bahagian dalam kabin turut diberi sentuhan baru dengan penggunaan kemasan hitam yang menggantikan dasar warna kelabu pada model sebelumnya meliputi papan pemuka, panel pintu, tiang tengah serta lapik kepala.

Manakala sisi krom pada corong penyaman udara, pe nganjak gear dan pembesar suara turut menampilkan ke sempurnaan rekaan dalaman D-Max.

D-Max 2011 masih mengekalkan variasi enjin terdahulu iaitu Super Commonrail 2.5 liter, Super Commonrail 3.0 liter dan direct injection 2.5 liter. Ia adalah antara enjin diesel yang paling moden dan seimbang di pasaran dengan prestasi lancar, tahan lasak dan menjimatkan minyak. Model enjin Super Commonrail 2011 turut dilengkapi dengan penutup enjin.

Pengguna diberi pilihan dengan dua warna baru iaitu hitam metalik dan putih. Harganya pula bermula dari RM74,273.40 hingga RM99,776.69 termasuk insuran.