Keindahan flora, fauna

156 spesies burung direkodkan mendarat di Taman Alam Kuala Selangor

Oleh Siti Salmiah A Hamid
salmiah@hmetro.com.my
Foto Khairul Azfnizan Mokthtar

LOKASINYA sejauh 70 kilometer dari Kuala Lumpur dan pernah dikenali pusat perindustrian lombong bijih timah yang banyak memberi perubahan kepada sejarah awal Malaysia.

Berkeluasan 117,844 hektar, daerah Kuala Selangor terletak di barat laut negeri Selangor yang bersempadan dengan Klang di selatan, Hulu Selangor di timur dan Selat Melaka di barat.

Hasil peninggalan Melayu lama, Kuala Selangor kini dikenali bandar bersejarah yang mampu menarik pelancong tempatan dan asing dari serata dunia.

Lawatan media bersama Tourism Selangor Sdn Bhd dan penulis blog di Malaysia memberi peluang meneroka pelbagai tempat menarik di sekitar Kuala Selangor.

Tourism Selangor turut mengadakan pertandingan Fotografi Tercantik bagi menghargai seni dan kreativiti masyarakat.

A) Taman Alam Kuala Selangor

BERKELUASAN 2.4 kilometer persegi di muara sungai, Taman Alam Kuala Selangor dibuka pada 1987 oleh Kerajaan Selangor dan diuruskan Persatuan Pencinta Alam Malaysia.

Dibahagikan kepada dua bahagian iaitu hutan hujan tropika yang berkeluasan 201 hektar manakala hutan paya bakau meliputi kawasan seluas 95 hektar.

Ia adalah lokasi persinggahan sekumpulan burung yang berhijrah dari hemisfera utara ketika musim sejuk ke hemisfera selatan.

Perkara ini adalah rutin sepanjang tahun di antara September hingga April.

Hutan paya bakau berperanan sebagai tempat membiak dan sumber makanan burung hijrah dan haiwan tempatan.

Hampir 156 spesies burung direkodkan mendarat di ka wasan ini, namun 57 daripadanya adalah burung hijrah dari Rusia, Australia dan sekitar kawasan Siberia.

Pelbagai spesies burung seperti ketitir, pekaka, raja udang  dan helang masih mengekalkan habitatnya di sini manakala burung hijrah seperti pucung serandau, bangau besar, tirjup  tanah dan tirjup rimau yang turut dikenali sebagai tiger  shrike.

Selain menikmati panorama fauna, pelancong berpeluang menghayati keindahan flora dengan lebih dekat di samping melakukan aktiviti seperti perkhemahan, pemerhatian bu rung, berakit, berkenu, merentas desa dan memancing.

B) Bukit Malawati

BERDASARKAN sejarah, Kuala Selangor menjadi pusat pemerintahan Negeri Selangor sehingga 1857, sebelum berpindah ke Jugra dan Klang.

Di akhir abad ke-17, Sultan Ibrahim mempertahankan Bukit Malawati sebagai kubu yang melindungi negeri itu daripada ditawan Belanda namun gagal.

Serangan British turut memusnahkan sebahagian kubu di atas Bukit Malawati.

Hingga hari ini, pelancong hanya dapat melihat taburan runtuhan konkrit, binaan batu asas dan dinding bersama 68 meriam asal yang diguna ketika mempertahankan kubu.

Bukit Malawati turut terkenal dengan legenda batu hampar yang diletakkan di tengah pintu masuk ke Kota Malawati.

Ia pernah digunakan sebagai tempat memancung kepala apabila seorang dayang dikatakan berzina dan darahnya  disiram di sekeliling istana sebagai peringatan kepada masyarakat.

Kesannya dapat dilihat hingga ke hari ini apabila pokok angsana ditoreh mengeluarkan getah berwarna merah yang kelihatan seperti darah.

