Percutian serba lengkap

Keriuhan Cowboy Town dan Animal World Safari daya tarikan utama A’ Famosa Resort

Oleh Siti Salmiah A Hamid
salmiah@hmetro.com.my

KETIKA menjejakkan kaki di kawasan pelancongan ini, suasana begitu mendamaikan walaupun A’ Famosa Resort terletak di laluan utama berdekatan tol Simpang Ampat.

Kawasan seluas 530 hektar itu menawarkan empat jenis penginapan iaitu Resort Hotel, D’Savoy Condotel, Villa serta Villa Suite.

Berada di sini seperti mengimbau kenangan silam di kampung kerana persekitaran yang tenteram dan hijau.

Penginapan serba lengkap sesuai untuk individu, pasangan, keluarga serta syarikat yang inginkan persekitaran moden, selesa dan luas.

Suasana selesa berkeluasan 382 meter persegi dengan balkoni privasi, Resort Hotel menawarkan 215 unit bilik daripada standard, superior, eksekutif suite dan VIP suite.

Bilik tetamu dihiasi perabot kayu bergaya dengan pemandangan padang golf yang menakjubkan dari sudut balkoni. Semua bilik dilengkapi kemudahan mencukupi untuk keselesaan pengunjung.

D’Savoy Condotel pula mempunyai 370 unit bilik yang dilengkapi kemudahan asas seperti televisyen, peti sejuk mini, katil bayi serta kerusi roda.

Condotel ini menawarkan percutian mewah dengan rangkaian bilik daripada family studio, hingga pangsapuri dua bilik.

Bilik serba mewah berkeluasan 808 hingga 1,428 meter persegi boleh dipilih sama ada di depan tasik yang menyegarkan atau kehijauan padang golf dengan kemudahan Internet, kolam renang, sauna dan gelanggang tenis.

Memilih villa adalah sesuai bagi kelompok besar kerana Villa dan Villa Suite memiliki ruang tamu yang luas, dewan makan dan dapur yang serba lengkap berkeluasan 1,235 hingga 1,269 meter persegi.

Kedua-duanya memberikan ruangan privasi untuk keluarga bersantai di kolam renang yang memuatkan 12 orang.

Kemewahan Villa Suite yang mendapat sentuhan moden menghubungkan jakuzi di taman dengan kemasan biru kolam renang peribadi.

Kemasan dalaman berkonsepkan kontemporari namun di selitkan dengan seni bina Asia tradisional daripada meja solek, katil sehinggalah ke marmar serta lantai kayu keras memberi pengalaman unik keseronokan hidup tropika.

Pelbagai aktiviti disediakan untuk pengunjung, antaranya menunggang kuda, memanah, go-kart, paintball dan menembak.

Keseronokan keluarga terisi dengan kegiatan menarik seperti bermain air di Water World, meninjau aksi haiwan liar di Animal World Safari, berkenalan dengan watak koboi di Cowboy Town serta melapangkan fikiran di padang sasar Golf.

Keenakan menu di Golfer Terrace atau Greenview menggabungkan keunikan masakan Asia dan Barat yang boleh dinikmati dengan pilihan ala carte serta bufet.

Kedua-duanya terletak di clubhouse yang terkenal dengan keindahan dan warisan seni bina Minangkabau malah lengkap dengan fasiliti seperti teres golf, bilik VIP serta dewan makan.

Anda boleh memilih makanan barat di Bamboo Steak, masakan mamak atau nyonya di Water World Bistro serta Huang Di Chinese satu-satunya restoran yang menyajikan masakan asli masyarakat Cina.