Lima lokasi tarikan pengunjung

Oleh Siti Salmiah A Hamid
salmiah@hmetro.com.my

LAHIR sebagai taman hiburan keluarga terkenal di negara ini, Sunway Lagoon yang dulunya bekas lombong bijih timah itu dirasmikan mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad pada 29 April 1993.

Taman tema berusia 18 tahun itu menarik kehadiran dua juta pengunjung setiap tahun terutama dari China, Singapura, Australia, India dan negara Timur Tengah.

Berkeluasan lebih 352 hektar, ia adalah taman tema buatan manusia terbesar di dunia dengan menawarkan lebih 80 permainan dan tarikan.

Tidak hairanlah Sunway Lagoon menggondol Anugerah Tarikan Terbaik Asia selama empat tahun berturut-turut (2007 – 2010) oleh International Association of Amusement Parks and Attractions (IAAPA).

Taman Tema Sunway Lagoon terbahagi kepada lima taman keriangan yang memberi pelbagai pengalaman dan kelainan kepada orang ramai.

Dibuka pada setiap hari bermula jam 10 pagi hing­ga 6 petang, Sunway Lagoon menawarkan harga tiket RM60 untuk kanak-kanak serta warga tua dan RM75 bagi dewasa.

Sekiranya ingin memasuki tiga taman sahaja (Water Park, Amusement Park dan Wildlife Park) tiket berharga RM48 untuk kanak-kanak serta warga tua dan RM60 untuk dewasa.

WATER PARK

Jika pelancong ingin menikmati kesejukan pantai sambil meluncur ombak tiruan, Water Park menawarkan dua suasana berbeza iaitu Water of Africa dan Surf Beach.

Water of Africa menawarkan 12 permainan dan tarikan yang dikelilingi lebih daripada 146 pokok kelapa dan teratak ala Bali. Pelancong beristirehat di bawah pokok sambil kanak-kanak membina istana pasir atau bermain bola sepak pantai.

Pelancong turut dicabar menyelam di enam lorong Congo atau meluncur dengan tiub di African Pythons. Menghabiskan masa dengan pelbagai permainan interaktif air, kanak-kanak pastinya menikmati keseronokan di Little Zimbabwe.

Daya tarikan yang baru diubah suai dipanggil Sunway Surf Beach yang mempunyai kolam luncur berombak serta pantai berpasir berkeluasan 13,000 meter persegi dan dibina daripada 6,000 tan pasir.

Ia menghasilkan empat meter luncuran ombak untuk keseronokan pengunjung.

Sunway Lagoon turut memperkenalkan simulator meluncur pertama Malaysia – FlowRider, platform yang membolehkan pengunjung menikmati pengalaman lebih daripada sekadar meluncur. Ombak tiruan berkelajuan tinggi yang menolak kira-kira 200,000 liter air ke atas simulator FlowRider, sekali gus mencipta laluan air yang laju dan berterusan itu seolah-olah seperti meluncur di laut yang luas.

AMUSEMENT PARK

Taman ini sentiasa menjadi lokasi tarikan dengan pelbagai bentuk hiburan iaitu Wild Wild West dan World of Adventure.

Umpama berada di dunia koboi, ia menarik orang ramai dengan gelagat kaum Apache. Dengan menaiki gelongsor air di Niagara Falls, pelancong dibawa meneroka terowong air yang gelap atau duduk berehat di Grand Canyon River Rapids.

Sebelum menikmati tujuh permainan di sini, simpan barangan dalam plastik kedap atau menyimpannya dalam almari berkunci.

Di World of Adventure, pengunjung boleh berjalan di atas jambatan gantung sepanjang 428 meter untuk melihat keseluruhan taman manakala pengembaraan roller-coaster pula membawa pengunjung ke Lost City of Gold. Rasai pengalaman menaiki kapal tiruan pertama Malaysia, Pirates Revenge yang berputar 360 darjah pada aras 24 meter di atas tanah.

