Negara dua tamadun

Kesan sejarah Turki Seljuk dan Parsi Purba jana ekonomi pelancongan Azerbaijan

Susunan Siti Salmiah A Hamid
salmiah@hmetro.com.my

TERLETAK di persimpangan Asia Barat dan Eropah Timur, Republik Azerbaijan merupakan negara terbesar di rantau Kaukasus yang bersempadan dengan Rusia di utara, Laut Kaspia di timur, Iran di selatan, Armenia di barat manakala Georgia di barat laut.

Azerbaijan berkeluasan 33,774 meter persegi lebih kecil berbanding Maine di New England.

Namanya diambil dari Parsi yang bermakna “Land of Fire” merujuk kepada kekayaan petroleum serta status negara ini yang pernah menjadi pusat agama Zoroaster atau Zara thustra.

Majoriti penduduknya beragama Islam dengan purata 85 peratus mengamalkan Syiah dan 15 peratus adalah Ahlu Sunnah Wal Jamaah. Ia republik kedua terbesar pengamal Syiah selepas Iran.

Negara itu kaya dengan sumber petroleum, gas asli, aluminium dan besi.

Pelancongan turut menjana ekonomi Azerbaijan kerana negara ini menggabungkan dua warisan tamadun – Turki Seljuk di abad ke-11 dan Parsi Purba. Malah, ia negara Islam pertama yang mempunyai opera dan drama teater.

Ketika ini, ia menjadi destinasi popular bagi agama, spa dan pelancongan kesihatan.

Azerbaijan mempunyai jumlah tertinggi mamalia di Eropah. Kira-kira 107 spesies mamalia direkodkan di Azerbaijan, tiga daripadanya adalah spesies yang unik.

Spesies yang popular antaranya kambing kaukasia dan kambing mouflons kaukasia barat yang mendiami Nakhi chevan dan cerun barat Kaukasia di Balakan, Qabala, Zaqatala dan Ismayilli.

Terdapat 8,350 sungai yang berbeza saiz di Azerbaijan, 24 antaranya berukuran 100 kilometer panjang. Sungai Kura dan Sungai Aras antara yang popular di Azerbaijan mengalir melalui dataran Kura-Aras.

Sungai yang mengalir ke Laut Kaspia berasal daripada cerun Caucasus Utama dan Gunung Talysh kemudian mengalir di sepanjang Samur-Devechi dan Lenkeran.

Manakala, gunung meliputi 60 peratus daripada jumlah kawasan republik Azerbaijan.

Negara ini kaya dengan hidupan avifauna. Hampir 363 spesies burung daripada 60 jenis keluarga berjaya direkodkan.

Salah satu daripada spesies itu adalah Golden Eagle yang boleh dilihat di Nakhichevan.

Terdapat 52 spesies reptilia yang ditemui di Azerbaijan berada di kawasan separa gurun di Shamakhi dan Nakhi chevan serta di kawasan tanah rendah atau kawasan pergunungan lain manakala sepuluh spesies amfibia daripada lima keluarga turut direkodkan.

Azerbaijan dilimpahi dengan hidupan flora, lebih daripada 4,500 spesies tumbuhan tinggi direkodkan di negara ini.

Sedikit mengenai sejarah, negara ini pernah ditakluk orang Arab pada 642 Masihi dan menjalani kehidupan Islam sepanjang abad itu.

Pada 1918, Azerbaijan mengumumkan kemerdekaan sebagai Republik Demokrasi Azerbaijan (RDA).

>> INFO
Nama: Azerbaijan
Ibu negara: Baku
Bahasa: Bahasa Baku, Azeri, Rusia dan Armenia
Etnik/bangsa: Azeri, Dagestani, Rusia, Armenia,
Penduduk: 9.2 juta
Iklim: Tropika dan sub tropika
Mata Wang: Manat