Tip Melancong: Jangan abai info

Kunjungan ke sesebuah negara akan lebih mudah jika dapat maklumat lengkap

WALAUPUN selepas merancang dengan teliti pasti anda terlepas pandang beberapa perkara tak diduga. Apatah lagi jika menjejak kaki ke negara yang sukar untuk dapatkan barangan halal.

Bahasa pula menjadi halangan kerana sesetengah negara tidak menguasai Bahasa Inggeris sepenuhnya.

Bagaimanapun, berusahalah mendapatkan maklumat ketika mengunjungi sesebuah negara walaupun dalam waktu yang singkat.

Ikuti tip berikut yang boleh digunakan sebelum dan ketika berada di luar negara.

1. Tonton televisyen, membaca surat khabar serta majalah.

Apabila melakukan perkara di atas, anda akan mengetahui situasi di negara terbabit dengan lebih jelas apatah lagi jika menonton berita, hal berkaitan rusuhan dan bencana alam dapat diketahui dengan pantas.

Majalah turut memainkan peranan kerana banyak majalah di pasaran tempatan memaparkan maklumat mengenai luar negara sekaligus membolehkan anda membuat persiapan mental dan fizikal.

2. Dapatkan bahan bacaan tambahan.

Bahan bacaan tambahan seperti peta, buku dan ensiklopedia dapat menerangkan dengan lebih lanjut mengenai sosial, budaya, jaringan jalan raya, pengangkutan serta perkara berkaitan.

Tidak salah rasanya jika anda luangkan masa dengan mengunjungi perpustakaan atau ke kaunter pelancongan dan bersedia dengan pelbagai soalan yang mungkin dapat membantu perjalanan anda.

3. Berinteraksi dengan masyarakat tempatan.

Kupasan ketiga ini agak pelik tetapi sebenarnya dapat membantu pelancong yang tersesat. Hasil daripada bacaan dan pemahaman, anda dapat menjalinkan interaksi sosial dengan masyarakat tempatan apabila pelancong memahami budaya setempat.

Usah segan untuk bertanya sama ada kepada pemandu teksi, pemandu pelancong atau pekerja hotel kerana apabila anda memulakan suatu perbualan, bukan saja maklumat yang diperoleh mungkin sedikit bantuan turut diberi.

Cuba ikuti tip di atas selepas menyediakan perkara-perkara asas sewaktu melancong walaupun ketika kunjungan singkat.