Digamit keindahan semula jadi

Pengunjung boleh melihat 1000 spesies flora, menikmati kedamaian sambil kelilingi tasik

Oleh Siti Salmiah A Hamid
salmiah@hmetro.com.my

MALAYSIA mempunyai sembilan kawasan yang diisytiharkan taman negara, antaranya Taman Negara Pahang, Taman Negara Sabah dan Taman Negara Pulau Pinang.

Pada 1928, Taman Negara Pulau Pinang digazetkan Hutan Simpan Pantai Acheh dan diuruskan Jabatan Perhutanan.

Dengan tarikannya tersendiri, Pulau Pinang diisytiharkan taman negara pada April 2003 oleh Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Ia adalah taman negara terkecil di dunia dengan kawasan seluas 2,522.1 hektar merangkumi 1,181.9 hektar (darat) dan 1,340.2 hektar kawasan laut.

Penolong Pengarah Taman Negara Pulau Pinang (TNPP), Wan Mat Wan Harun, berkata pintu masuk utama ke taman negara adalah melalui Teluk Bahang dan pintu masuk kedua di Kuala Sungai Pinang di daerah Balik Pulau.

“Keluasan taman ini meliputi hutan pamah dipterokap, hutan bukit dipterokap, hutan paya bakau, persisiran pantai dan laut serta tasik meromiktik.

“Kawasan yang diletakkan di bawah TNPP termasuklah Sungai Tukun, Teluk Duyung dan Muka Head yang menempatkan rumah api.

“Hampir 271 spesies hidupan liar termasuk mamalia, reptilia, burung, amfibia dan serangga menjadikan kawasan terbabit sebagai habitat semula jadi,” katanya.

Sebanyak 1000 spesies flora berjaya direkodkan dan di dominasi oleh tumbuhan seperti Moraceae, Euphorbiaceae dan Apocynaceae.

Menurutnya, tiada bayaran masuk dikenakan namun perubahan ini akan dilakukan bagi meningkatkan kesedaran orang ramai serta membaik pulih kawasan.

Walaupun tidak menyediakan kemudahan penginapan, seramai 90,000 pelancong mengunjungi kawasan ini tahun lalu iaitu dari England, New Zealand, Jepun, China dan Eropah.

Rombongan media bersama kakitangan Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar (NRE) meninjau sekitar Pantai Kerachut untuk melihat sendiri keunikan Tasik Meromiktik di samping program konservasi penyu.

Ia terletak kira-kira 45 minit perjalanan dengan menaiki bot dari jeti Teluk Bahang.

Menerusi laluan laut, pengunjung berpeluang menyaksikan sendiri batu berbentuk buaya, penyu dan arnab. Ia amat menarik seolah-olah sengaja diukir namun tiada mitos yang dapat mengungkapkan misteri kewujudan batu terbabit.

Kawasan itu menjadi tumpuan kaki pancing kerana terdapat banyak ikan di sekitar kawasan laut dan tasik.

Antara aktiviti lain yang disediakan termasuklah perkhemahan, pemerhatian hidupan liar, merentasi titian ka nopi, berenang, pusat konservasi penyu, merentas hutan, mendaki bukit dan berkenu menyusuri hutan paya bakau.

Dari jeti Pantai Kerachut, pengunjung perlu berjalan kaki selama 20 minit ke Tasik Meromiktik.

Berkeluasan 277 meter persegi, Tasik Meromiktik terbentuk daripada aliran air laut dan lima anak sungai di sekitar TNPP. Ia adalah tasik Meromiktik kedua selepas Australia.

Peralihan musim ketika monsun Timur Laut pada November hingga Mac dan monsun Barat Daya dari Mei hingga September sebagai punca pembentukan tasik bermusim ini.

Ia dikatakan unik kerana mempunyai dua lapisan air yang berbeza suhu dan ketumpatan. Air tasik berada di bahagian atas manakala air laut memenuhi lapisan bawah. Pengunjung boleh merasai sendiri kesejukan air di bahagian atas dan panas di bahagian bawah yang terasing secara semula jadi.

Rentis semula jadi serta kemudahan jambatan membolehkan pengunjung mengelilingi tasik serta melihat ke indahan alam yang terpelihara hingga kini.

Perjalanan media diteruskan ke Kuala Sungai Pinang iaitu pintu masuk kedua ke TNPP. Di muara Kuala Sungai Pinang, perkampungan Melayu menjalani rutin seharian sebagai nelayan komersial.

Sambil berkenu, media berpeluang mengamati suasana di sekitar Sungai Pinang. Kenu disediakan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara, Semenanjung Malaysia (Perhilitan) bagi mempromosi aktiviti memerhati burung.

Antara spesies burung yang terdapat di kawasan ini ialah kedidi batik, kedidi pasir, pucung kuak, bangau besar, burung upeh, helang merah serta helang siput.

Kami turut berpeluang melihat aktiviti konservasi penyu di Pusat Penerangan dan Konservasi Penyu, Pantai Kerachut.

Pegawai Perikanan, Jabatan Perikanan Negeri Pulau Pinang, Noraisyah Abu Bakar, berkata jabatan terbabit memulakan konservasi penyu sejak 1990.

“Terdapat tiga kawasan pantai di seluruh Pulau Pinang yang diurus dan dipulihara agar kekal menjadi habitat semula jadi untuk penyu mendarat dan bertelur.

“Kawasan terbabit adalah Pantai Kerachut, Pantai Teluk Kampi dan Pantai Teluk Ketapang Kecil.

“Spesies utama penyu yang direkod mendarat jenis agar atau penyu hijau dan penyu lipas,” katanya.

Pada 2011, bilangan telur yang dieram berjumlah 6,401 dan bilangan telur penyu yang menetas berjumlah 3,521.

Beberapa program kesedaran diwujudkan antara pusat ini dengan agensi kerajaan, agensi swasta, sekolah, universiti serta masyarakat setempat bagi melindungi dan memelihara habitat semula jadi penyu.

Media diberi peluang melepaskan anak penyu ke laut, simbolik kepada usaha dalam memulihara hidupan ini serta hubungan kerjasama antara agensi yang diharap akan berterusan.

>>INFO

Taman Negara Pulau Pinang
Jalan Hassan Abas, Teluk Bahang
11050 Pulau Pinang
Tel: (604) 881 3530 / 881 3500
Web: http://www.wildlife.gov.my

>>Bagaimana ke sini:
> Menerusi Lebuhraya Utara Selatan, pengunjung akan keluar di persimpangan Jambatan Pulau Pinang. Cari arah ke Batu Feringgi dan teruskan ke Teluk Bahang.
> Perjalanan dari Kuala Lumpur hampir 375 kilometer manakala dari Georgetown hampir 30 kilometer.
> Pengunjung boleh menginap di sekitar Georgetown, Batu Feringgi dan Teluk Bahang kerana TNPP tiada kemudahan terbabit. Kawasan ini juga turut menyediakan kedai makan, kedai runcit, cenderahati, klinik dan perkhidmatan pe lancongan yang lain.