kuala gula 1

Biak di hutan paya bakau

Sebanyak 62 daripada 192 spesies burung migrasi direkodkan

Oleh Siti Salmiah A Hamid
salmiah@hmetro.com.my

MEWAH...tangkapan udang dan kerang memberi pulangan yang tinggi.

KUALA Gula di Taiping, Perak antara lokasi tumpuan pelancong asing untuk menikmati alam semula jadi selain memerhati gelagat burung air yang banyak memenuhi kawasan itu.

Terletak kira-kira 50 kilometer dari barat laut Taiping, Kuala Gula adalah sebahagian Hutan Simpan Paya Laut Matang yang mempunyai hutan bakau dan pantai berlumpur.

Dikenali serata dunia kerana lokasinya di laluan sekumpulan burung yang berhijrah dari hemisfera utara ketika musim sejuk ke hemisfera selatan sewaktu bulan Ogos sehingga April.

Apabila musim sejuk di hemisfera utara berakhir, burung air ini kembali semula ke Siberia untuk membiak dengan mengikuti laluan sama. Ia berlaku saban tahun.

Hutan paya bakau berperanan sebagai tempat membiak dan sumber makanan burung hijrah dan haiwan tempatan.

Ramai pelawat tempatan dan antarabangsa termasuk dari Amerika Syarikat, Australia, Eropah dan Jepun sanggup ke Kuala Gula untuk mengenali burung ini.

Di sepanjang sungai Kuala Muda, perkampungan Cina yang berketurunan Hokkien hidup aman dengan menjalani rutin seharian sebagai nelayan.

Perniagaan keluarga turun-temurun seperti perikanan, perindustrian belacan dan makanan kering yang diperkenalkan secara komersial menjana ekonomi masyarakat tempatan.

TINGGI...sering menjadi tumpuan pemburu haram.

Sebelum tiba di Teluk Rubiah untuk menanam pokok bakau, bot yang kami naiki berhenti di sekitar Pulau Kalumpang bagi merakamkan aksi burung air yang khusyuk mendapatkan makanan.

Pulau Kalumpang mula dikenali pada 1988 sebagai tapak arkeologi yang membuktikan ada penempatan manusia pra sejarah di kawasan hutan paya bakau itu.

Ia terletak kira-kira 45 minit perjalanan dengan menaiki bot dari jeti Kuala Gula.

Pada masa yang sama, pelbagai spesies burung seperti helang merah, bangau besar, kedidi pasir, kedidi kaki merah, raja udang dan tiong batu mudah dilihat sama ada hinggap di dahan pokok, di sarang atau di tunggul kayu mati.

Sekumpulan burung botak kecil yang sedang mencari makanan dengan paruhnya yang berwarna oren kekuningan serta sayap kelabu hitam menarik perhatian pelancong.

Pengunjung pastinya terpegun dengan pelbagai spesies, warna dan saiz hidupan liar ini yang dapat disaksikan sendiri di Kuala Gula.

PULIHARA...media dan NRE sewaktu penanaman bakau di Teluk Rubiah.

Selain itu, lotong kelabu, kera dan belacak banyak di Teluk Rubiah.

Teluk Rubiah tidak pernah sunyi dengan aktiviti penanaman bakau. Kali ini, media bersama kakitangan Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar (NRE) bergabung tenaga menanam 40 pokok bakau.

Sewaktu memijak kawasan paya, penulis dapat merasai akar kayu pokok pial atau piai yang dipercayai tahan walaupun terendam dalam air.

Ia adalah pengalaman yang menyeronokkan kerana berpeluang melakukan aktiviti terbabit buat pertama kali.

Sewaktu pulang ke jeti, pelancong dapat menyaksikan aksi memerang licin yang tenggelam timbul di permukaan air ketika mencari makanan serta biawak air yang berenang berdekatan pukat nelayan untuk menangkap ikan yang tersangkut.

Ketua Penyelaras, Pusat Konservasi Hidupan Liar (Burung Laut) Pos Kuala Gula, Khairol Anuar Mislan, berkata sebanyak 62 daripada 192 spesies burung migrasi direkodkan dengan jumlah kekerapan di antara Ogos hingga April setiap tahun.

“Menerusi Akta Perlindungan Hidupan Liar 76/72, Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara, Semenanjung Malaysia (Perhilitan) melarang sebarang tangkapan bagi melindungi spesies burung air ini.

“Spesies yang dikelaskan terancam, antaranya burung upeh atau mycteria cinerea, botak kecil, sekendi kepala hitam dan kedidi kaki hijau.

“Larangan itu yang bermula pada 2010 meningkatkan jumlah kedatangan burung hijrah ke sini,” ujarnya.

Bagi memudahkan kedatangan pelancong dalam dan luar negara, Peranginan Santuari Kuala Gula menyediakan 10 chalet di Kuala Gula dengan harga berpatutan.

Media turut dibawa ke Pusat Eko-Pelajaran Paya Laut Matang di Kuala Sepetang untuk mengenali spesies pokok kayu bakau di sekitar Hutan Paya Laut Matang (HPLM).

BEBAS...Upeh atau Milky Stork banyak ditemui di Peranginan Santuari Kuala Gula.

Berkeluasan 40,538 hektar, HPLM menguasai hampir 7.1 peratus daripada hutan paya laut di negara ini. Ia mula digazet sebagai hutan simpan kekal pada 1902.

HPLM dibahagikan kepada empat zon utama iaitu perlindungan, pengeluaran terkawal, produktif dan zon tidak produktif.

Aktiviti penebangan pokok bakau dijalankan di zon produktif.

Sistem penebangan dilakukan secara sistematik mengikut giliran tebangan bagi setiap 30 tahun apabila mencapai usia matang dengan purata diameter antara 14 hingga 19 sentimeter.

Antara spesies kayu bakau yang digunakan secara komersial ialah pokok bakau minyak yang digunakan sebagai arang, cerucuk dan kayu api manakala akarnya dibuat perhiasan dan ukiran.

Arang yang dihasilkan dari pokok ini adalah berkualiti tinggi berbanding spesies paya laut lain.

>>INFO

PERHILITAN Negeri Perak
Tingkat 3, Wisma Persekutuan
Jalan Datuk Seri Ahmad Said
30450 Ipoh, Perak Darul Ridzuan
Telefon: 05-243 6645
Web: http://www.wildlife.gov.my

>>Bagaimana ke sini:
Menerusi Lebuhraya Utara Selatan, pengunjung akan keluar ke Plaza tol Taiping Utara atau Plaza Tol Bukit Merah seterusnya ke Kuala Gula dengan mengikuti papan tanda sepanjang jalan.