EXTREME PARK

Kawasan ini memang me­nguji ketahanan mental dan fizikal anda, antaranya aktiviti memanah di Pusat Sasaran Memanah, terokai hutan dengan menaiki All Terrain Vehicle (ATV), memandu Go-Kart di jalanan, permainan Paintball secara berkumpulan, mountain bike, kayak dan wall climbing.

Rasai pengalaman ekstrem menerusi Flying Fox sepanjang 206 meter, lompatan Bungy serta lambungan tinggi yang baru diperkenalkan menerusi Slingshot Ride tertinggi di Asia iaitu G-Force X.

WILDLIFE PARK

Kenali lebih daripada 150 spesies burung, reptilia dan mamalia dari seluruh dunia menerusi konsep lihat, sentuh dan belajar yang sukar ditemui di tempat lain.

Ia turut menawarkan program berhibur sambil belajar dan pertunjukan haiwan.

Lawati dan alami pe­ngembaraan di Pet Village, Jungle Trail, Aviary, Tropical Enclosure, Tree Top Terrace, Butterfly Valley, Bird Savannah, Nature Walk dan Rimba yang mempunyai keunikannya tersendiri.

SCREAM PARK

Rasai perkara yang menakutkan sebaik saja melangkah ke Scream Park.

Mulakan perjalanan ke Teater Pontianak dan temui pontianak ala Melayu yang menghantui teater, teruskan ke Live At The Museum: Alive & Scary! dan lawati muzium sedia ada hingga ke Rumah Hantu dalam bentuk 3DX.

Pengunjung perlu bertahan dengan kehadiran hantu seperti Pocong, Orang Minyak dan Jin yang menakutkan serta dikelilingi kepala terapung di Terowong Penanggal 3D.

Terbaru, di Terminator X: A Laser Battle for Salvation pengunjung boleh merasai pengalaman berjuang menentang Skynet untuk kesejahteraan manusia di muka bumi ini sama seperti di dalam filem terbabit.

>> INFO:

> Artis antarabangsa yang pernah mengadakan konsert di Sunway Lagoon antaranya Akon, Ne-Yo, Backstreet Boys, Pussycat Dolls, Lee Hom, Westlife dan Jolene Chai.

> Acara lain yang turut diadakan di sini seperti majlis perkahwinan, parti tema, majlis keluarga, majlis anjuran syarikat, kem bina semangat dan program pendidikan untuk pelajar sekolah.

> Menerima pelbagai anugerah antaranya Best Man-Made Tourist Attraction 2005/2006 oleh Pelancongan Malaysia, Asia Best Attraction 2007-2010 oleh International Association of Amusement Parks and Attractions (IAAPA) dan Asia Best Waterpark 2010 daripada IAAPA.

> Permainan untuk lompatan Bungy, G-Force X, Go-Kart dan Paintball tidak termasuk dalam harga tiket.

> Sunway menawarkan perkhidmatan bas pergi dan balik secara percuma untuk sekitar bandar Sunway bermula jam 7 pagi hingga 9.30 malam setiap hari, bermula di Sunway Pyramid Hotel dan berakhir di Menara Sunway.

>> Bagaimana ke sini:

> Terletak di tengah-tengah Bandar Sunway di Petaling Jaya, ia boleh diakses menerusi pelbagai lebuh raya (Lebuhraya Persekutuan, Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP), Lebuhraya Pantai Baru (NPE) dan Lebuhraya Kesas) yang mengambil masa antara 30 minit dari Kuala Lumpur.

> Perkhidmatan awam berdekatan seperti KTM Komuter yang berhenti di stesen Subang Jaya manakala Putra LRT di stesen Kelana Jaya. Dari situ pengunjung boleh menaiki bas atau teksi ke destinasi.

>> LOKASI:
Sunway Lagoon
No 3, Jalan PJS 11/11, Bandar Sunway
46150 Petaling Jaya, Selangor, Malaysia
Tel: +603 5635 5050