Turut ditemui meriam penggawa atau nama asalnya Petoi Boga bermaksud Puteri Putih yang sentiasa dibalut dengan kain kuning. Ditemui di pinggir Sungai Buluh pada 1966, meriam penggawa dibawa ke kota ini bagi menggantikan meriam yang tiada.

Selain itu, pelancong boleh melawat Rumah Api yang dibina pada 1907 dan masih berfungsi sebagai petunjuk kapal yang berlayar di Selat Melaka.

Tinggalan sejarah seperti telaga tujuh, tangga seratus dan perigi beracun masih dalam keadaan baik di samping makam anak dara, makam diraja dan menara tinjau yang dibina untuk  melihat anak bulan bagi orang-orang Islam.

Perkhidmatan trem disediakan hanya pada hujung minggu dengan bayaran RM2 bagi setiap penumpang.

C) Taman Ikan Air Tawar

TERLETAK bersebelahan Taman Alam dengan keluasan dua hektar, Taman Ikan Air Tawar antara produk pe lancongan yang dibangunkan Majlis Daerah Kuala Selangor.

Operasi yang bermula pada 2009 menghimpunkan 1,500 ikan pelbagai jenis, 60 daripadanya spesies ikan air tawar seperti toman, belida, lampam, keli, kelah dan kelisa.

Sebahagian besar ikan ini diperoleh dari Sungai Selangor dan paya berdekatan.

Selain ikan, taman ini turut menempatkan pelbagai jenis burung, taman dengan lanskap semula jadi serta mini teater, kedai cenderamata dan peralatan menangkap ikan secara tradisional seperti bubu, raga dan serkap.

Taman ini amat sesuai dijadikan pusat pendidikan dan pembelajaran hidupan air tawar kerana menempatkan galeri maklumat, sejarah ikan air tawar, jenis ikan, jenis peralatan dan jenis akuarium.

Dibuka dari 9.30 pagi hingga 4.30 petang setiap hari, bayaran masuk RM2 dikenakan untuk dewasa.

D) Kampung Kuantan

KAMPUNG Kuantan memang terkenal dengan serangga yang bercahaya di ekor, namun spesies yang banyak di  perkampungan ini adalah ‘pteroptyx tener’.

Berukuran enam milimeter, ia dianggap unik kerana me ngeluarkan cahaya serentak pada setiap masa iaitu pada kadar tiga kelipan sesaat.

Kelip-kelip jantan mengeluarkan cahaya yang lebih terang untuk menarik perhatian kelip-kelip betina. Jangka hayatnya pula antara enam hingga tujuh bulan.

Kelip-kelip betina mampu bertelur sehingga 20 biji dan  hingga kini hampir 1,900 spesies berjaya direkodkan.

Pokok bakau jenis berembang yang banyak tumbuh di sepanjang Sungai Selangor menarik perhatian kelip-kelip.
Jika mahu melihat lebih dekat, pelancong perlu membayar RM40 untuk empat orang dan menggunakan sampan selama 20 minit.

Pada 2011, Kampung Kuantan menerima hampir 24,000 pelancong asing dan tempatan.

Tidak menghairankan kerana fenomena semula jadi di sini pasti membuatkan pelancong terpegun, seolah-olah melihat pokok krismas yang dihiasi lampu.

Untuk sampai ke sini, perjalanan sejauh 56 kilometer dari  Kuala Lumpur akan mengambil masa hampir sejam.

>>INFO:

Majlis Daerah Kuala Selangor
Jalan Semarak, 45000 Kuala Selangor
Selangor Darul Ehsan
Tel : 03-3289 1439 / 1549 / 2423
Web: http://www.mdks.gov.my

Bagaimana ke sini:
> Dari Kuala Lumpur boleh melalui Lebuhraya Latar,  Guthrie atau Lebuhraya Utara-Selatan.
> Dari Timur pula perlu memasuki Sungai Buloh atau  Batang Kali seterusnya ikuti arah jalan ke Kuala Selangor.