KOTR tarik 10,000 peserta

Oleh Siti Salmiah A Hamid
salmiah@hmetro.com.my
Foto Khairul Azfnizan Mokthtar

KING of the Road 2012 (KOTR) yang dilancarkan, baru-baru ini dijangka menarik lebih 10,000 peserta pada edisi ke-14 yang akan di adakan pada 9 September ini.

Pengurus Jenama Adidas Malaysia, Bryan Gee berkata, memasuki tahun kedua, program yang diadakan ini menerima sambutan yang menggalakkan daripada peserta tempatan serta luar negara.

“Slogan ‘Cool’ sebagai tema larian pada tahun ini inspirasi daripada keluaran terbaru Adidas – ClimaCool.

“Larian diadakan di sepanjang Lebuhraya Pantai Baru (NPE) merangkumi jarak 16.8 kilometer dan 10 kilometer (km) terbuka kepada peserta berusia 18 tahun ke atas.

“Jumlah peserta dijangka meningkat berbanding tahun lalu iaitu seramai 7,000 peserta mengambil bahagian,” katanya.

Terbahagi kepada dua kategori iaitu kategori terbuka untuk peserta antarabangsa dan kategori tertutup bagi peserta tempatan dan penduduk tetap.

Pada masa sama, larian ini turut berlangsung di empat negara Asean iaitu Thailand, Indonesia, Singapura dan Filipina.

Menurutnya, mereka yang berminat boleh mendaftar dalam talian menerusi laman web rasmi Adidas Malaysia KOTR di http://www.adidaskingoftheroad.com.my.

Semua peserta bakal menerima beg, baju larian, cip masa dan pelbagai hadiah hebat berserta pingat.

Yuran penyertaan sebanyak RM55 seorang untuk 16.8km manakala RM45 di laluan 10km. Mereka yang mendaftar  sebelum 31 Mei, mendapat pengurangan harga iaitu RM50 bagi 16.8km dan RM40 (10km).

Tarikh tutup penyertaan pada 31 Julai.

Hadiah keseluruhan KOTR berjumlah RM60,000 termasuk wang tunai, baucar barangan Adidas serta pingat.

Dua pemenang utama akan mewakili negara ke pusingan akhir King of the Road 2012, seterusnya membawa jenama  Adidas Malaysia ke luar negara.