kem sm

Bina kekuatan diri

Pelajar Pra-U dari SMK Khir Johari, Tanjong Malim, Perak sertai Kem Jati Diri

Oleh Siti Salmiah A Hamid
salmiah@hmetro.com.my

KHUSYUK...pelajar Pra-U begitu khusyuk mendengar taklimat yang disampaikan oleh tenaga pengajar, Khairul Azfnizan.

SELARAS hasrat melahirkan insan yang berdaya saing dan berkualiti, seramai 38 pelajar Pra-U dari SMK Khir Johari, Tanjong Malim, Perak menyambut cabaran guru masing-masing.

Ia menerusi pembabitan program Kem Jati Diri (Ikhtiar Hidup) di Pos Gesau, Ulu Slim, Slim River, Perak, baru-baru ini.

Program Kem Jati Diri itu dianggap kesinambungan Kursus Kepimpinan Pelajar yang diadakan di sekolah dengan menerapkan kaedah pengalaman dan percambahan pengetahuan pelajar.

Pengetua cemerlang, Noraini Yeub Sidi berkata, program yang dijalankan selama tiga hari itu bertujuan meningkatkan tahap motivasi pelajar supaya lebih cekal dan tabah berdepan cabaran.

“Program ini membina kekuatan kerohanian dan melatih kekuatan mental serta fizikal pelajar supaya lebih berdaya saing. Mereka diuji untuk bertahan dengan kekurangan bekalan dan bantuan sementara fizikal pula memaksa untuk bergerak dengan lebih lasak, yakin dan berani ketika ditinggalkan dalam hutan berseorangan.

“Keseluruhan program ini dianggap sebagai medan utama yang boleh dimanfaatkan pelajar bukan saja untuk meraih kejayaan dalam peperiksaan utama bahkan diharap mampu mengharumkan nama sekolah dalam pelbagai bidang,” katanya.

Pelbagai aktiviti mencabar diadakan bagi menguji ketahanan pelajar dalam meneruskan kelangsungan hidup seperti menyalakan unggun api di ladang kelapa sawit dalam keadaan basah dengan bekalan terhad.

Aktiviti Latihan Dalam Kumpulan (LDK) pula memerlukan pelajar memasak nasi di dalam kelapa muda juga memanggang ikan keli.

Pada malam terakhir, aktiviti Sulu Budiman diadakan tepat tengah malam bagi menguji ketahanan mental dan fizikal pelajar selain mensasarkan objektif untuk membentuk semangat kerjasama.

Perkhemahan terbabit dikendalikan sepenuhnya perunding berpengalaman, Nat #5 Adventure Services diketuai Ramlan Rahmat, bersama barisan tenaga pengajar Khairul Affendi Kusni, Khairul Afznizan Mokthtar, Shahrul Kamaruddin dan Mohd Azlan Mohd Noor.

TERIMA KASIH...barisan belakang, konsultan Nat #5 Adventure Services bersama Noraini (duduk empat dari kiri), guru dan Pra-U SMK Khir Johari.

Menurut Ramlan, selain membentuk generasi muda menjadi modal insan yang mampu membangunkan negara, ia juga untuk melahirkan generasi berkualiti demi meningkatkan kebolehan modal insan.

“Program ini mengajar mereka pelbagai aspek kehidupan sama ada akademik, ilmu pengetahuan, latihan fizikal, mental dan spiritual, pembangunan rohani, penjanaan akhlak, ukhuwah serta kesatuan.

“Ia penting kerana terdapat pelbagai menu mental dan jasad dapat dinikmati secara intensif sekali gus membina pengukuhan jati diri sempurna,” katanya.

Di akhir program, Kumpulan Dua yang diwakili Ahmad Fauzan Rathuan @ Radzuan dinobatkan kumpulan terbaik keseluruhan.

Fauzan, berkata dia begitu teruja menyertai program itu kerana tidak pernah didedahkan dengan pengalaman di dalam hutan.

“Namun masih banyak perlu dipelajari dan berharap dapat diteruskan pada masa depan dengan pelbagai aktiviti lebih mencabar,” katanya.