sindrom NET 2

Health: Lebih kerap dialami warga tua

NET biasanya ditemui secara tidak sengaja ketika jalani ujian kesihatan bagi masalah lain

Oleh Norlaila Hamima Jamaluddin

SINDROM NET... penyakit jarang berlaku.

HIDUPNYA terasa serba tidak kena. Sudah beberapa tahun dia mengalami masalah cirit-birit yang tidak diketahui puncanya. Paling merimaskan ialah gejala selaran kepanasan yang membuatkan dia kerap berpeluh pada waktu malam sehingga mengganggu tidurnya.

Apabila ke klinik, doktor menganggap Ain (bukan nama sebenar) mengalami gejala menopaus. Kalau dia sudah berumur, tanggapan itu mungkin boleh diterima tetapi dia masih muda, sekurang-kurangnya ada 10 tahun lagi untuk sampai ke peringkat itu.

Baru-baru ini apabila menjalani ujian pemeriksaan, doktor memberitahu masalahnya itu mungkin disebabkan ketumbuhan neuroendokrin (NET). Itu kali pertama Ain mendengar nama penyakit berkenaan. Tidak hairanlah jika kebanyakan doktor yang ditemuinya sebelum ini tidak berjaya mengenal pasti punca masalahnya kerana NET dikategorikan sebagai penyakit jarang berlaku dan tidak dikenali.

Menurut Perunding Onkologi Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM), Profesor Madya Datuk Dr Fuad Ismail, NET ialah ketumbuhan yang boleh muncul dari mana-mana epitelium iaitu tisu yang melapisi kulit atau organ dalaman tubuh, namun ia biasanya berlaku di saluran gastrousus (merangkumi perut dan usus kecil) dan pankreas.

Dulu ia dikenali sebagai ketumbuhan karsinoid kerana ia kelihatan seperti karsinoma (kanser yang tumbuh dari epitelium) tetapi ia didapati bukan karsinoma. Perkataan ‘noid’ bermakna ‘kelihatan macam’ kerana saintis mendapati ia bukanlah kanser usus yang biasa tetapi ketika itu mereka tidak dapat memberikan penjelasan munasabah bagi membezakannya.

Kini ia dipanggil NET, berdasarkan kandungan protein di dalamnya dan ia diterima Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) sejak lebih 10 tahun lalu. Di Malaysia, tiada statistik jumlah pesakit dan walaupun ia jarang berlaku tetapi pakar perubatan menganggap angkanya semakin meningkat.

Ini selaras dengan daftar kanser di Amerika Syarikat yang menunjukkan peningkatan lima kali ganda kes NET dalam tempoh lima tahun kebelakangan ini. Bagaimanapun, usah terlalu risau kerana jumlahnya masih dianggap kecil iaitu 2.5 hingga lima kes bagi 100,000 penduduk setahun.

Peningkatan kes ini disumbangkan kewujudan peralatan moden yang boleh mengesan NET dan biasanya ditemui di saluran gastrousus, pankreas dan kadangkala pada paru-paru. Pertambahan jumlah kes juga mungkin disebabkan kesedaran masyarakat terhadap kesihatan.

Oleh kerana NET jarang berlaku, tidak hairanlah jika kanser yang berbahaya ini biasanya lewat dikesan. Kebanyakan kes dikesan lima hingga tujuh tahun selepas pesakit mempunyai ketumbuhan atau mengalami gejala.

Bagaimanapun, bukan semua pesakit mengalami gejala kerana ada jenis NET yang tidak menunjukkan sebarang gejala dan pesakit boleh menjalani hidup tanpa sebarang masalah. Dalam kes begini, penyakit mereka biasanya ditemui secara tidak sengaja iaitu apabila mereka menjalani ujian kesihatan bagi masalah lain.

NET boleh berlaku pada semua peringkat umur, lelaki dan wanita tetapi pakar perubatan berpendapat ia lebih kerap dialami orang tua.

Punca dan gejala

Seperti kanser lain, punca NET tidak diketahui dengan jelas. Jika dilihat pada namanya yang membabitkan perkataan ‘endokrin’ mungkin ada yang beranggapan pesakit akan mengalami sindrom neuroendokrin seperti berlakunya berlebihan hormon dan menjejaskan sesetengah fungsi badan seperti paras gula terlalu tinggi atau rendah. Namun tidak ramai yang mengalami gejala seperti ini.

“Masalahnya, gejala NET sangat pelbagai, ia boleh berbentuk khusus atau umum. Gejala khusus ialah paras gula rendah, cirit-birit atau pesakit berasa sakit perut. Banyak kes disalah tafsir sebagai Sindrom Gangguan Usus (IBS atau usus spastik). Ia menyebabkan pesakit kehangatan kerana ketumbuhan ini boleh mengeluarkan bahan yang membuatkan kita berasa panas.

“Sukar untuk menentukan punca kepanasan yang dialami pesakit dan jika pesakit ialah wanita berumur, ia mungkin dikaitkan dengan gejala menopaus. Doktor mungkin perlu melakukan ujian lain dan biasanya ia hanya dikesan selepas lima hingga tujuh tahun melalui ujian histologi atau ujian biokimia khas.

“Kelewatan pengesanan ini disebabkan gejala NET yang samar-samar selain kesedaran mengenai penyakit ini masih belum meluas,” katanya pada pelancaran buku panduan NET, baru-baru ini.

Namun secara umumnya, kebanyakan pesakit tidak mengalami gejala. Gejala yang ditunjukkan juga bersifat umum seperti bengkak, cirit-birit, sakit atau senak perut, pendarahan dalam saluran gastrousus, sakit dada, sesak nafas, selaran kepanasan dan kerap berpeluh menyerupai masalah artritis, alahan makanan, IBS, ketagihan alkohol, asma, keresahan dan menopaus.

