SELESA...Premium Studio berkeluasan 51 meter persegi.

Keseronokan bercuti

Hotel Avillion di Port Dickson dan Melaka penuhi cita rasa pengunjung

Oleh Siti Salmiah A Hamid
salmiah@hmetro.com.my

SAMA ada di Port Dickson atau di Melaka, kedua-dua hotel ini memiliki reka bentuk dan seni bina warisan Malaysia dengan sentuhan kolonial dan hiasan dalaman yang menarik.

Terletak di Batu Lima Jalan Pantai, Port Dickson, Negeri Sembilan, Avillion Admiral Cove dianggap percutian yang memenuhi selera masyarakat bandar yang menawarkan pengalaman unik pemandangan menghadap Selat Melaka.

Sebaliknya, Avillion Legacy Melaka berada di tengah bandar bersejarah yang disenaraikan sebagai Tapak Warisan Dunia Unesco pada Julai 2008.

Banyak tempat menarik di sekitar Port Dickson yang boleh dikunjungi antaranya pantai Teluk Kemang, Hutan Simpan Tanjung Tuan dan Taman Perlindungan Kelip-Kelip Sungai Linggi manakala di bandar Melaka adalah A Famosa dan Masjid Kampung Kling.

Kedua-dua hotel ini sesuai untuk warga kota yang inginkan percutian perniagaan dan keseronokan, apatah lagi lokasinya berdekatan Kuala Lumpur dan Singapura.

Suasana kontemporari yang dimiliki Avillion Admiral Cove adalah ilham daripada kehidupan marin dan ketenangan Selat Melaka dengan menawarkan 156 bilik daripada Superior, Straits Studio, Deluxe, Premium dan Executive studio.

Avillion Legacy Melaka pula menawarkan 233 bilik pelbagai jenis yang memenuhi cita rasa anda untuk berbulan madu atau santai.

SELESA...Premium Studio berkeluasan 51 meter persegi.

Setiap bilik di hotel bertaraf lima bintang ini dilengkapi kemudahan asas mewah seperti televisyen plasma, peti sejuk, peti keselamatan, IDD, surat khabar harian serta kemudahan membuat teh atau kopi.

Selain panorama Selat Melaka, kedua-dua hotel ini menyediakan kemudahan rekreasi seperti kolam renang ka nak-kanak, gelanggang tenis, gimnasium serta bilik permainan kanak-kanak.

Jika berminat melawat tempat menarik dan tinggalan sejarah di Port Dickson atau Melaka, hotel menyediakan kemudahan itu dengan pelbagai tempat pilihan.

Rasai keenakan masakan yang disediakan chef terpilih di Traders Food Shop sambil menyaksikan bot dan kapal layar di perairan Selat Melaka atau masakan Asia dan Barat di Coffee House, Avillion Legacy Melaka.

Bagi yang gemar suasana santai, Sailor Drink Shop, Avillion Admiral Cove dan The Lounge, Avillion Legacy Melaka menyambut kehadiran anda dengan konsep terbuka.

Sebagai tempat keraian korporat, mesyuarat dan seminar, kedua-dua hotel itu memenuhi permintaan pengunjung pelbagai peringkat usia untuk pelbagai aktiviti termasuk perkahwinan dan berbulan madu.