DuraMission Logo

Puas cabar diri pandu D-Max

Trak pikap Isuzu sesuai untuk redah laluan lasak berliku   

Oleh Siti Salmiah A Hamid
salmiah@hmetro.com.my
(Mengikuti pandu uji Isuzu D-Max di Sabah, minggu lalu)

SEDIA...wakil media berhimpun sebelum keluar dari Tabin untuk destinasi seterusnya.

SESEKALI diberi peluang memandu pacuan empat roda, seronok juga apatah lagi D-Max keluaran Isuzu yang memang menjadi impian penulis.

Isuzu D-Max memang tidak asing lagi di kalangan peminat  kenderaan trak pikap kerana ia bukan saja mampu meredah pelbagai laluan lasak dan mencabar malah sesuai untuk  pelbagai kegunaan.

Mula diperkenalkan pada 2005, Isuzu D-Max menawarkan  beberapa ciri keselamatan dalam kelasnya yang tersendiri seperti beg udara serta sistem brek antikunci (ABS) bersama  pembahagian brek elektronik (EBD).

Tidak hairanlah ia menjadi trak pikap paling diminati  dengan purata jualan kira-kira 30,000 unit di Malaysia.

Kejayaan kenderaan ini turut diperkatakan apabila memenangi perlumbaan rali 4×4 AAM-Malaysia berturut-turut  pada 2008 dan 2009.

Malah, ia diangkat sebagai rakan media untuk kembara  Borneo Safari sejak 2007 sekali gus   menaikkan imejnya  sebagai kenderaan tahan lasak berwibawa.

Ketika penulis memandunya di kembara Isuzu Du ra-Mission 2012 dari Sandakan ke Tawau, Sabah, memang  suatu kepuasan terutama ketika mengharungi jalan berliku  dan lasak.

Ia memiliki ciri unik dengan penampilan bergaya dan sporty  selain bar pelindung di hadapan dan kemasan krom di  sekeliling lampu kabus serta rekaan bar roll baru di belakangnya.

Bahagian dalaman menggunakan warna gelap di panel pintu  dan papan pemuka di samping tuil gear yang diperincikan  dengan kemasan krom, tampak lebih mewah dan kemas.

Memang penulis ‘jatuh cinta’ dengan Isuzu D-Max keranamemiliki imej macho dan maskulin.

LANCAR...puas hati dengan prestasi D-Max yang hebat.

Ia memberi satu pengalaman yang menyeronokkan kerana buat pertama kalinya penulis memandu kenderaan trak pikap  tanpa ditemani tenaga pengajar terlatih.

Pelepasan 12 kenderaan Isuzu D-Max dari Hotel Sandakan dirasmikan Pengarah Urusan, Kimitoshi Kurokawa dan Ketua  Pegawai Operasinya, Daisuke Ishida.

Destinasi pertama ke Tempat Perlindungan Orang Utan di  Sepilok sebelum disambung keesokannya ke Sukau Proboscis  Lodge yang terletak berdekatan Sungai Kinabatangan.

Dari Sepilok ke Sukau, deretan Isuzu D-Max menarik perhatian orang ramai.

Ketika mengambil selekoh, sterengnya mudah dikawal dan  kenderaan berada di dalam kedudukan stabil dengan kelajuan 100 kilometer sejam (km/j).

Ini disebabkan keunikan Torsion Bar Springs yang dipasang  pada semua trak pikap ini.

Laluan mudah itu berakhir ketika media meneruskan  perjalanan ke Lahad Datu yang mengambil masa empat jam ke Pusat Perlindungan Hidupan Liar Tabin.

Ia pemandangan biasa apabila kenderaan kami bertembung dengan lori penuh  muatan kelapa sawit di Tabin.

Berada di laluan ‘mesra’ yang berlumpur, berlopak dan licin memberi kepuasan kepada media menguji Isuzu D-Max.

Prestasi enjin 3.0 liter yang menjana kuasa maksimum sehingga 136 PS, manakala tork mencapai 294 Nm mem bolehkan D-Max memecut dengan sempurna untuk me motong lori yang bermuatan penuh.

KENANGAN...bergambar di Lipad Mud Volcano yang masih aktif.

Untuk sampai ke Pusat Perlindungan Hidupan Liar Tabin sejauh 30 kilometer (km), kami terpaksa mengharungi jalan  kerikil dan laluan berlumpur.

Dalam perjalanan ke Semporna, penulis cuba memandu dengan kelajuan hampir 140 km/j, ternyata kenderaan ini stabil dan senang dikawal walaupun ketika meratah selekoh  serta laluan yang tidak rata.

Pengurus Kanan, Jualan Kenderaan Isuzu Malaysia, Junaidy  Sulaiman, berkata kembara Isuzu Dura-Mission siri 2 ini  diadakan bagi memberi peluang rakan media merasai prestasi  trak pikap Isuzu D-Max.

“Kebanyakan wakil media terutama wanita kurang pengalaman sewaktu memandu di laluan ‘offroad’. Ia satu  pengalaman menarik,” katanya.

Isuzu D-Max lahir dengan empat kapasiti enjin diesel iaitu  Direct Injection 2.5 liter, Super Commonrail 2.5 liter, Super  Commonrail 3.0 liter dan Single Cab Super Commonrail 3.0  liter.

Ia dipadankan dengan transmisi manual dengan lima  kelajuan manakala transmisi automatik mempunyai empat kelajuan yang memantapkan lagi kuasa enjin kenderaan ini.

Kenderaan itu memang menjimatkan kerana ketika meng harungi perjalanan sejauh 618 km, minyak masih berbaki separuh tangki.

Image
MENCABAR... laluan begini mudah diharungi.