superstar libra cover

Pakej penginapan serba lengkap

Penumpang menikmati pelbagai kemudahan serta pilihan makanan halal bagi pelancong Islam

Oleh Siti Salmiah A Hamid
salmiah@hmetro.com.my

GAH...SuperStar Libra menyediakan percutian eksklusif di lautan.

KEBIASAANNYA, pengangkutan seperti kapal terbang menjadi pilihan pertama jika ingin bercuti. Namun, sesekali terasa juga ingin mengubah haluan agar dapat menikmati tiupan angin laut dan panorama luas terbentang.

Menerusi Lebuhraya Utara-Selatan, penulis mengambil masa kira-kira enam jam dari Kuala Lumpur ke Pelabuhan Pulau Pinang. Rasa teruja berlayar bersama si paus putih semakin membuak ketika melihatnya secara dekat.

SuperStar Libra adalah barisan kapal mewah milik Star Cruise, peneraju utama pelayaran di Asia Pasifik yang turut berpangkalan di Kuala Lumpur.

Lebih 1,000 penumpang menaiki kapal ini sama ada dari Malaysia, Singapura dan India serta negara Asia lain untuk menikmati pelayaran mewah di atas kapal.

Direka bagi memenuhi keperluan penumpang yang inginkan percutian di tengah lautan dengan suasana lebih tenang dan lengkap dengan pelbagai kemudahan.

Ia adalah resort ekslusif yang terapung di laut lepas di samping hiburan serta aktiviti rekreasi serta layanan mesra kru bertaraf Asia yang tidak menjemukan.

Sebelum menaiki kapal, sediakan wang Ringgit Malaysia (RM) secukupnya kerana segala urusan jual beli di atas kapal hanya menggunakan RM atau mata wang Amerika (USD) selain kad kredit.

HALAL...Chef Saifol Ikhsan membuat demo masakan halal.

Konsep bayarannya agak berlainan kerana mengaplikasikan sistem kad yang diguna pakai untuk semua urusan di atas kapal.

Penulis ditempatkan di bilik Oceanview Stateroom with Window bersama rakan media yang lain. Susun atur perabot di bilik agak ringkas tetapi memberi keselesaan kepada penumpang.

Terdapat enam jenis kabin yang ditawarkan mengikut cita rasa penumpang iaitu Executive Suite, Junior Suite, Deluxe Oceanview Stateroom, Oceanview Stateroom with Window, Oceanview Stateroom with Porthole serta Inside Stateroom.

SuperStar Libra menyediakan pakej penginapan berserta set makanan empat kali sehari di restoran tertentu iaitu Mariners Buffer, Ocean Palace dan Four Season.

Makanan yang ditawarkan pula memenuhi selera penumpang yang kebanyakannya dari Asia. Makanan halal di letakkan berasingan daripada makanan tidak halal.

Wakil media dibawa melihat kawasan dapur yang menempatkan makanan halal diketuai Chef Saifol Ikhsan.

Menurutnya, orang ramai tidak perlu bimbang kerana penyediaan makanan halal dikhususkan untuk pelancong Muslim yang menyertai pelayaran itu.

“Malah, di ruang makan diletakkan tanda ‘Pork free’ sebagai panduan mudah kepada pelancong Muslim yang kebanyakannya dari Malaysia dan negara Arab,” katanya.

Mengenai aktiviti di SuperStar Libra, kapal mewah itu menawarkan hiburan dari semasa ke semasa bergantung kepada had umur pelancong.

Kanak-kanak berpeluang mempelajari seni dan kraf seperti membuat origami, deko kek cawan serta lukisan wajah.

Hiburan malam dengan barisan penghibur adalah kru kapal manakala jemputan istimewa penyanyi dan penari dari luar negara seperti Shelly Dartez dan Westley Stevens. Persembahan itu di adakan di Stardust Lounge dengan beberapa tema seperti Show Time (Ultimate 80’s) menampilkan persembahan ala 80-an.

