Central Park serba hijau

Oleh Siti Salmiah A Hamid
salmiah@hmetro.com.my

DIKENALI sebagai taman tema dalam bandar, Berjaya Times Square Kuala Lumpur mengorak langkah dengan membuka sebuah lagi taman tema yang memberi kelainan pada pusat beli-belah terbabit.

Mengambil inspirasi daripada Central Park di New York, Berjaya Times Square memperkenalkan keindahan suasana hijau di tingkat tiga bangunan terbabit selepas merancangnya selama enam bulan.

Hampir RM3.5 juta dilaburkan bagi menarik perhatian pengunjung sekaligus menyediakan ruang perniagaan yang kondusif.

Central Park memberikan kelainan kerana ia satu-satunya pusat yang menghidupkan suasana taman hijau di dalam pusat beli belah itu.

Kawasan seluas 5,000 kaki persegi menawarkan 40 gerai jualan antaranya gerai aksesori seperti Black Queen dan Kawayii, gerai pakaian kanak-kanak seperti Kids World serta gerai pelbagai barang antaranya Together dan Gift World.

Keunikan Central Park ini akan lebih terserlah sekiranya pengunjung melihat kawasan ini dari tingkat yang lebih tinggi kerana dapat menyaksikan sendiri keunikan gerai serba hijau.

Silingnya diperbuat daripada polikarbonat yang telus, kayu tahan lasak, dinding diliputi renek palsu malah menggunakan cahaya lampu LED yang jimat serta tidak mudah terbakar.

Pusat hijau ini tidak menggunakan tumbuhan sebenar bagi mengekalkan aspek keselamatan orang ramai.

Suasana terbabit membuatkan pengunjung seperti berada di sebuah taman dengan keadaan yang tenang dan selesa.

Di samping itu, Central Park turut berperanan sebagai platform kepada peniaga muda untuk memulakan perniagaan di dalam pusat beli-belah.

Dengan jumlah kedatangan pelanggan hampir 2.3 juta sebulan ke Berjaya Times Square, ia adalah peluang perniagaan yang amat menguntungkan.

Jumlah pengunjung boleh meningkat sehingga 2.8 juta sebulan pada hari perayaan.

Pada masa sama, ia masih mengekalkan pelbagai pusat jualan yang mendapat pulangan tinggi seperti Borders Express, Factory Outlet Store, IT Centre serta Cold Storage.