Turut hadir pada majlis berkenaan, Perunding Patologi, Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Prof Datuk Dr Looi Lai Meng; Perunding Radiologi Pusat Perubatan Pantai, Dr Shahrina Man Harun; Perunding Pembedahan Hepatobiliari Pankreatik Hospital Selayang, Dr Krishnan Raman; Perunding Gastroenterologi Pusat Perubatan Sime Darby, Dr Sharmila Sachithanandan dan Perunding Endokrinologi Hospital Putrajaya, Dr Zanariah Hussein.

Kehadiran pakar daripada pelbagai bidang itu menunjukkan NET adalah penyakit yang sangat ‘unik’ dan memerlukan gabungan beberapa pakar untuk mengesan dan merawatnya.

Apa yang membimbangkan pakar perubatan, NET boleh merebak ke bahagian badan lain (metastasis) dan ia bersifat sangat agresif. Ini bermakna ia boleh berkembang dan merebak dengan cepat.

Jika NET berlaku pada pankreas, ia boleh menyebabkan beberapa sindrom seperti insulinoma, gastrinoma, glukagonoma, VIPoma, somatostatinoma dan NET pankreas tanpa sindrom yang semuanya didapati merebak ke bahagian badan lain.

Apa yang pesakit perlu lakukan jika tidak mengalami gejala?

“Sebenarnya setiap pesakit akan mengalami gejala tertentu yang mengganggu kehidupan mereka tetapi biasanya ia dianggap sebagai ‘masalah biasa’. Ramai yang berjumpa doktor apabila ‘masalah biasa’ ini sudah tidak tertanggung lagi.

“Di Malaysia, pesakit selalu bertukar-tukar doktor. Jika doktor pertama yang ditemui tidak berjaya mengurangkan masalah mereka, pesakit akan mencari doktor lain. Ia menyebabkan proses diagnosis (pengesanan) menjadi lebih sukar.

“Oleh kerana NET dianggap penyakit yang jarang berlaku dan agak sukar dikesan, langkah terbaik ialah pesakit bersabar dengan doktor yang ditemui supaya ujian seterusnya boleh dilakukan. Doktor anda akan mendapatkan pandangan daripada pakar daripada bidang lain dan biasanya melalui cara inilah penyakit anda dapat dikesan (berdasarkan perbincangan dan penelitian beberapa pakar berlainan bidang),” katanya.

Jika anda mengesyaki mengalami NET, disarankan supaya menjalani ujian pengesanan penanda ketumbuhan (tumor marker). Bagaimanapun perlu diingat, walaupun keputusan anda positif, ia tidak semestinya NET.

Jika keputusan positif penanda kanser tiada kaitan dengan NET, jadi apa yang boleh dijadikan sebagai penunjuk masalah ini?

Sebenarnya ujian penanda kanser tidak disarankan sebagai saringan penyakit kanser kerana ia bukan ujian tepat untuk NET, tetapi keputusan positif itu mungkin menunjukkan ketumbuhan atau kanser lain.

Pengesanan NET seharusnya berdasarkan gejala bukan melalui imbasan atau ujian darah. Ia bergantung kepada gejala yang dialami, barulah penyiasatan boleh dilakukan. Jika ia gejala gastrousus, maka penyiasatan gastrousus akan dilakukan.

Bagaimana doktor keluarga boleh membantu?

Menurut Dr Fuad, oleh kerana ia jarang ditemui, doktor perlu bertanyakan jika pesakit mengalami gejala luar biasa. Mereka juga perlu lebih peka terhadap perbezaan kecil dan bertanya lebih banyak soalan jika didapati berlakunya gejala yang mencurigakan.

Rawatan

Jenis rawatan bergantung kepada masalah yang dihadapi setiap pesakit. Biasanya pesakit perlu menjalani pembedahan untuk membuang ketumbuhan atau kanser mereka. Walaupun kanser bersifat agresif dan sudah merebak, doktor akan tetap mencadangkan supaya dilakukan pembedahan untuk mengeluarkan ketumbuhan asal. Dalam sesetengah keadaan, kanser yang merebak ini bersifat terpencil dan lebih mudah untuk dibuang.

Berbeza dengan rawatan kanser lain, kemoterapi tidak menjadi keutamaan kerana tidak banyak ubat yang berkesan untuk kanser NET. Ubat kemoterapi yang berkesan pula terlalu toksik dan peluang untuk kanser mengecil dengan ubat ini agak rendah.

Ubat kemoterapi yang ada sekarang masih tidak mampu membunuh sel kanser NET, jadi pendekatan rawatan yang dijalankan sekarang ialah untuk mengurangkan gejala supaya pesakit boleh menjalani kehidupan dengan lebih baik.

Dalam kes NET, kaedah radioterapi tidak akan digunakan kecuali bagi keadaan tertentu seperti jika ketumbuhan mengalami pendarahan atau badan pesakit tidak menunjukkan sebarang tindak balas terhadap rawatan lain atau apabila kanser sudah merebak ke tulang dan menyebabkan pesakit berada dalam kesakitan. Radioterapi hanya bertindak untuk mengurangkan kesakitan atau mengecilkan saiz kanser yang sudah membengkak.

Bagaimanapun, kini sudah ada rawatan bersasaran seperti endostatin atau octreotide yang membantu mengurangkan gejala NET. Ada juga rawatan yang mampu menyekat kemaraan atau perkembangan kanser.

“Walaupun kita tiada hospital yang dikhususkan untuk merawat kanser ini, tetapi Malaysia mempunyai ramai pakar perubatan yang boleh membantu anda. Pesakit tidak perlu pergi ke luar negara untuk berubat kerana rawatan terbaik dan doktor berpengalaman ada di negara ini,” katanya. – HM