sayyi sm

Pusat ibadah, timba ilmu

Masjid Sayyidina Ali sedia Maahad Tahfiz Al-Quran untuk lepasan SPM mahiri kitab Allah

Oleh Siti Salmiah A Hamid
salmiah@hmetro.com.my

INDAH...Masjid Sayyidina Ali gabung seni bina Islam dan Melayu.

PENUBUHAN masjid ini agak baru dengan kedudukannya di sekitar daerah Melaka Tengah, namun kewujudannya sudah dipraktikkan sepenuhnya apatah lagi ia menjadi institusi ilmu umat Islam sekitar.

Masjid Sayyidina Ali dirasmikan dengan penuh kemeriahan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan turut dihadiri Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd Ali Rustam pada 15 Disember 2010.

Terletak di Kilometer 11, Jalan Bukit Katil, masjid yang dibuka kepada orang ramai pada Mei 2010 ini dibina dengan kos RM6 juta meliputi 8,093 meter persegi luasnya.

Penolong Pegawai Hal Ehwal Islam (Imam II) Masjid Sayyidina Ali, Helmi Iskandar Zamasari berkata, masjid ini mampu menampung 2,500 orang pada satu-satu masa.

“Reka bentuk luar dan dalam masjid ini adalah idea asal Datuk Seri Mohd Ali Rustam yang mahukan keindahan Islam dan tradisional Melayu diperincikan dengan kemas dan menarik pada setiap binaan seperti di anjung, beranda, mimbar serta dewan solat utama.

“Masjid ini menyediakan kemudahan yang lengkap dengan mewujudkan kediaman pekerja, bilik air lelaki dan wanita di tingkat atas dan bawah, bilik memandikan jenazah, pejabat pengurusan masjid, dewan solat di tingkat atas dan bawah, bilik komputer, bilik bacaan, bilik mesyuarat dan dewan serbaguna ,” katanya.

Turut disediakan bilik VIP lelaki dan wanita sekiranya majlis yang diadakan dihadiri oleh tetamu kehormat seperti mana yang pernah digunakan oleh Menteri Besar Melaka sewaktu lawatan ke masjid terbabit.

Mimbar yang terletak di sebelah kanan dewan solat berada di ketinggian hampir dua kaki menjadi lambang akan keteguhan syiar agama kepada umat Islam setempat.

Terlihat jelas ukiran khat kalimah Allah, Muhammad serta potongan ayat al-Quran menghiasi ruang hadapan masjid memperindahkan lagi reka bentuk dan kesenian sedia ada.

KHAT...seni ukiran khat banyak dipamerkan di ruang hadapan dewan solat.

Menurut (ustaz) Helmi, 32, Masjid Sayyidina Ali amat aktif dalam menggerakkan pelbagai aktiviti kemasyarakatan sama ada kursus untuk pelajar sekolah atau kolej, kursus untuk imam masjid seluruh Melaka Tengah dan program tilawah al-Quran di peringkat tempatan dan antarabangsa.

“Majlis Tilawah al-Quran Dunia Melayu Dunia Islam antara program yang mendapat sambutan di masjid ini. Diadakan selama tiga hari menghimpunkan 16 buah negara dan negeri antaranya China, Singapura, Thailand, Filipina, Afrika Selatan, Riau, Acheh, Perlis, Terengganu, Melaka, Johor, Sabah dan Sarawak.

“Disamping itu, program motivasi Rumahku Syurgaku diadakan untuk pelajar seluruh Negeri Melaka selain kelas pengajian Fardhu Ain yang diadakan setiap hari dan majlis agama mengikut kalendar Islam.

“Program korban dan aqiqah dengan kerjasama Yayasan Kebajikan Anak-anak Yatim Temenggong (Yakaytem) yang dihadiri 300 orang terdiri daripada penerima sumbangan daging korban dan aqiqah dari rumah anak yatim, warga emas, orang kurang upaya (OKU) dan fakir miskin mendapat sambutan menggalakkan,” katanya lagi.

Masjid Sayyidina Ali turut terkenal dengan kewujudan Maahad Tahfiz Al-Quran Masjid Sayyidina Ali (MTQMSA) yang ditubuhkan pada 01 November tahun lalu.

Maahad terbabit dibuka bagi memberi peluang kepada pelajar berumur 18 hingga 21 tahun terutama lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat diploma dalam bidang Tahfiz Al-Quran Wal-Qiraat.

Kursus yang ditawarkan adalah Diploma Tahfiz Al-Quran Wal-Qiraat manakala tempoh pengajian selama tiga tahun.

Kewujudan maahad ini turut memberi impak yang besar kepada peranan institusi masjid. Selain menjadi pusat perkembangan dan pembangunan Islam, Masjid Sayyidina Ali kini turut melahirkan hafiz dan hafizah yang bakal mencorakkan agama rasmi di negara ini.

>>INFO:
Masjid Sayyidina Ali
Kilometer 11, Jalan Bukit Katil
75450 Melaka, Malaysia.
Tel: 06-2314240
Fax: 06-2311587

4 thoughts on “Pusat ibadah, timba ilmu

  1. Suami adalah lebih afdal berjemaah masjid. Isteri pula lebih afdal sembahyang dirumah walaupun seorang. Sekiranya perempuan itu rupawan maka hukum bersembahyang dimasjid baginya adalah makruh.

  2. Sejarah mencatat bahawa di kalangan umat Islam bermula dari abad-abad permulaan (mulai dari masa khalifah sayyidina Ali ibn Abi Thalib) sehinggalah sekarang terdapat banyak firqah (golongan) dalam masalah aqidah yang saling bertentangan di antara satu sama lain. Ini fakta yang tidak dapat dibantah. Bahkan dengan tegas dan jelas Rasulullah telah menjelaskan bahawa umatnya akan berpecah menjadi 73 golongan. Semua ini sudah tentunya dengan kehendak Allah dengan berbagai hikmah tersendiri, walaupun tidak kita ketahui secara pasti. Hanya Allah yang Maha Mengetahui segala sesuatu. Namun Rasulullah juga telah menjelaskan jalan selamat yang harus kita ikuti dan panuti agar tidak terjerumus dalam kesesatan. Iaitu dengan mengikuti apa yang diyakini oleh al-Jama’ah; majoriti umat Islam. Karena Allah telah menjanjikan kepada Rasul-Nya, Nabi Muhammad, bahawa umatnya tidak akan tersesat selama mana mereka berpegang teguh kepada apa yang disepakati oleh kebanyakan mereka. Allah tidak akan menyatukan mereka dalam kesesatan. Kesesatan akan menimpa mereka yang menyimpang dan memisahkan diri dari keyakinan majoriti.

  3. Muslim di Hongkong, termasuk para BMI tentunya, mendapat jaminan dari pemerintah untuk bisa menjalankan keyakinan serta ajaran agamanya secara bebas sehingga aktivitas keislaman di sini, bisa tersemai serta tumbuh dengan baik. Bagi warga muslim Hong Kong, kegiatan biasanya dilaksanakan di masjid-masjid dan kantor Pusat Kajian Islam Usman Ramju Sadick. Di sana mereka mengaji, mengadakan bazaar serta pameran dan kegiatan-kegiatan lainnya.

Comments are closed.