MERDU... persembahan bongai masih mendapat permintaan ramai.

Teruja di daerah beradat

Homestay Mudin Hasan pasti tinggalkan kenangan manis

Oleh Siti Salmiah A Hamid
salmiah@hmetro.com.my

MERIAH... kedatangan dan kepulangan peserta diiringi paluan kompang.

MENJEJAKKAN kaki di Kuala Pilah bukanlah perkara asing bagi penulis apatah lagi daerah beradat itu kini semakin dikenali dengan pelbagai produk pelancongan terutama inap desa atau homestay.

Terletak 12 kilometer dari bandar Kuala Pilah dan 52 kilometer dari bandar Seremban, Homestay Mudin Hasan menyajikan 1001 aktiviti.

Nama Mudin Hasan diambil sempena seorang lelaki ber nama Mudim Hassan yang taat melakukan amalan
berkhatan.

Kemesraan penduduk kampung amat terasa ketika penulis bersama rombongan Kementerian Pelancongan Negeri Sem bilan tiba sempena Jejak Perpatih V.

Bermula dengan paluan kompang, kami menghadiri majlis berandoi iaitu upacara naik buai bagi bayi berusia antara sebulan hingga setahun.

Selain membakar lemang dan memasak rendang bersama penduduk kampung, kami disajikan demonstrasi memanjat pokok enau oleh Munas Abdullah, pengusaha gula nira enau di Kampung Terusan, Juaseh.

Batang tandan bunga jantan dibersihkan terlebih dulu sebelum dicantas. Kemudian ia diketuk secara berhati-hati agar aliran air nira bergerak dengan lancar.

“Air nira enau itu mampu mengeluarkan sehingga 10 liter sehari sebelum diproses menjadi sirap atau gula kabung,” katanya.

Majlis penyerahan keluarga angkat berlangsung dengan meriah dan setiap keluarga angkat menerima empat hingga enam peserta.

Waktu makan, hidangan Negeri Sembilan seperti ayam masak cili api, acar buah, perut masak nangka dan sambal tempoyak sungguh menyelerakan.

Kami turut dihidangkan dengan persembahan bongai kumpulan Warisan Bongai yang menjadi identiti lagu Negeri Sembilan.

Aktiviti malam berakhir dengan mengail ikan menggunakan buluh. Walaupun pulang tanpa ikan di tangan, peserta pengalaman memancing memang menyeronokkan.

Banyak aktiviti lain di inap desa itu, antaranya berakit di sungai, mengail ikan di sawah, bermain alat muzik tradisional, pesta mengocak dan pesta emping.

Pengusaha homestay, Redzuan Hassan, berkata sesiapa saja yang bertandang ke inap desa ini pasti diraikan dengan pelbagai aktiviti yang tidak akan dilupakan.

“Kuala Pilah mempunyai pelbagai khazanah dan Kampung Terusan adalah destinasi percutian yang menjanjikan seribu kenangan,” katanya.

Layari laman sesawang http://mhhomestay.blogspot.com bagi mendapatkan maklumat lanjut.

MERDU... persembahan bongai masih mendapat permintaan ramai.

2 thoughts on “Teruja di daerah beradat

  1. Hai,

    Terima kasih kerana sudi menulis mengenai homestay kami dan membuat komentar yang sangat positif. Kami di Mudin Hasan Homestay mengucapkan ribuan terima kasih di atas penulisan Pn. Salmiah daripada harian Metro

    serangkap pantun:

    Jika ada sumur di ladang,
    Boleh hamba menumpang mandi,
    Jika ada umur yang panjang,
    Boleh kita berjumpa lagi.

    : )

Comments are closed.