Azlan pelopor Kettlebell

Oleh Siti Salmiah A Hamid
salmiah@hmetro.com.my

ORANGNYA kecil molek, bersaiz sederhana dan senang melemparkan senyuman. Itu tanggapan pertama penulis ketika cuba mengenali lelaki berperwatakan menarik ini.

Namun begitu, tubuh yang bersaiz sederhana tidak dijadikan alasan mencapai impian sebagai jurulatih kecergasan dan kecerdasan senaman yang mempelopori penggunaan alat kettlebell di Malaysia.

Sejak berumur 15 tahun, Mohamed Azlan Zain Mohamed, sedar minatnya mula berkembang di dalam bidang kesihatan, apatah lagi ketika itu berat badannya agak gempal berbanding rakan sebaya.

“Sewaktu berkunjung ke Pusat Dagangan Dunia Putra sempena Pesta Buku 2002, saya tertarik dengan sebuah buku tulisan Pavel Tsatsouline dari Russia yang mempromosikan senaman menggunakan kettlebell atau lebih mudah dikenali sebagai besi tampin.

“Ketika itu, saya masih bergelar mahasiswa di Institut Integratif Media Malaysia (MIM). Kursus yang saya ambil (Diploma Penyiaran) menghendaki saya sentiasa bergerak aktif. Ia menjadi inspirasi untuk saya ubah kekurangan diri, sekali gus menjalani hidup sihat kerana selalu kekurangan stamina dan mudah penat apabila melakukan tugasan luar,” katanya.

Namun tidak dinafikan, jejaka Cancer ini seorang yang amat aktif di dalam seni mempertahankan diri menerusi Seni Silat Sendeng yang dipelajari ketika bergelar mahasiswa. Dia turut diberi peluang sebagai pembantu jurulatih di Persatuan Seni Silat Sendeng Haji Hamid selama tiga tahun.

Selepas tamat belajar pada 2006, Azlan menimba pengalaman dengan bekerja di dua pusat kesihatan popular di sekitar ibu negara atas faktor latar belakangnya yang aktif dalam seni mempertahankan diri.

“Walaupun bekerja di gimnasium, saya masih meneruskan pencarian maklumat mengenai kettlebell kerana kebanyakan teknik menguruskan badan amat berbeza dengan sistem senaman sedia ada.

“Meskipun hanya berpeluang mempelajari teknik senaman itu menerusi buku, saya tetap cuba menerapkan teknik Pavel Tsatsouline hingga dianggap gila dan pelik di kalangan rakan sekerja kerana teknik yang saya lakukan amat berbeza dengan senaman di gimnasium.

“Saya tidak kisah dikatakan pelik kerana yang penting keinginan dan usaha yang kita lakukan tidak separuh jalan dan sia-sia semata. Sokongan daripada rakan sealiran nyata banyak membantu dan membuatkan saya lebih bertekad mengenali senaman kettlebell ini.

“Ketika itu, besi kettlebell masih belum dikenali dan tidak dijual di Malaysia. Sebagai alternatif saya gantinya dengan besi dumbbell apabila melakukan sebarang senaman,” katanya.

Pada 2007, Azlan berjaya memiliki tiga unit besi kettlebell menerusi seorang kenalan yang berurusan di Russia. Setiap unit mempunyai berat yang berlainan iaitu 16 kilogram, 24 kilogram dan 32 kilogram.

Dia mula menyesuaikan jadual senaman dengan setiap unit kettlebell menerusi teknik asas yang dipelajari menerusi buku dan rakan sehingga mengubah penampilannya kepada tubuh yang sasa, bertenaga dan sihat.

“Bekas pelajar Pavel, Steve Cotter, datang ke Malaysia pada 2008 untuk mempromosikan senaman kettlebell yang diadakan di gimnasium di Bandar Utama.

“Agak mengecewakan kerana saya tak mampu membayar yuran pendaftaran berharga RM3,800 untuk mengikuti kursus selama dua hari itu.

“Walaupun begitu, saya jadikannya satu cabaran untuk meneruskan cita-cita sehinggalah pada 2010 saya ke Copenhagen, Denmark untuk mengambil kursus Russian Kettlebell Challenge (RKC) Tahap 1 di bawah perhatian Pavel Tsatsouline tapi gagal pula.

“Saya kemudian kuatkan semangat ke Belfast, Ireland Utara pada Februari lalu dengan mengambil kursus prapersediaan Hardstyle Kettlebell Certified (HKC) sebagai persiapan memasuki semula program RKC.

“Kursus selama sehari ini memberi penekanan mengenai teknik, latihan dan senaman kettlebell yang betul sebelum memasuki program RKC Tahap 1 dan Tahap 2.

“Menariknya di sana, saya berkesempatan berjumpa Andrea Du Cane, jurulatih kettlebell Russia yang luas pengalamannya. Andrea turut dikenali sebagai wanita serba boleh kerana masih mampu mengekalkan kesihatan dengan lebih baik menerusi senaman kettlebell walaupun kini berusia 55 tahun,” katanya dengan penuh semangat.

Nyata segala pengorbanannya tidak sia-saia kerana Azlan mendapat keputusan cemerlang ketika menjalani program HKC, sekali gus diberi peluang menjalani latihan RKC Tahap 1 dengan percuma di Udine, Itali pada Jun lalu selama seminggu.

Apa yang membanggakan ialah Azlan satu-satunya peserta dari Malaysia, malah Asia yang berjaya mengharungi kursus RKC Tahap 1 di Udine. Begitupun, dia tidak dipandang rendah rakan kettlebell lain kerana interaksi yang dibentuk melahirkan pelatih kettlebell yang saling bekerjasama bagi memperkenalkan senaman kecergasan ini secara global.

Setelah berjaya menamatkan RKC Tahap 1, Azlan ditawarkan menjadi pembantu jurulatih bagi kursus RKC Tahap 1 yang diadakan di serata dunia.

Dia yang bekerja sebagai jurulatih senaman secara bebas sentiasa berfikiran positif bagi memperkenalkan dan meluaskan teknik senaman menggunakan kettlebell dengan cara yang betul.

“Saya berharap dapat membuka sebuah pusat senaman kettlebell di Malaysia serta memperkenalkannya secara meluas kepada masyarakat kita. Memandangkan sistem latihan kettlebell hanya terhad di dalam bahasa Inggeris, saya turut berharap dapat memperluaskannya di dalam bahasa Melayu agar mudah difahami dan dipelajari,” katanya lagi.

Bagi mengetahui lebih lanjut mengenai senaman kettlebell layari laman web Azlan di http://besitampin.blogspot.com.