Sandakan

Kaya tinggalan sejarah, budaya asing

Sandakan juga dianugerahi keindahan alam semula jadi untuk diterokai

Oleh Siti Salmiah A Hamid
salmiah@hmetro.com.my

SEBUT saja Sabah, pasti terbayangkan Kota Kinabalu kerana sinonim sebagai tempat pelancongan. Namun Sandakan turut mempunyai keunikan dan keistimewaan tersendiri.

Satu ketika dulu, Sandakan adalah pelabuhan utama kepada pedagang Eropah, Afrika, India dan Arab malah laluan pelayar Cina dari Canton sehingga digelar ‘Little Hong Kong’.

Tidak hairanlah, ia kaya dengan tinggalan sejarah dan budaya asing yang masih boleh diteroka.

Hasilnya, berdiri megah beberapa bangunan dan kuil seperti kuil Puu Gih Jih, gereja St Michael dan All Angels yang didirikan pada akhir abad ke-19.

Dinilai dari segi alam sekitar, masih banyak lagi tempat menarik untuk dihayati dengan lebih dekat. Tidak rugi melancong ke daerah ini untuk melihat dan meneroka khazanah alam yang masih terpelihara.

PUSAT PERLINDUNGAN ORANG UTAN SEPILOK

MANJA...anak dan ibu ini ditemui di Hiliran Sungai Kinabatangan.

Kawasan seluas 4,294 hektar di Hutan Simpan Kabili-Sepilok ini adalah pusat perlindungan bagi membantu bayi dan Orang Utan yang cedera kembali ke habitat asalnya.

Di bawah pemantauan Jabatan Hidupan Liar Sabah, pusat itu menarik penyelidik, pelancong tempatan dan asing melihat lebih dekat habitat semula jadi Orang Utan atau nama saintifiknya, Pongo pygmaeus.

Setiap tahun, pusat itu menarik sehingga 100,000 pelancong dari seluruh dunia.

Ketika berada di pusat ini, pastikan beg atau kamera anda dijaga rapi bagi mengelak haiwan itu merampasnya.

Orang Utan ini agak pemalu, jadi untuk melihat aksi mereka hanyalah ketika waktu malam antara jam 10 pagi hingga 3 petang.

Lucu melihat gelagat mereka berkongsi makanan dengan haiwan lain termasuk monyet liar yang banyak di kawasan itu.

Anda boleh mengambil gambar di laluan pejalan kaki tetapi dilarang menyentuh atau memeluk haiwan itu.

Pusat ini terletak kira-kira 26 kilometer dari bandar Sandakan dan mengambil masa enam jam jika menggunakan kenderaan dari Kota Kinabalu.

Anda boleh menaiki bas atau teksi di bandar Sandakan. Pusat ini dibuka dari jam 9 pagi hingga 5 petang setiap hari dan bayaran masuk ialah RM5 untuk pemegang MyKad dan RM30 untuk pelancong asing.

LOKASI:
Batu 14, Jalan Labuk
WDT No 200, 90009 Sandakan
Sabah Negeri Di Bawah Bayu
Tel: 089-531180
Web: http://www.sabahtourism.com

SUNGAI KINABATANGAN

PUAS di Sepilok, kami meneruskan perjalanan ke Pejabat Santuari Hidupan Liar Hilir Kinabatangan di Sukau.

Dikenali sebagai sungai kedua terpanjang di Malaysia, Sungai Kinabatangan menyimpan pelbagai khazanah negara selain penting sebagai sumber ekosistem semula jadi.

Sungai ini mengalir dari kawasan pergunungan di barat daya Sabah ke Laut Sulu sepanjang 560 kilometer.

Selain kawasan tadahan air terbesar di Sabah, ia terkenal sebagai syurga hidupan liar.

Penulis dapat melihat pelbagai jenis burung, kera, Orang Utan dan monyet Proboscis selain spesies enggang ketika mudik dengan bot ke Hilir Kinabatangan.

