Lihat raksasa bergerak

Hampir 30 dinosaur pelbagai jenis dipamerkan di Pusat Sains Negara selama tiga bulan

Oleh Siti Salmiah A Hamid
salmiah@hmetro.com.my

MITOS mengenai dinosaur di zaman pra sejarah menjadi ilham kepada Pusat Sains Negara apabila pameran Dinosaur Live! mula dibuka kepada orang ramai, baru-baru ini.

Hampir 30 dinosaur pelbagai jenis dipamerkan bermula 1 Mei sehingga 31 Julai, selama tiga bulan.

Pengunjung dapat melihat dinosaur animatronik ini menggerakkan tubuh badan, mata dan lidah seperti mana berjuta-juta tahun dulu.

Pameran dinosaur animatronik ini adalah anjuran bersama Cityneon Holdings, EMS Holdings dan Pusat Sains Negara.

Pengarah Pusat Sains Negara, Dr Irmawati Ramli, berkata pameran ini tidak menjadikan hiburan sebagai fokus utama tetapi menitikberatkan segala informasi yang berunsurkan pendidikan.

“Kewujudan dinosaur dikaji sejak berkurun lamanya justeru maklumat mengenai tempat penemuan, tempoh kewujudan, ciri-ciri anatomi, corak pemakanan dan penemuan saintifik mengenai evolusi dan habitat setiap dinosaur disalurkan terus ketika pameran.

“Usaha sebegini mampu memartabatkan sains dan membantu pengunjung lebih menghargai sains dan teknologi.

“Ia satu usaha berterusan bagi mempromosi sains dan teknologi bersempena dengan Tahun Pergerakan Sains dan Inovasi Tahun Sains dan Gerakan Inovasi Nasional pada tahun ini,” katanya.

Hampir 100 murid sekolah menjadi pelawat pertama yang mengunjungi pameran terbabit yang terletak di Bukit Kiara, Kuala Lumpur.

Malah, 55 kanak-kanak dari dua rumah anak yatim, Rumah Ozanam dan Persatuan Kebajikan Ti Ratana dijemput hadir.

Orang ramai juga boleh menerokai 12 galeri yang disediakan serta mengikuti lebih 700 pameran interaktif yang boleh membuatkan pelawat lebih memahami dan menghargai kepentingan sains.

Karnival ini dijangka menarik lebih 10,000 pelawat melalui pelbagai tarikan khas seperti Kem Sains, Kem Ruang Angkasawan, Pertandingan Kenderaan Elektrikal Amphibious, Pertandingan Roket Air dan Pesta Nano.

Bayaran kemasukan RM15 bagi dewasa dan RM12 untuk kanak-kanak berusia tujuh hingga 12 tahun manakala kanak-kanak bawah enam tahun, masuk percuma.

Layari http://www.dinosaurslive.com.my atau di Facebook http://www.facebook.com/dinosaurslive.my untuk maklumat lanjut.