Jika gemarkan suasana santai diiringi alunan suara ‘liveband’, lokasinya di Galaxy of the Stars dengan pelbagai muzik terbaru.

Di ruang atas yang terbuka, ia menempatkan beberapa restoran berbayar bersama pusat kecergasan, spa serta lounge. Ia turut mempunyai salun rambut dan kecantikan, per pustakaan mini, pusat kesihatan, galeri foto serta pusat penjagaan kanak-kanak dari satu hingga empat tahun dan lima hingga 12 tahun dengan bayaran antara RM10 hingga RM15.

Pelancong yang memerlukan capaian Internet boleh berbuat demikian di Kafe Internet, namun untuk mengaksesnya dikenakan caj 56 sen seminit.

PHUKET...santai di tepi Pantai Patong.

Ports O’ Call atau kedai cenderahati turut menjual pelbagai barangan lain seperti pakaian pantai, beg, makanan ringan dan permainan.

Aktiviti juga tidak terhad di atas kapal semata-mata kerana SuperStar Libra turut menyediakan lawatan ke Phuket yang dianjurkan pada hari kedua pelayaran. Kebanyakan pelancong mengambil kesempatan membeli-belah di Pantai Patong yang menjual pelbagai barangan.

Masih banyak lagi tempat pelancongan yang harus diteroka di Phuket seperti Sri Burapa Cashew Nut Factory iaitu pengeluar utama buah gajus dan pelbagai produk buah-buahan kering, Wang Talang yang menjual barangan tempatan berkualiti seperti sutera Thai dan batu permata serta Central Festival Village iaitu satu-satunya pusat beli-belah di Phuket.

Di sini juga pelancong boleh melawat kuil lama, menunggang gajah, merasai masakan eksotik Thai serta
menikmati pertunjukan dan hiburan di sekitar bandar itu.

Pada hari ketiga, pelancong boleh mengunjungi Krabi, bandar di selatan Thailand yang dikelilingi pantai dan hutan sebagai destinasi yang pasti tidak dilupakan.

Penuhi masa dengan menyelam di Laut Andaman, aktiviti eko-pelancongan seperti memerhati burung dan perjalanan ke air terjun, gua atau pulau berhampiran.

Krabi terkenal dengan beberapa pulau seperti Pulau Koh Si, Pulau Tup, Pulau Proda, Pulau Ayam yang namanya sempena bentuk batu menyerupai ayam dan Pulau Railay yang terkenal di kalangan pendaki batu.

Ia kaya dengan taman negara seperti Thanbok Khoranee yang diisytiharkan sebagai taman negara pada September 1998 dan masih lagi mengekalkan kehidupan alam sekitar.

Pelancong turut berpeluang untuk bersiar-siar di sekitar bandar Krabi dengan suasana yang agak tenang, tidak sesak berbanding Phuket.

Sama ada Phuket atau Krabi, pelancong harus pulang ke jeti dan menaiki bot ke SuperStar Libra mengikut jadual yang ditetapkan.

Malam terakhir berada di SuperStar Libra, pelancong di raikan dengan pelbagai makanan, persembahan, nyanyian serta parti Selamat Tinggal daripada kru kapal.

Tidak mengecewakan kerana ia adalah lambaian selamat tinggal dan terima kasih daripada SuperStar Libra.

Walaupun seharian di atas kapal, SuperStar Libra berjaya menghilangkan rasa bosan pelancong dengan memberi ke lainan persembahan pada setiap malam.

Masa lawatan di Phuket mahupun Krabi pula sangat terhad membuatkan penulis berazam untuk kembali semula ke sana.

One thought on “Pakej penginapan serba lengkap

  1. Hi! Saya ada membuat tempahan utk bercuti atas Star Cruise Libra pd bulan September ini. Sy book online. Sy pohon melalui emel utk makanan halal, tetapi dimaklumkan makanan halal tidak disediakan. Your article maklum ada disediakan makanan halal. Boleh terangkan lagi supaya saya sekeluarga dpt bercuti dan makan tanpa was was? Terima kasih.

Comments are closed.