Kebiasaannya, malam adalah waktu terbaik untuk melihat pelbagai hidupan liar seperti burung, musang dan buaya, apatah lagi keadaan air yang bergerak perlahan dan keruh.

Pelancong berpeluang melihat binaan rumah, aktiviti penduduk Kampung Sukau di sepanjang sungai ini serta keraian, adat dan budaya.

Kewujudan chalet turut mengembangkan ekonomi penduduk setempat.

Jika anda datang dari Sandakan, ia mengambil masa dua jam untuk sampai ke Sukau sebelum meneruskan perjalanan dengan bot ke chalet.

LOKASI:
Pejabat Daerah Kinabatangan
Bangunan Urus Setia
WDT No 1, 90200 Kinabatangan
Tel: 089-561811/812
Web: http://www.sabah.gov.my/pd.kbtg/index.html

PUSAT PERLINDUNGAN HIDUPAN LIAR TABIN

SEPASANG... enggang sememangnya banyak di Sabah.

KETIKA menjejakkan kaki ke pusat perlindungan ini, suasana tenang dan nyaman kerana dikelilingi hutan hujan semula jadi.

Dengan keluasan 120,000 hektar, Pusat Perlindungan Hi dupan Liar Tabin menjadi tempat kediaman kepada pelbagai jenis hidupan liar yang semakin pupus selain menyimpan hasil hutan berharga termasuk jati, meranti dan spesies herba.

Rizab Hidupan Liar ini memiliki lebih 70 spesies haiwan antaranya gajah Pygmy Borneo, badak Sumatera, tembadau, Orang Utan, harimau bintang, kijang, binturong dan kucing hutan.

Penggemar fotografi dan aktiviti memerhati burung pasti teruja melihat 42 jenis daripada 300 spesies burung di hutan ini.

Keadaan muka bumi di Tabin turut mencipta gunung berapi aktif dengan lumpur.

Selepas berjalan kaki kira-kira 700 meter dari lumpur gunung berapi Lipad, pelancong dibawa menikmati kesejukan air terjun.

Tabin adalah tempat yang menyeronokkan dan untuk sampai ke sini, ia mengambil masa tujuh jam jika memandu kereta dari Sandakan atau empat jam dari Tawau.

LOKASI:
Lot 11-1, Tingkat 1, Blok A
Damai Point, Jalan Damai
88300 Kota Kinabalu
Tel: 088-267266
Web: http://www.tabinwildlife.com.my

PULAU MABUL

KAMPUNG... penempatan Bajau Laut.

IA terletak di timur Sabah dan popular dengan aktiviti menyelam terutama di kalangan pelancong asing.

Pulau ini memenuhi keinginan pencinta fotografi dasar laut kerana spesies marin yang menakjubkan terutama terumbu karang dan hidupan makro yang jarang ditemui.

Sotong Flamboyant, gelang biru, ikan Spike-fin Gobies, ikan katak dan belut Moray menjadi buruan pelancong untuk melihat secara dekat.

Mabul turut mendapat pengiktirafan sebagai ‘muck-diving’ di dunia kerana lokasi menyelam yang cetek dengan tahap penglihatan terhad.

Aktiviti ‘snorkeling’ menjadi perhatian pengunjung sekiranya tidak mahu berenang di dasar lautan.

Terkenal dengan pantai yang putih bersih, persekitaran pulau dikelilingi pokok kelapa rendang membolehkan pelancong asing beristirahat di bawahnya sambil menjamu mata.

Jika ada masa, kunjungi kampung nelayan yang didiami suku Bajau Laut. Anda boleh membeli pelbagai cenderamata di sini yang dihasilkan penduduk tempatan.

Untuk ke sini, pelancong hanya mengambil masa sejam jika memandu dari Tawau ke Semporna, seterusnya selama 45 minit dari jeti ke Pulau Mabul.

LOKASI:
Pulau Mabul, Semporna