regatta sm

Langkawi pusat pelancongan dunia

Regatta Antarabangsa Diraja Langkawi terima 30 penyertaan untuk Januari 2012

Oleh Siti Salmiah A Hamid
salmiah@hmetro.com.my

SENGIT...perlawanan regatta mendapat perhatian pencinta kapal layar dalam dan luar negara.

LOKASINYA di perairan negeri Kedah, justeru tidak menghairankan apabila Pulau Langkawi menjadi destinasi pelancongan yang dipenuhi dengan pelbagai aktiviti dalam dan luar negara.

Regatta Antarabangsa Diraja Langkawi (RLIR) 2012 ke-10 bakal membuka tirai pada 9 hingga 14 Januari dalam pelbagai kelas termasuk Racing Class, IRC Class, Sports Boat, Multi hull, Club Cruising dan Ocean Rover.

Pertandingan tahunan anjuran Kelab Perahu Layar Diraja Langkawi (RLYC) menyaksikan perebutan trofi utama Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di samping anugerah khas yang diperkenalkan pada 2012 ini untuk pasukan terbaik di air atau di darat.

Anugerah Kesukanan Tunku Abdullah bagi mengingati Almarhum Tunku Tan Sri Abdullah Tuanku Abdul Rahman selaku Pengasas dan Laksamana Muda pertama.

Pengarah Teknikalnya, Ahmad Zailani Bashah, berkata pemilihan Langkawi membuktikan kawasan ini mempunyai perubahan angin dan air yang baik sesuai dijadikan medan pertemuan pelayar dari seluruh dunia.

“Setiap Januari, kelajuan angin sering kali berada pada kedudukan lapan hingga 20 knot dan kami yakin keadaan angin ini sama pada Januari 2012.

“Setakat ini, hampir 30 penyertaan diterima termasuk Norway, Denmark, New Zealand, Hong Kong, Thailand, United Kingdom dan Malaysia.

IKTIRAF...mendapat pengiktirafan antarabangsa, RLIR diharap dapat menarik penyertaan pelayar antarabangsa.

“Penyertaan masih dibuka dan berharap ia mampu mencapai sasaran yang ditetapkan sebanyak 60 penyertaan,” katanya.

RLIR yang diadakan pada setiap tahun ini mula menerima penyertaan menggalakkan sejak pertandingan pertamanya pada 2003.

Bersempena dengan sambutan ulang tahun yang ke-10, regatta ini menerima pengiktirafan antarabangsa sebagai kejohanan bertaraf Gred 3 oleh Persekutuan Pelayaran Antarabangsa (ISAF).

Pencapaian ini membuktikan RLIR berada di landasan yang kukuh bagi meneruskan kecemerlangan pertandingan perahu layar yang kompetitif malah melonjakkan Langkawi sebagai pusat pelancongan dunia.

Promosi istimewa diberikan kepada mereka yang mendaftar awal dengan yuran penyertaan RM550 bagi setiap pasukan namun dikenakan bayaran RM100 bagi setiap seorang anak kapal tambahan.

Apabila promosi tamat, bayaran RM200 dikenakan bagi setiap seorang anak kapal tambahan.

Yuran meliputi kos berlabuh selama lapan malam di RLYC, caj air, elektrik dan cenderamata regatta.

Maklumat lanjut, layari laman web, sesawang http://www.lang kawiregatta.com atau hubungi Zack di e-mel zack@langkawiyachtclub.com.